Selepas Malaysia mula beralih ke arah fasa endemik, kita dapat lihat berlakunya pengaliran perubahan ekonomi secara mendadak terutamanya ke arah sektor pelancongan, hospitaliti, pakaian, dan automotif. Rakyat sudah mula bergerak setelah beberapa halangan ditarik balik oleh kerajaan. Ditambah pula dengan beberapa insentif lain yang menambahkan wang di poket iaitu pengeluaran khas wang persaraan dan bantuan tunai kerajaan. Sehinggakan dilaporkan media ada sesetengah stesen minyak tidak dapat menampung pelanggan yang ramai berikutan jalan raya dan lebuhraya utama begitu sesak pada waktu puncak cuti persekolahan.
Kehadiran virus Covid ke dunia banyak mengubah kehidupan kita. Secara peribadi, nasib saya kurang tergugat dari segi punca rezeki kerana bekerja dalam syarikat yang dikategorikan sebagai perkhidmatan yang perlu bekerja seperti biasa. Kita dapat lihat betapa banyaknya perusahaan kecil yang lumpuh disebabkan polisi sekatan pergerakan oleh kerajaan. Bahkan selepas dunia mula membuka ruang dan memberi kebebasan, ada juga syarikat gergasi yang hampir ranap seperti Revlon, sektor kosmetik. Ramai orang kehilangan pekerjaan sehingga kerajaan terpaksa membuat polisi berkaitan bersama Perkeso supaya majikan boleh menggajikan pekerjanya.
كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا
“Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai.“
(Surah al-Hadid ayat 20)
Itulah lumrah dunia yang seperti daun mekar menghijau akhirnya berubah menjadi kuning lantas pecah dan hancur jatuh ke tanah. Hal ini mengingatkan kita bahawa tiadalah yang akan tetap subur mekar melainkan pasti berakhir dengan kehancuran.
Perkara ini membuatkan saya teringat pada penulisan Zamir Mohyedin, penulis buku Genesis, ketika beliau mengulas filem bertajuk Tenet. Apa yang buatkan saya tertarik ialah konsep alam yang dinamakan sebagai entropi. Perkataan ini ialah satu istilah dalam bidang fizik yang bermaksud semakin lama, semakin tidak stabil. Contoh mudah, kita ambil satu butir nasi dan biarkan sahaja di atas lantai. Semakin masa berjalan, sebutir nasi itu akan menjadi basi dan lama kelamaan menjadi hancur.
Dalam filem Tenet, ia mengisarkan kisah sebuah teknologi yang mana manusia mampu terbalikkan konsep entropi ini dan segalanya menjadi terbalik. Secara peribadinya, saya yang menonton pun tidak berapa faham dan hanya menggemari lakonan John David Washington kerana agak lucu.
Perubahan dunia yang berlaku bukanlah menjadi alasan untuk kita mengelakkan usaha mencapai impian. Lihatlah content creator yang berjaya di media sosial yang mampu mencapai jualan jutaan ringgit seperti Khairul Amin Kamarulzaman yang dikenali sebagai ‘khairulaming’. Khairul Amin merupakan contoh content creator yang bijak merebut peluang di hadapan mata tanpa sebarang isu atau drama yang merepek. Ini disebabkan ada sahaja beberapa individu yang begitu terdesak mencari jualan sehinggakan sanggup membuat kontroversi tanpa memikirkan dosa pahala dan etika moral. Namun kita tidak perlu mencari-cari siapa kerana orang seperti ini akan datang dan pergi tanpa memberi sedikit manfaat pun kepada kita.
Dalam salah satu ceramah Syeikh Yasir Qadhi beberapa tahun lalu, tentang bagaimana individu Muslim sepatutnya menyasarkan untuk mencapai yang paling tinggi berbanding hanya selesa dalam keadaan biasa-biasa sahaja. Istilah yang digunapakai ialah ‘mediocrity‘ iaitu satu keadaan yang biasa dalam zon selesa.
Beliau menceritakan kisah dalam hadis riwayat Muslim iaitu seorang sahabat bernama Rabiah bin Ka’ab al-Aslami yang menawarkan diri menjadi pembantu peribadi Rasulullah. Ketika ditanya oleh Nabi apakah ada sebarang kehendak beliau atas segala pertolongannya terhadap Rasulullah, Rabiah menjawab beliau mahu bersama-sama dengan Nabi di syurga kelak pada hari akhirat. Mendengar jawapan Rabiah yang begitu berwawasan itu, Rasulullah pun memberitahu satu perkara.
فَأَعِنِّي على نَفْسِكَ بكثْرَةِ السُجُودِ
“Maka bantulah aku memenuhi keinginanmu itu dengan memperbanyakkan sujud”.
(Riwayat Muslim)
Perkara ini direkodkan dalam nas agama supaya kita menggunakan konsep usaha peribadi berbanding mengharapkan orang lain semata-mata. Nabi tidak terus menawarkan akan memberi ganjaran syurga di atas keberkatan peribadi baginda, malah apa yang diajar ialah berusahalah sendiri mengikuti ajaran yang Nabi sendiri sampaikan supaya mudah-mudahan cita-cita itu akan tercapai.
Maksud usaha peribadi bukanlah bererti kita tidak langsung memohon sebarang insentif kerajaan atau tawaran daripada organisasi swasta. Tetapi jika inisiatif itu datangnya daripada kapasiti peribadi sahaja. Contohnya pelajar sekolah menengah perlu berusaha atas kapasiti peribadi untuk berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Menengah. Setelah itu, barulah boleh untuk memohon sebarang peluang-peluang yang ada ditawarkan oleh kerajaan mahupun syarikat swasta.
Begitulah dunia yang bersifat entropi. Kita tidak boleh menghalang usia kita daripada terus meningkat dewasa. Daripada zaman kanak-kanak yang suka bermain, pergi ke alam remaja yang punyai persoalan dan permasalahan. Menuju ke medan dewasa yang penuh tanggungjawab, dan akhirnya pergi ke waktu senja bersama kenangan-kenangan. Pada akhirnya, yang menjadi bekalan ke alam seterusnya ialah apa yang telah kita lakukan selama ini.
Disediakan oleh: Baha’uddin Hamizan
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!