Setiap daripada kita sudah pasti pernah dihujani dengan persoalan-persoalan ‘nakal’ seperti ini; “Bukankah Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Mengasihani dan Maha Penyayang? Lalu kenapa Dia hadirkan ujian berupa kesengsaraan buat manusia?”. Tapi kita barangkali lebih memilih berdiam diri kerana takut jika persoalan-persoalan seperti ini akhirnya mencabar keutuhan akidah kita, bukan?

Pertama, tidak ada salahnya untuk menimbulkan persoalan seperti ini. Bukankah ada banyak ayat-ayat dalam al-Quran yang memerintahkan kita untuk berfikir dan menghayati? Bahkan inilah yang dimaksudkan oleh Prof Dr. Hamka dalam bukunya (Falsafah Hidup) itu sebagai ‘Kemerdekaan Menyatakan Fikiran’. Kata beliau; “..merdekalah orang yang menyatakan (fikirannya) ke hadapan umum.” Dan ya, semestinya ia perlu didasari dengan prinsip agar tidak terbabas dari garis batasannya itu.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Kembali ke akar persoalan, kenapa Tuhan hadirkan kesengsaraan, penderitaan atau bencana jika Dia Maha Mengasihani hamba-Nya? Dalam Seminar Fiqh Bencana anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis (MAIPs) tadi (27/01/2022), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai pembentang kertas kerja pertama menjawab persoalan ini. Umumnya, sebagai umat Islam, kita beriman dengan nama-nama Allah (Asma’ul Husna). Selain daripada Ar-Rahim (Maha Pengasih) itu, Allah juga Al-Qadir (Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu), Al-Muntaqim (Maha Membalas) dan Al-Jabbar (Maha Perkasa). Maka segala tindakan-Nya itu berdasarkan nama-nama-Nya yang penuh hikmah tanpa terkait dengan kehendak makhluk!

Sesuai dengan firman-Nya yang agung dalam Surah al-Qasas ayat ke-88; “..Segala keputusan menjadi wewenang-Nya, dan hanya kepada-Nya kamu dikembalikan.”

“Dialah Tuhan yang ber-Tasarruf, mempunyai kekuasaan penuh atas diri hamba-Nya, diatur-Nya menurut suka-Nya. Semuanya memaksa kita tunduk, bertafakur, khusyu’, khudhu’, takwa dan menyerah. Mahu tidak mahu, menyuruh kita cinta kepada-Nya, menyuruh kita takut.”

HAMKA, Falsafah Hidup

Hal ini kemudiannya dihuraikan lagi oleh Prof Dr. Hamka dalam bukunya (Falsafah Ketuhanan) dalam bab Hikmah. Jika kita perhatikan, beliau menyusun bab ini selepas bab Iradat seolah-olah untuk menunjukkan bahawa apa yang dijadikan oleh Allah (menurut kehendak-Nya) itu ada kebaikan (hikmah) bersamanya! Kata beliau, semuanya berlaku bersamaan dengan hikmah; yakni kebijaksanaan Yang Maha Tinggi dan aturan-Nya. Tidak ada hikmah adalah satu kemustahilan bagi-Nya.

Kita sangat terkesan dengan bencana banjir yang menimpa rakyat Malaysia baru-baru ini. Ramai yang diuji dengan kehilangan; nyawa insan tersayang, harta benda dan sebagainya yang meruntun jiwa. Namun, rupa-rupanya tidaklah semua yang diuji dengan bencana banjir ini merasakan kehilangan walaupun rumah tempat teduhannya itu lumat dikunyah banjir. 

Menerusi hantaran Auni Farhana di laman Facebook (28/12/2021) miliknya yang tular, beliau menulis rasa harunya selepas salah seorang mangsa banjir yang dibantunya itu mengatakan; “Akak sebelum banjir, memang tiada barang apapun, tapi sebab banjir ini akak dapat tilam baru, bantal, selimut, cadar, dapur masak baru.” Ini menunjukkan bahawa bersama musibah yang terlihat fatal itu pun ada kebaikan terselit di dalamnya.

