Jam di dinding menunjukkan pukul 1.30 pagi. Di malam yang hening, aku melihat ke luar jendela ditemani sang purnama. Aku pusing ke kiri dan ke kanan mencari keselesaan untuk tidur tetapi mata aku sukar untuk lelap. Lantas aku pergi ke tandas untuk mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah itu, hanya kalimah suci Allah yang menjadi peneman hati yang sedang lara ini.

Hati aku terasa redup, sunyi dan sesak apabila mengingati kejadian tempoh hari. Aku bermonolog, “Benarkah aku hodoh, kenapa mereka berkata demikian?”. Jiwa aku melayang dan fikiran terasa berat memikirkan ucapan yang dilontarkan oleh rakan kuliah aku.

Pagi itu, aku hadir ke kelas seperti biasa tetapi dengan penampilan yang baru. Ketika aku berjalan menuju ke kelas, aku perasan banyak mata yang memandang. Ada yang memandang aku dan berbisik dan ketawa sesama sendiri. Adakah terlalu berbeza penampilan aku?

Tiba sahaja dikelas, aku ditegur rakan sekelas, “Aimi, penampilan kau sekarang nampak berbeza” sambil ketawa keriangan. Kata mereka, “Ibarat Langit dan bumi”. Aku hanya senyap mengiyakannya. Walaupun hati aku sakit bagai ditoreh dengan sembilu, aku tetap tahan air mata supaya tidak mengalir.

Saban hari emosi aku kian terganggu dengan sikap mereka yang selalu berkata buruk kepadaku. Aku tertekan dan dan hal ini menyebabkan aku nekad untuk berhenti belajar. Keputusan untuk berhenti belajar bukan kerana keputusan peperiksaan yang merosot tetapi kerana mulut mereka yang sering mempersendakan diri aku. Sudah lama aku diam dan bersabar dengan sikap mereka yang demikian.

Malam itu, aku menelefon emak di kampung untuk meluah segala yang terpendam dalam hati.

“Assalammualaikum, Ppa khabar emak dan ayah? 

“Waalaikumussalam, Alhamdulillah khabar baik. Cuma biasa lah ayah kau tidak berapa sihat, mak sudah suruh pergi ke klinik tapi ayah kamu tak nak”

“Mak, Aimi nak cakap sikit. Harap tidak menghampakan harapan emak dan ayah. Mak, bolehAimi berhenti belajar?”Luah aku kepada emak, ia memang perit.

Lama emak diam di talian,

“Kenapa? Aimi ada masalah? 

“Tidak, cuma kos pengajian setiap semester semakin mahal. Aimi cuma kesian dekat mak dan ayah di kampung”,

“Sayang jangan berkata begitu, kamu adalah satu-satunya anak tunggal kami dan kamu juga harapan kami. In Sha Allah, mak dan ayah akan usahakan untuk yuran pengajian ya”,

“Baik mak, terima kasih. Sampaikan salam Aimi kepada ayah ya, Aimi rindu sangat emak dan ayah. Aimi masuk tidur dulu ya, Assalammualaikum”

” Waalaikumussalam, jaga diri ya sayang”. Talian diputuskan.

Malam itu, aku tidur bertemankan air mata. Aku ingin sahaja meluah kepada emak, tetapi detak hati aku menolak kerana aku risaukan kesihatan ayah. Marah, geram dan dendam menghantui diri dan aku ingin sahaja aku membalas perbuatan yang mereka lakukan terhadap aku tetapi aku tidak terdaya.

“Mak, Aimi tidak kuat untuk lalui semua ini. Ya Allah, kuatkan hati hambamu ini, aku rasa berat untuk lalui hari demi hari” rintih aku.

