Aku membuka tudung saji kecil di hadapanku untuk mengambil tauhu begedil yang terakhir di atas pinggan. Aku menguis antara cili dan kacang panjang yang dipotong. Pendek. Dan ada yang halus.

Cili aku ketepikan. Semalam aku menjamah tauhu begedil yang pertama. Terasa pijar lidahku dek cili. Benarlah. Kecil-kecil cili padi. Pedas betul cili ini meskipun telah dipotong pendek dan halus begitu. Kacang panjang pula aku pindahkan ke atas pinggan nasi goreng yang baru disenduk sebentar tadi dari kuali.

Alhamdulillah. Mensyukuri nikmat yang Tuhan berikan ini, aku mula menjamah suapan pertama dengan lafaz basmalah dan doa ma’thur; bismillahi ala barakatillah. 

Sependek kacang panjang itu menguasai seluruh ruang deriaku. Aku termenung. Mengingatimu yang tidak begitu gemar akan sayur. Apatah lagi, sekiranya dimakan mentah begitu sahaja, tanpa dimasak dan dicampur menjadi adunan lauk sayur campur misalnya.

Aku terfikir. Akukah kacang panjang dalam hidupmu?

Aku telah menguasai seluruh ruang hidupmu. Seperti kacang panjang yang dalam suapanku ini; menguasai seluruh deria rasaku. Antara nasi goreng, lobak merah, ikan bilis, bawang, kentang dan segala rempah yang diadun bersama nasi goreng bercampur tauhu begedil ini, rasa kacang panjang ini begitu mencengkam deria rasaku. hampir tidak terasa nikmat sebenar sepinggan nasi goreng lagi.

Justeru, apakah aku ini kacang panjang dalam hidupmu? Yang akan kau kuis ke tepi sekiranya muncul kembali di dalam hidupmu?

Aku teringat ketika aku cuba memaksa kau untuk memakan tomato yang telah dihiris suatu ketika dahulu. Bergelut kita di atas karpet kerana kataku, tomato ini bagus untuk kesihatan. Manakala kau pula berkeras menolak. Enggan makan sehiris tomato yang aku suakan itu. Katamu, kau hanya makan tomato sekiranya dimasak sebagai lauk. Mentah-mentah kau menolak suapan aku hanya kerana tomato itu tomato mentah, tidak dimasak bersama sebagai lauk sayur.

Sehingga saat ini, apakah lauk sayur yang telah kau mahiri dalam memasak? Sungguh aku merindui air tanganmu. Terutamanya lauk ayam kunyit yang begitu menyelerakan pada hari terakhir musafir kita di bumi yang tiada setitik pun air hujan turun.

Tipu sekiranya aku tidak merindukan sapaanmu di ruangan mesej WhatsApp. Sebelum kita berkawan rapat dahulu, aku menulis surat-surat yang tidak terkirimkan kepadamu. Kini, aku menulis mesej-mesej yang tidak tersampaikan kepadamu. Tidak tersampaikan kerana aku sendiri yang memintamu untuk menyekat diriku di talian, agar aku boleh menghantar pesanan kepadamu sebebas dan sebanyak mungkin, tanpa dilukai dengan kebisuan yang menghiris dhamir aku setiap kali mesej itu hanya dibaca olehmu. 

Meskipun begitu, seperti yang aku pernah nyatakan pada akhir mesej di WhatsApp, begitulah yang aku maksudkan. Tidak perlu aku gunakan mana-mana peraturan di dalam ‘The Rules of Statutory Interpretation; the golden rule, the mischief rule and the purposive approach’, melainkan kau fahami dengan kaedah paling asas iaitu ‘the literal rule.

Dengan penuh keterujaan, aku menantikan kesudian dirimu untuk menghubungi aku semula pada suatu hari nanti. Aku teringat akan nasi gepuk kegemaranmu. Kepedasan yang zahir pada kedua-dua ulas bibirmu dan dibaca melalui mutiara jernih yang keluar daripada tubir mata awak. Sungguh indah! Pasti kau rindu akan nasi gepuk di alma mater kita, bukan?

Adakah saya perlu menjadi cili untuk menjemput kesudian dirimu untuk menyahasekat aku di WhatsApp dan berbual seperti kebiasaan kita dahulu? Sekiranya ya, cililah aku.