Kemudian, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memetik kalam Imam Ghazali dalam kitabnya al Maqshad al Asna fi Syarh Maani Asmaaillah al Husna iaitu; “Tidak ada kejahatan dalam kewujudan yang langsung tidak ada kebaikan padanya.” Ungkapan ini sebenarnya memperihalkan bahawa terkadang sesebuah bencana atau musibah itu dikirim, supaya manusia bermuhasabah diri. 

YB Datuk menceritakan pengalaman beliau sewaktu melawat sel penjara banduan akhir di salah sebuah penjara tanah air. Katanya, beliau terkilan apabila sel banduan yang dilawatnya itu ada sejadah dan mushaf al-Quran, dahi banduan tersebut pula hitam menunjukkan betapa banyaknya dia beribadah. Rantai-rantai bencana yang menimpa hamba-Nya itu membawa mereka ke jalan yang lurus, lihatlah betapa penuh kerahsiaannya Tuhan yang Esa mengatur hidup ini.

Kita juga tidak menolak bahawa bencana juga berpunca daripada kita (manusia) sendiri. Ayat al-Quran yang lazim kita dengar, iaitu Surah ar-Rum ayat ke-41; “Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” 

Ini sangat berkait dengan hukum sebab-akibat yang dijelaskan oleh Prof Dr. Hamka dalam (Falsafah Ketuhanan), iaitu hukum sebab-akibat menentukan manusia atau lingkungan mencapai kepada yang baik atau sebaliknya. Banjir misalnya, berpunca daripada kerakusan manusia yang menjarah hutan sehingga hutan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air semula jadi itu menjadi musnah.

Jangan dilupa, bahawa ‘fasad’ dalam ayat tadi boleh juga ditafsirkan sebagai jenayah rasuah! Bukankah rasuah juga membawa kehancuran dan kerosakan? Inilah yang dipersetujui oleh Ustaz Salman Ali, Dr. Abu Hafiz dan Prof Madya Dr. Sahul Hamid semasa forum Skandal SPRM: Antara Kehancuran Urus Tadbir dan Kemurkaan Allah (22/01/2022).  Rasuah juga merupakan sebuah bencana besar yang semakin dinormalisasikan dalam kelambu masyarakat. Maka, adakah ini juga salah satu punca turunnya bencana itu? ‘Tangan-tangan manusia’ itu.

22-01-2022 : Skandal SPRM - Antara Kehancuran Urus Tadbir & Kemurkaan Allah  - YouTube

Barangkali huraian di atas terdengar klise, namun itulah hakikatnya. Itulah yang disebut oleh Ulil Abshar Abdalla, salah seorang pemikir dari Indonesia sebagai ‘Big Question’ yang akan terus muncul pada setiap zaman! Bahkan tambah beliau, usaha untuk menjawabnya itu tidak akan pernah menemui kesudahan. Itulah misteri atau yang disebutkan oleh beliau sebagai asarru-l-asrar (rahsia dari segala rahsia). Sesungguhnya jika Tuhan tidak menurunkan bencana atau kesengsaraan, dan dunia ini indah semuanya, yakni sebuah ‘utopia’ yang diimpikan itu maka ‘datarlah’ kehidupan ini, bukan?

Disediakan oleh:

Ilham Yusuf

Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), penulis.

Rujukan;

Prof Dr. Hamka (2017). Falsafah Ketuhanan. Jakarta: Gema Insani

Prof Dr. Hamka (2017). Falsafah Hidup. Kuala Lumpur: PTS Media Group.

Ulil Abshar Abdalla (2020). Kalau Tuhan Maha Kuasa, Kenapa Manusia Menderita: Memahami Akidah Islam bersama Al-Ghazali. Yogyakarta: Buku Mojok.

Siaran Langsung Seminar Fiqh Bencana anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis (MAIPs) tadi (27/01/2022), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri: https://fb.watch/aOsGX9v6n-/

Siaran Langsung Forum Skandal SPRM: Antara Kehancuran Urus Tadbir & Kemurkaan Allah (22/01/2022); https://fb.watch/aOsRzX-Mim/

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.