Saya masih ingat, kira-kira 5 tahun yang lepas, saya sering berkelana seorang diri ke Kuala Lumpur. Mencari makna diri. Mencari erti kehidupan. Sebagai remaja yang baru menginjak usia 18 tahun, perasaaan untuk mencuba sesuatu yang baru itu membuak-membuak. Ibarat air yang tak dapat diempang. Pada usia ini, saya seolah-olah mendapat permisi untuk bebas melakukan apa sahaja, demi mengejar butiran pengalaman kehidupan. Asalkan nama baik keluarga masih terjaga rapi, Islam yang kukuh dalam diri. Maka, peluang keemasan ini wajib dimanfaatkan.
Saya masih ingat, perasaaan terujanya apabila pertama kali menginjakkan kaki di Jalan Masjid India. Tujuan saya hanya satu, ingin meninjau buku-buku berkualiti di sini. Ramai senior telah menyarankan saya untuk merasai sendiri “operasi memburu buku” di Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Ya, saya memang seorang penggila buku sedari kecil. Entah kerana gen yang diwarisi daripada ibu. Atau memang ini takdir yang ditetapkan Ilahi. Yang pastinya, buku sentiasa menjadi peneman setia terbaik sepanjang episod kehidupan saya.


Saya tidak pernah mengenali Hamka. Jangankan menyentuh karya-karya beliau, mendengar nama pun tidak. Siapakah Hamka, di manakah beliau dilahirkan, apakah karya-karya beliau, apa jasa beliau dan semuanya yang berkait dengan arwah buya. Pengetahuan saya mengenai sosok ternama alam nusantara ini memang kosong. Namun, Penguasa Langit ternyata punya perancangan sendiri, dari ribuan malah jutaan buku di kedai-kedai yang saya kunjungi, hanya sebuah buku yang dibawa pulang. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Haji Abdul Malik Karim Amrullah, harganya RM 23.90 terbitan Pustaka Bulan Bintang.


Saya memulakan pembacaan dengan penuh keterujaan, kerana menurut kata orang, karya ini begitu agung. Penuh dengan keindahan bahasa, jalan cerita yang meruntun jiwa. Cerita yang terkandung dalamnya roh perjuangan dan percintaan. Namun, ini merupakan pengalaman kali pertama saya membaca bahan bacaan menggunakan bahasa Indonesia. Maka, keterujaan itu sedikit sebanyak dirosakkan dengan ketidakmampuan saya untuk memahami bahasa Indonesia (tidaklah semua, hanya sebahagian sahaja!).


Namun, saya gagahkan juga untuk menghabiskan pembacaan hingga ke helaian terakhir. Prinsip saya, apabila kita sudah mulakan bacaan, mesti baca sampai habis! Pada awalnya saya menyangkakan pengakhiran cerita ini akan sama seperti novel-novel cinta murahan yang ada di pasaran, pengakhiran yang bahagia. Seolah kelihatan jelas bagaimana ceritanya sebelum halaman terakhir dicapai. Hero akhirnya berjaya bersama heroin dan hidup bahagia bersama. (Ya, memang ini tema yang menguasai hampir keseluruhan novel cinta kita).


Ternyata saya silap! Naskhah ini menceritakan yang sebaliknya. Kisahnya tentang percintaan antara Zainuddin dan Hayati. Bagaimana kisah kehidupan melarat Zainuddin yang tidak diterima kerabatnya sendiri di Batipuh. Hidup makan hati berulam jantung dengan reaksi keluarganya yang seolah-olah memandangnya sebagai orang luar. Tidak lama berselang, Zainuddin jatuh hari dengan bunga yang sedang mekar di Batipuh, Hayati. Kasih pun terjalin. Namun, Zainuddin tak dapat bertahan lama untuk tinggal di rumahnya sendiri. Karena semakin banyak orang-orang kampung yang banyak bertanya tentang keberadaannya di Batipuh. Ia tahu diri sehingga memutuskan untuk mencari peruntungan ke Padang Panjang. Sebelum berangkat, Hayati berjanji setia menunggu Zainuddin untuk kembali pulang ke Batipuh. 