Ada satu permintaan yang aku pinta kepadamu di dalam bulan Ramadan ini, aku memohon kemaafan daripadamu. Aku mohon maaf zahir dan batin di atas kekurangan, kelemahan dan setiap yang tercatat dosa antara kita.

Maafkan aku kerana pernah menjadi kacang panjang yang begitu mahu menguasai hidupmu. Mengganggumu dengan mesej remeh-temeh setiap hari; seperti bertanyakan khabarmu, menyoal kerja yang sedang kau usahakan, berkali-kali mengajakmu untuk berkongsi apa-apa sekalipun sekiranya mahu.

Aku percaya kau punya sebab yang kukuh untuk berbuat begitu. Disusun menjadi kertas, maka kertas juga telah teratur satu demi satu sebab kau memilih begini. Tiada bantahan yang ada untuk kau kemukakan. Merit kau cemerlang; tiada asas untuk aku cabar.

Malah, aku tahu dan aku percaya, kau punya hak mutlak untuk pergi. Teruslah pergi sekiranya jauh dalam sudut hatimu, keputusan itu telah kau pegang kemas, pasak kukuh dalam diri. Namun, kembalilah pada bila-bila masa kerana aku percaya, kacang panjang juga punya kebaikan dan manfaat yang telah diciptakan Tuhan.

Aku berbesar hati sekiranya kau punya kebutuhan yang boleh aku lengkapi, hajat-hajat kau di hati yang boleh aku penuhi dengan izin-Nya. Namun, aku juga mengerti, untuk memilih antara makan kacang panjang atau menolak kacang panjang tersebut ke tepi dan diberi kepada mereka yang sudi. Kedua-dua hal ini hanyalah pilihan, bukanlah keutamaan.

Kerana seperti yang pernah kau nyatakan sebelum ini, hubungan atas dasar persahabatan tidak punya ‘legal binding’ yang menjadikan kita boleh selalu dan sentiasa bersama. Hanya atas pilihan kita; mungkin persahabatan kita sudah sampai pada noktah yang telah kau letakkan, meskipun aku berharap agar kau memilih untuk terus menukilkan koma demi koma sehingga Tuhan meletakkan maut sebagai titik, namun kita memilih doa sebagai penyambung. 

Semoga kamu sekeluarga dan kesayanganmu sentiasa berada dalam rahmat, barakah dan reda Allah SWT. Moga urusanmu dipermudahkan, setiap pemikiran, tindakan serta keputusan kau dipandu Allah dan kau sentiasa tenang, gembira dan bahagia kerana sudah tentu tiada lagi kacang panjang yang mengganggumu untuk menikmati nasi goreng. Kerana kau sendiri tidak akan memilih kacang panjang untuk dimakan dengan nasi goreng.

Sekiranya pada suatu hari nanti, mengatasi segala keganjilan dan keajabaian dunia, kau memilih untuk menikmati kacang panjang secara mentah, khabarkanlah kepada aku. Sudah tentu aku mahu menikmati kacang panjang itu bersamamu. Insya-Allah.

Semoga kau sentiasa berada dalam jagaan dan pemeliharaan Allah SWT. Aku tidak pernah merisaukanmu lagi kerana kau berada dalam sebaik-baik pemeliharaan dan jagaan Tuhan kita. Moga kita reda dengan setiap perkara yang diberikan Tuhan, diberikan apa yang kita perlu, bukan apa kita mahu. Begitulah aku berulang kali dalam memujuk diri.

Jaga diri kamu ya. Jaga solatmu. Begitu juga dengan aku.

Jika tiada jodoh kita bertemu di dunia, semoga Allah izinkan aku mengintaimu dalam diam di syurga-Nya sana. Seperti aku memerhati dan mengagumimu dalam diam dahulu. Mahu kau sebagai kawan, kawan yang begitu menginspirasikan dan mengingatkan aku kepada Tuhan. Alhamdulillah.

P/S: Kiriman buku-buku yang kamu terima baru-baru ini, aku sertakan beberapa penanda buku pada beberapa muka surat tertentu. Moga kau dapat memanfaatkan kesemua penanda buku tersebut dan memotivasikanmu untuk menyegerakan pembacaan sehingga akhir helaian. Aku nantikan ulasan buku kamu di sini. Seperti kebiasaan, cara aku setia melepaskan rindu membaca penulisanmu yang segar dan penuh manfaat. Allahu mustaan. Amin.

Nukilan,

Nirnama (Tanpa Nama)

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.