Selepas Tragedi 11 September di Amerika Syarikat, orang Islam sering dikaitkan dengan keganasan terutamanya menerusi media barat. Ajaran agama Islam telah dipersalahkan sebagai punca meski terdapat banyak juga kes keganasan yang melibatkan penganut agama-agama lain.

Tetapi selain daripada agama sebenarnya ada satu lagi corak persamaan di kalangan pengganas ini, iaitu kebanyakan daripada pengganas memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang Kejuruteraan. Mengejutkan bukan?

Menurut satu kajian oleh Diego Gambetta, seorang ahli sosiologi di European University Institute, Itali, dan Steffen Hertog, Professor Madya di London School of Economics, jumlah ahli dalam organisasi Islam radikal yang memiliki ijazah kejuruteraan adalah dua kali ganda berbanding ahli yang berkelulusan pengajian Islam.

Berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas lebih 4,000 radikal politik yang beroperasi di dunia Islam dan barat itu, jurutera didapati mendominasi setiap kumpulan jihad seluruh dunia. Namun begitu tidak dinafikan, situasi ekonomi dan politik di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara yang tidak memberangsangkan turut mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan graduan kejuruteraan akibat kurangnya peluang pekerjaan berbanding dengan jumlah graduan yang ada.

Antara contoh kejadian yang melibatkan pengganas dengan latar belakang kejuruteraan berlaku pada Februari 2010 di mana Joseph Andrew Stack, seorang jurutera perisian merempuh pejabat Internal Revenue Service (IRS) di Austin, Texas dengan kapal terbang. Bulan berikutnya, John Patrick Bedell seorang pelajar pasca siswazah kejuruteraan, melepaskan tembakan ke arah pintu masuk Pentagon.

Pada awal Mei 2010, Faisal Shahzad (Sarjana Muda Sains Komputer dan Kejuruteraan) telah ditahan di Lapangan Terbang Kennedy atas cubaan meletakkan bom di Times Square. Pada bulan yang sama, Faiz Mohammad, seorang jurutera awam telah ditangkap di Lapangan Terbang Karachi bersama bateri dan litar elektrik yang disembunyikan di dalam kasutnya. Dan senarai ini terus bertambah saban tahun, tidak terbatas kepada mereka yang berasal dari Timur Tengah atau Muslim.

Gambetta dan Hertog menyatakan, antara sebab kemungkinan ia berlaku ialah, para jurutera selalunya lebih cenderung kepada jawapan atau penyelesaian yang jelas berbanding solusi yang samar-samar dan abstrak. Ini tidak membuka ruang kepada spektrum pemahaman dan penilaian yang lebih luas.

Manakala, Martin Rose, seorang konsultan kanan di British Council untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, menyatakan pendidikan sains tidak berjaya menerapkan pemikiran kritis seperti mana pendidikan sastera. Minda mereka hanya ingin mencari yang mana betul dan yang mana salah, seperti konsep binari, sama ada 1 atau 0. Ini menyebabkan mereka lebih mudah untuk direkrut kumpulan yang membawa fahaman radikal.

Tanpa menafikan kemungkinan laporan berat sebelah tentang keganasan oleh media utama Barat, kita perlu mengakui bahawa memang ada pengganas daripada kalangan Muslim akibat pemikiran yang melampau.

Setakat pengetahuan penulis, tiada kajian serupa dijalankan di kawasan Asia Tenggara ataupun dilakukan oleh penyelidik Muslim. Oleh itu tidak dapat dipastikan adakah penemuan yang sama akan diperolehi. Cuma tidak dapat dinafikan terdapat kes keganasan berprofil tinggi melibatkan rakyat Malaysia yang berlatar belakang kejuruteraan seperti Dr Azahari Husin dan Noordin Mohammad Top. Mereka dikatakan merupakan perancang utama beberapa kes pengeboman di Indonesia. Manakala Zulkifli Abdul Hir pula atau lebih dikenali sebagai Marwan, terlibat dengan kumpulan militan di Filipina.

Melihat kepada data yang kes yang dibentangkan di dalam tulisan ini mungkin menggerunkan para pembaca berlatar belakang kejuruteraan. Jangan gelabah pula para pelajar dan graduan kejuruteraan sekalian. Penulis juga graduan kejuruteraan. Nama pun kajian, ia tidak bersifat muktamad. Banyak faktor kajian yang perlu ditentukan dengan terperinci untuk menghasilkan kesimpulan yang lebih tepat seperti liputan lokasi kajian dan saiz sampel.

Namun tidak salah untuk kita mengambil pedoman bagi penambahbaikan. Nilai-nilai Islam memang sudah ada diserapkan dalam silibus kursus kejuruteraan seperti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, manakala subjek etika diterapkan dalam silibus fakulti kejuruteraan di semua IPT Malaysia. Tetapi, penulis berpendapat apa yang lebih penting adalah penghayatan secara menyeluruh tentang Islam dalam semua aspek kehidupan.

Pelajar kejuruteraan juga perlu mengambil tahu dan menimba ilmu dalam pelbagai bidang, tidak terhad kepada bidang pengajian. Pengalaman penulis sendiri apabila berhadapan dengan rakan-rakan berlatar belakang kejuruteraan, ada yang berpendapat tidak perlu ambil tahu tentang ilmu sastera, sejarah dan falsafah contohnya. Tidak semua, tetapi mentaliti sedemikian memang wujud. Benar, tidak perlu sampai tahap pakar dalam cabang-cabang ilmu yang lain, tetapi usahakanlah untuk cakna dan belajar yang termampu.

Menerusi pengetahuan dalam pelbagai cabang ilmu, cara berfikir dapat diluaskan dan membuka ruang untuk pelbagai pandangan dan perbincangan. Tidak semua jawapan dan pendekatan dalam menilai masalah kehidupan sama seperti persamaan matematik 1 + 1 = 2. Kerana kita ini manusia, bukannya mesin atau robot.

Disediakan oleh,

Nur Idawati Md Enzai, Berkhidmat sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu sejak tahun 2008.  Meminati penulisan kreatif dan sastera serta seorang pengumpul buku.


Rujukan:

Aglionby, J. (2003, 15 August). Demolition Man with English PhD tops list. The Guardian, The Guardian, Retrieved from https://www.theguardian.com/

Berreby, D. (2010, 10 September). Engineering terror. The New York Times Magazine, Retrieved from https://www.nytimes.com

Farell, H. (2015, 18 November). This is the group that’s surprisingly prone to violent extremism. The Washington Post, Retrieved from https://www.washingtonpost.com

Gambetta, D., & Hertog, S. (2009). Why are there so many Engineers among Islamic Radicals?. European Journal of Sociology/Archives Européennes de Sociologie50(2), 201-230.

Vallely, P. (2015, 3 December). Are scientists easy prey for jihadism? The Guardian, Retrieved from https://www.theguardian.com

Wong C.W., & Farik Zolkepli. (2014, 4 July). RM16 Juta Untuk Kepala Zulkifli @ Marwan – FBI. MStar, Retrieved from https://www.mstar.com.my/

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.