Jika Romeo dan Juliet memperlihatkan pergeseran sosial politik antara dua kelaskasta masyarakat, maka karya HAMKA ini pula mempersembahkan kepada kita tentang kerosakan sistem feudalisme dan kehidupan adat bersuku di alam Melayu. Sungguh, kisah percintaan terhalang antara Zainuddin dan Hayati ini sarat dengan kritik sosial Hamka terhadap adat setempatnya. Begitu banyak yang saya pelajari daripada novel ini. Walaupun di awal kisah, Zainuddin digayakan sebagai watak yang lemah dan naif, tetapi HAMKA memperlihatkan fasa-fasa bagaimana karakter Zainuddin meniti kedewasaan fikiran dari seorang yang berilmu tetapi lemah kerana asyik tenggelamnya dalam permainan jiwa iaitu cinta. Dia jatuh, bangkit, jatuh semula kemudian bangkit kembali. Begitulah kehidupan, bak kata Hamka “Bebanmu akan berat. Jiwamu harus kuat. Tetapi aku yakin langkahmu akan jaya. Kuatkan pribadimu!”

dan Muluk. Bagaimana di saat dia benar-benar seperti mayat hidup, merana kesedihan yang memakan diri, Muluk hadir sebagai pencetus semangat. Dia bersungguh-sungguh menyedarkan Zainuddin bahawa jangan biarkan kesedihan menguasai, sebaliknya gunakan kesedihan itu sebagai pemangkin kebangkitan. Jadikan kisah pahit dan perit itu sebagai idea untuk melahirkan karya yang menyentuh kalbu. Begitu banyak orang-orang yang berjaya di dunia ini kerana pertamanya bermula dengan kegagalan. Ikatan jalinan antara Zainuddin dan Muluk ini begitu kuat sehingga mereka mengambil keputusan untuk berhijrah bersama ke Jakarta. Dan di saat Zainuddin mahu terus berjalan tanpa lagi berpaut pada masa lalu, terus menerus berusaha untuk menempa kejayaan, kita dapat lihat Muluk setia berada di sisi. Ah, begitu indah kisah persahabatan yang berjanji akan susah senang bersama. “Bersahabat sehingga mati”.


Walaupun novel ini saya kira penuh dengan amarah, dendam dan kebencian, tetapi buya Hamka berjaya menenggelamkan emosi-emosi itu dengan mainan bahasa beliau. Sesuai dengan darah Minangkabau yang mengalir, tentunya susunan ayat puitis yang dipilihnya penuh dengan nuansa kesopanan dan kelembutan adat Melayu. Pendek kata, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini merupakan novel yang hebat, ajaran moral dan Islam ditanamkan dalam bentuk penceritaaan yang menarik, dibalut dengan kekayaan kata indah dan berjiwa seni, dalam genre sastra romantik yang berkelas. (less)Linangan air mata menuruni pipi di saat saya menghabiskan ayat-ayat terakhir novel ini dek kerana hebatnya kuasa Hamka dalam membolak-balikkan hati menerusi tulisannya. Seperti yang saya katakan sebentar tadi, jika anda membaca novel ini di awalnya dengan prasangka bahawa ia akan tamat seperti dalam jangkaan, maka anda silap. Teruskan membaca dan menikmatinya kerana di akhir nanti anda akan tergamam. 


Saya kongsikan coretan pengalaman ini bersama pembaca sekalian agar anda dapat merasai sama pengalaman menjadi seorang Zainuddin mahupun Hayati dalam memperjuangkan cinta mereka. “ Di belakang kita berdiri satu tugu yang bernama nasib, disana telah tertulis rol yang akan kita jalani. Meskipun bagaimana kita mengelak dari ketentuan yang tersebut dalam nasib itu, tiadalah dapat, tetapi harus patuh kepada perintahnya”.

Oleh: Iman Danial Hakim
CFS IIUM PJ

2014

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.