Di awal titik perubahan hidup ku dahulu, salah satu cara untuk aku membina diri adalah dengan banyak ber’sahabat’ bersama buku. Banyak masa aku akan dihabiskan dengan membaca. Genre pilihan adalah buku-buku berbentuk motivasi dan pembangunan diri. Sama ada aku beli sendiri atau aku pinjam buku daripada kawan-kawan. Aku mencari diri dalam pembacaan ku, menggali ilmu dan membuat refleksi diri dalam setiap pembacaan itu. Aku mencari kekuatan diri melalui pedoman si penulis. 

Kisah-kisah yang di kongsikan si penulis banyak menginspirasikan aku dan membawa kesan-kesan yang baik dalam hidupku. Setiap nilai-nilai baik yang dikongsikan membantu aku terus kuat untuk berdepan setiap cabaran. Bait-bait ayat yang ditulis terasa begitu dekat. Memahami dan difahami, hanya yang merasainya akan memahami. Aku tenggelam dalam indahnya bahasa penulisan mereka. Benarlah, penulisan itu boleh membina dan menyembuhkan diri. 

Aku menjadikan membaca dan menulis satu terapi jiwa dan kebahagiaan buat ku. Aku hanyut dalam indahnya dunia buku. Aku kutip permata-permata ibrah yang terdapat di dalamnya. Aku jadikan panduan dalam setiap langkah ku. Pengubat duka lara ku dan peneman sepi ku di setiap masa.

Tetapi hidup tidak terus berjalan lurus, ada masa kau akan diuji dan mungkin jatuh tersungkur. Pernah tak dalam hidup ini kau merasakan hilang arah tuju malah hilang jati diri? Hilang yang mana kau hanya hidup sekadar hidup, mengulangi rutin yang sama tanpa ada ‘rasa’ lagi. Kau ibarat dalam bulatan yang berputar-putar tanpa henti. Akhirnya ia membuat kau penat dan hidup tanpa perasaan serta mula merasa bosan. Malah yang sangat ditakuti kau mula hidup dengan merungut, tiada lagi rasa syukur.

Begitu juga dengan aku. Kisah hidupku tidak terus indah, aku pernah hilang arah. Hidup mula terasa kosong, hidupku hanya berjalan dengan menjalankan rutin harian malah motivasi diri turut merudum. Aku sendiri seakan tidak kenal dengan diri ku. AKU HILANG!

Aku mula berhenti membaca! Lemahnya kemahiran pengurusan masa ku membuatkan aku seakan tidak punya masa untuk membaca. Lama kelamaan aku sudah mula tidak mempedulikan buku dan ia tidak lagi menjadi perkara penting buat ku malah tiada lagi bajet bulanan yang aku khaskan untuk buku. 

Kini aku bangkit kembali dengan harapan yang baru, dengan diri yang baru dan semangat yang baru. Aku kembali mencari visi dan misi hidup yang baru. Selami diri dan hati “Apa tujuan hidupku?”. Pentingnya untuk mencari visi dan misi hidup yang tepat dan jelas kerana ia memberi kekuatan disaat lemah dan ketika terdetik rasa ingin mengalah.

Selain itu, ia memberi hala tuju, bagaimana hidup yang ingin dijalani. Membantu mengetahui apa yang penting dalam hidup dan dapat menyusun hidup mengikut kepentingan. Kemanakah masa, tenaga, wang dah fokus kita disalurkan selama ini.

Alhamdulillah, hidupku kembali bersinar dan kini aku kembali membaca. Moga aku terus istiqamah dalam hal ini dan berjaya menguruskan masa dengan baik. Telah ku peruntukkan masa untuk aku membaca sekurang-kurangnya 3 hingga 5 muka surat atau 30 minit sehari.

Saat membaca aku akan sediakan terus buku nota dan ‘sticky note’ untuk aku catat isi penting dan idea-idea baru yang muncul. Kemudian, aku akan menulis semula refleksi dan resensi tentang buku yang ku baca. Apa manfaatnya buat ku dan apa yang boleh aku kongsikan. Moga ia menjadi jariah kecil ku. Hikmah ujian hilang buatku menjadi lebih terurus dan lebih gemar berkongsi malah sekarang aku suka menulis.

Satu pesan ku, teruskan belajar, membaca dan kemudian tulislah agar kelak ia bisa menjadi pedoman buat diri mu sendiri dan orang lain. Jangan tua tanpa cerita! Saat hilang arah, toleh seketika kebalakang untuk kau bermuhasabah dan kembalilah ke jalan-Nya. Semak kembali hubunganmu dengan Sang Pencipta. Merayulah agar dikembalikan ke jalan yang lurus dan benar. Mungkin kau terleka dan terlalai dan Dia hilangkan dirimu seketika agar kau kembalikan cinta dan perhatianmu buat Dia.


Buku terkini yang sedang diteladani. InsyaALLAH, untuk membina pribadi hebat kerana Lillah

-Jiwa Yang Kembali

Kampung Padang Salim.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.