Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, tajuk bagi mahakarya hasil seni Buya Hamka seorang sasterawan, cendekiawan, bahkan Ulamak terkemuka yang pernah ada di nusantara satu ketika dahulu. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah yang boleh disifatkan pada mahakarya ini. Keindahan susun atur katanya, kepandaian bermain irama seni kata menyebabkan karya ini terus laku di kalangan pencinta sastera.

Di dalam catatan ini, tidaklah saya hendak memberi ulasan keseluruhan cerita nya yang penuh simpang siur menggambarkan realiti kehidupan dua pasang anak muda. Tetapi ingin saya petik beberapa kata di dalam karya masyhur ini yang saya fikir antara yang membuatkan novel ini bukanlah seperti novel-novel biasa. 

Ketika saya membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, saya perasan satu kelainan yang dibawa oleh Hamka di dalam novel ini. Walaupun novel ini bersifat roman cinta, mengisahkan perit duka, nasib malang yang menimpa terhadap sepasang manusia yang berkasih-sayang, namun novel ini sarat dengan kritikan serta komentar-komentar terhadap budaya masyarakat pada zaman novel ini ditulis. Daripada kritikan terhadap masyarakat yang terlalu berpegang dengan adat sehingga menyusahkan hidup sendiri hinggalah kritikan terhadap masyarakat yang hidup di kota, bebas seperti tiada Tuhan yang memerhati tingkah laku mereka. 

Seperti yang berlaku di antara Hayati dan sahabatnya Khadijah, ketika Hayati menziarahi Khadijah di rumahnya di Padang Panjang dengan tujuan untuk menghirup udara yang dihirup juga kecintaanya, memijak bumi yang turut dipijak kekasihnya selepas kekasihnya diusir dari desa Batipuh.

Kebetulan ketika Hayati berada di Padang Panjang, ketika itu berlangsung keramaian dengan beragam acara seperti pasar malam dan lumba kuda. Khadijah mengajak Hayati untuk turut sekali dengan nya pergi menonton perlumbaan kuda yang berlangsung di Kota. Sebelum mereka berangkat Khadijah melarang Hayati berpakaian yang menutup aurat, katanya seperti orang kampung yang ketinggalan zaman. Lantas disuruh pula Hayati memakai pakaian yang membuka segala perhiasan wanita yang sepatutnya ditutup dari pandangan orang lain, Hayati menurut sahaja kehendak sahabatnya itu kerana tidak mampu melawan kata. Ah.. sungguh lemah pendirian prinsip mu Hayati!!

Ketika Hayati, Khadijah dan kenalan mereka yang lain sampai ke tempat perlumbaan kuda, mereka terserempak dengan seorang pemuda, itulah Zainuddin. Zainuddin Tercengang dek perubahan pakaian Hayati yang tidak seperti dahulu, bukan terpaku disebabkan kecantikan pakaian itu tetapi terpaku disebabkan hairan dengan perubahan yang tidak selayaknya berlaku. Lantas, sekembalinya Zainuddin dari tempat lumba kuda itu, dikirimnya surat buat Hayati menegur akan perubahan pakaiannya.

“Hayati!… Apa yang saya lihat kelmarin? Mengapa telah berubah pakaianmu, telah berubah gayamu? Mana baju kurungmu? Bukankah Adinda orang dusun! Saya bukan mencela bentuk pakaian kini, yang saya cela iala cara yang telah berlebih-lebihan, di bungkus perbuatan ‘terlalu’ dengan nama moden…” (petikan surat Zainuddin kepada Hayati, hlmn94, Terbitan Gema Insani, 2020)

Sedang asyik Hayati meneliti surat itu, datang Khadijah merebut surat tersebut lantas dibacanya. Selesai dia membaca surat itu, lantas dia menasihatkan Hayati usah lagi bersama, menaruh kasih terhadap Zainuddin. Menurut Khadijah, orang seperti Zainuddin itulah yang selalu mengongkong hidup wanita, tidak memberi kebebasan pada wanita dengan layaknya, tidak memberi kebebasan pada wanita untuk berpakaian.

Orang seperti Zainuddin itu, sekiranya dijadikan suami akan habis punahlah merdeka seorang perempuan, tidak akan dibenarkan isterinya bebas bergaul dengan taulan, hanya duduk di rumah tanpa boleh keluar sebelum mendapat keizinan. Baginya perkara itu semua tidak lagi sesuai pada zaman moden, zaman menuntut pada kebebasan, bebas pada segalanya tanpa ada yang menghalang.

Perkataan-perkataan yang dilontarkan Khadijah itu jelas sekali menggambarkan bahawa dia telah terpengaruh dengan budaya dibawa penjajah, memandang agama sebagai batu penghalang kehidupan masyarakat, menjadi dinding kemajuan bangsa. Pemikiran sebegini masih ada dan semakin hari semakin hebat di dalam kalangan bangsa timur, dimanakah adat yang disanjung! Di manakah peraturan syariat yang sepatutnya menjadi cara hidup?

Gambaran di dalam perbualan antara Hayati dan Khadijah ini bukanlah sekadar rekaan fikiran Hamka. Tetapi gambaran itu ialah pantulan pandangan Hamka terhadap budaya masyarakat di Indonesia pada zaman nya sekitar 1930-an. Pada ketika itu Indonesia sedang mengalami proses pembentukan bangsa, dan penerapan budaya penjajah Belanda juga sangat rancak berlaku. Kritikan Hamka tentang perkara ini juga boleh di dapati di dalam buku yang lain seperti di dalam buku yang bertajuk ‘ Ghirah : Cemburu Kerana Allah’.

“ Penyakit kedua yang lebih mendalam ialah merasa diri terlalu terikat dengan yang dinamai kuno. Kalau kita ikut teori Freud, itulah yang dinamakan pengaruh libido. Pakaian Barat terutama mod yang dikeluarkan dari Paris empat kali setahun (musim panas, dingin, semi, dan gugur) adalah lebih menampakkan bentuk tubuh. Selain paris ada pula model dari pembuat pakaian bintang-bintang film Hollywood. Lihatlah potongan pakaian model minggu ini di bisokop yang dipakai Marilyn Monroe, Ronda Fleming, Piper Laurie dan lain-lain. Saya curiga di awal minggu ini pakaian model-model itu akan memenuhi pasar” ( Hamka, Ghirah Cemburu Kerana Allah, Gema Insani, 2015 hlmn 8)

Pandangan-pandangan seperti menganggap pakaian menutup aurat sebagai jumud ialah salah satu daripada racun-racun orientalis yang dibawa penjajah barat ke nusantara yang terkenal dengan adat dan budaya ketimuran. Hasilnya mereka berjaya memasukkan racun ini ke dalam benak masyarakat.

Boleh kita katakan kritikan Hamka di dalam maha karyanya itu relevan buat masa kini dan akan relevan buat jangka masa yang sangat lama. Begitulah peribadi Ulamak yang ikhlas mendidik umat manusia khususnya di nusantara, nasihat-nasihatnya tidak terkubur bersama jasad, terus hidup memberi manfaat buat umat.

 

Disediakan oleh,

Ahmad Muaz


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.