Emosi aku kian terganggu hari demi hari. Aku lebih gemar berkurung di dalam bilik yang gelap. aku seorang yang ceria kini bertukar menjadi pendiam bahkan lebih suka menyendiri. Aku penat dengan celaan yang sering keluar daripada mulut mereka yang “toksik” itu. Jiwa aku lemah dan lemas tidak bermaya. Jiwa aku tidak kuat untuk melawan manusia yang dungu. Walaupun mereka dikurniakan kecerdikan tetapi mereka lebih memilih untuk jadi manusia yang hilang harga diri.

Maisara adalah sahabat karib aku dan juga sahabat sekuliah aku. Dia berasa hairan dengan perubahan tingkah laku aku yang drastik.

“Aimi, kenapa kau kelihatan lain ya? tidak seperti dulu”

“Tiada apa-apa lah, aku baik sahaja cuma penat sikit sebab perlu menyiapkan FYP”, 

“Betul ni Aimi? Kalau ada masalah, kau boleh cerita kepada aku, kita sahabat. Kalau ada masalah, kau boleh kongsi dengan aku sebab aku lihat badan kau semakin susut” 

“Semenjak dua tiga hari ini fikiran aku jadi serabut. Aku penat dengan orang yang mengejek bentuk fizikal aku. Mai, aku hodoh sangat ke?” Soal aku.

“Aimi, kau dah cukup cantik dan sempurna. Aku faham sakitnya dengan kata-kata orang, seolah-olah diri kita ini tiada nilainya. kau jangan hiraukan mereka, aku ada dengan kau.”

“Mai, terima kasih sebab beri kata-kata semangat”.

“Sama-sama, meh sini aku peluk kau”.

Apabila dua orang sahabat itu saling memerlukan ibarat bintang-bintang sedang menyinari jumatara yang terbentang luas ini.

Malam itu, nyawa aku terasa bagai dicabut Sang Sakaratulmaut. Sungguh berat sekali untuk aku bernafas, tangan aku menggeletar dan tekak aku terasa mual sekali. Aku bermonolog dalam diri “Kenapa sukar sekali untuk aku bernafas?” Air mata aku mengalir dengan deras sekali. Tidak terkeluar suara aku untuk meminta pertolongan Mai. “Ya Allah, apakah ini tanda sakitnya sakaratulmaut?”

Ketukan tabuh mengejutkan aku dari mimpiku yang ngeri, tidak lama lagi azan subuh akan berkumandang. Peristiwa malam tadi masih segar sekali ingatanku. Syukur masih diberi peluang untuk bernafas. Aku bangkit dan menunaikan solat sunat sebelum subuh. Seusai solat subuh, aku membaca Al-quran untuk merawat hati aku yang gundah gulana.

Aku bercadang untuk membuat ujian saringan DASS di klinik yang berhampiran tempat pengajian aku. Keputusan ujian DASS mengecewakan dan membimbangkan aku. Tahap kemurungan dan Kebimbangan di skala yang tidak memuaskan. Doktor di klinik menyarankan aku untuk membuat pemeriksaan lanjutan dengan pakar psikiatri. 

Buat pertama kalinya aku menjejakkan kaki di Jabatan Psikiatari. Dr. Salmah menyambut kedatanganku dengan senyuman di bibir dan menyapa aku dengan penuh kasih.

“Assalamualaikum, apa khabar Aimi?”

“Waalaikumussalam, Alhamdulillah khabar baik cuma emosi saya tidak beberapa baik”

Aku menunjukkan keputusan ujian saringan DASS. Berkerut dahi Dr.Salmah melihat keputusan ujian tersebut.

“Bolehkah saya tahu apa yang sedang Aimi alami? Merujuk dari ujian DASS tersebut tahap kemurungan awak di skala yang membimbangkan. Apakah yang sedang mengganggu emosi awak?”.

Aku diam dan mata aku mula berkaca. Dada aku terasa sesak.

“Dr, saya penat dengan cemuhan dan hinaan orang terhadap saya. Saya lalui perkara yang sama setiap hari. Saya cuma ingin mereka berhenti mengejek saya. Saya rasa mereka terlalu kejap terhadap diri saya. Saya penat doktor!”

Aku luahkan segala yang terpendam selama ini. Aku tidak mampu untuk menanggung perasaan ini. Kadang-kadang, aku rasa aku patut lenyap sahaja dari muka bumi ini jika itu membuatkan mereka berasa puas. Aku rasa dunia ini sangat kejam terhadap aku. Aku tahu Tuhan sedang menguji aku dan aku cuba berlapang dada untuk menerima takdir yang menjerut aku ini.

Aku telah disahkan menghidap penyakit Major Depression Disorder. Setelah Dr Salmah memberikan diagnosis, aku terasa lemah sekali. Acap kali aku terdengar mereka yang  dikategorikan sebagai pesakit kemurungan ini sebagai orang gila. Halwa telinga aku terasa pedih apabila di label sedemikian rupa. Hospital Ulu Kinta sudah menjadi rumah kedua aku untuk membuat rawatan susulan dan tiada sesiapa yang tahu perihal ini.

Kadang-kadang aku terfikir, adakah pemikiran aku yang toksik atau mereka yang toksik? Aku juga lemah apabila ada yang mengatakan bahawa kemurungan ini tanda kurangnya iman seseorang. Mereka yang kurang Iman atau kami yang kurang iman? Mereka yang melontarkan kata-kata tersebut pasti tidak berfikir akan kesannya. Setiap ucapan yang dilontarkan pasti memberi kesan luka yang sangat dalam.

Sejak mendapatkan rawatan psikiatri,  aku banyak mengikuti program mengenai kempen kesedaran kesihatan mental. Aku juga banyak membantu mereka yang senasib denganku dan berasa sangat bahagia sekali apabila dapat membantu mereka.

Hari ini genap setahun rawatan susulan aku jalani. Kadang kala terasa letih untuk merawat emosi aku. Kata Dr. Salmah, jika aku nak sembuh seperti sedia kala, aku perlu jauhi orang-orang yang toksik. Disebabkan emosi aku lebih berharga, aku patuh dengan nasihat doktor.

Kian hari aku terasa lebih bebas dan bahagia. Aku lebih bersikap positif dan berkawan dengan mereka yang positif itu membuatkan sedikit sebanyak membantu perubahan emosiku. Kenangan yang lepas itu harus dibuang dan hari ini adalah semangat juang yang harus aku genggam erat. 

Terima kasih kepada mereka yang pernah bertandang dalam kemelut batinku ini. Walaupun kedatangan kau membuatkan aku berkali-kali tumpas, kaki ini sentiasa kuat untuk melangkah ke hadapan. Aku akan maafkan setiap perkara yang telah kau lakukan terhadapku. Bukankah nilai kemaafan itu yang paling berharga?

Sebelum mata dibuai lenanya mimpi indah, aku ingin utuskan sebuah puisi sebagai nasihat untuk mereka yang sedang berjuang,

Sehela nafas dalam gelapnya malam,

Sakitnya batin ini tidak tertanggung lagi,

Jiwa ku kian tumpas,

Nafas ku kian menjerut,

Mengheret ke lembah depresi,

Aku cuba bangun gapai cahaya polos itu,

Yang menyingkap ke akar nadi ku,

Makin gelap ia menutup ruang kecil ini,

Aku semakin lemas, 

Dijerut rantai-rantai depresi,

Andai Hari esok masih ada ruang,

Untukku melihat terbitnya mentari di ufuk timur,

Izinkan sekali lagi untuk ku bernafas.

Ya Tuhan sakitnya hanya sekali,

Rebahku sudah berkali-kali,

Beri aku ruang untuk bersandar kepaadaMu,

Biar batin ini dirawat hanya keranaMu yang Satu,

Bukankah? Engkau Tuhan Yang Maha Pengasih.

***

Nukilan,

Nur Ashikin Binti Ahmad Laduni

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.