Perkataan rahmat adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi umat manusia. Penggunaan perkataan ini seringkali kita dengar dalam doa yang diucapkan oleh orang Islam. Tidak kurang juga, mereka yang bukan Islam seringkali mengungkapnya dengan ungkapan yang sama tetapi dengan bahasa dan nilai yang berbeza. Perkataan seperti “May God bless you” jika kita terjemahkan membawa makna yang sama iaitu semoga Tuhan merahmati kamu.

Namun begitu, rahmat bagi orang Islam berbeza dengan rahmat bagi orang bukan Islam. Seperti kata Imam Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa tidak sama orang yang beriman dengan yang tidak beriman. Inilah yang harus disyukuri oleh orang beriman. Rahmat Allah bagi orang beriman di dunia dan akhirat. Sebaliknya bagi yang tidak beriman, rahmat hanya di dunia.

Istilah rahmat berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud kasih sayang, kurniaan, belas kasihan dan penyayang. Ini juga meliputi kasih sayang, kurniaan nikmat dan belas kasihan Allah kepada seluruh makhluk Nya tidak kira sama ada yang beriman mahupun sebaliknya yang tidak beriman. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 156, yang bermaksud :

“….dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu….”

Berdasarkan tafsiran para ulama, seperti yang telah dinukilkan oleh Imam al-Tabari dalam kitabnya Jami’ al-Bayan Fi Ta’wil Ayy al-Quran, beliau menyatakan pandangan Imam Hasan al-Basri juga Qatadah, mereka menyatakan bahwa rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa.

Tafsiran ini memberikan gambaran kepada kita bahawa kasih sayang, belas kasihan dan kurniaan Allah itu sangat luas di dunia untuk semua makhlukNya termasuklah bagi mereka yang bukan Islam. Perkara ini telah dizahirkan oleh Allah SWT kepada mereka yang beriman dan kepada mereka yang tidak beriman. Diatas rahmatNya jua, kita lihat orang bukan Islam kadang-kala hidup lebih baik daripada orang Islam.

Keluasan rahmat Allah ketika di dunia tidak dapat diukur dengan angka, tidak dapat diungkap dengan bahasa dan tidak mampu ditulis dengan pena. Ini sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Allah menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menyimpan 99 bahagian dan menurunkan satu bahagian ke dunia. Di antara bahagian tersebut adalah sifat saling mengasihi antara makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat tapak kakinya daripada anaknya takut-takut akan terpijak anaknya”.

Demikian betapa luas tidak terperinya rahmat Allah SWT buat para makhluk Nya meliputi segalanya termasuklah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Umum mengetahui, manusia akan memasuki syurga asbab daripada rahmat Allah, bukan semata-mata kerana amal soleh yang telah kita kerjakan. Seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, dari Jabir RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Amal soleh kamu tidaklah memasukkan kamu ke dalam syurga dan tidak pula menjauhkan dari api neraka, tidak pula aku, kecuali dengan rahmat daripada Allah SWT”.

Persoalannya, jika benar dengan rahmat Allah sudah memadai untuk memasuki syurga, apa guna Allah ciptakan dosa dan pahala. Kemusykilan ini akan membawa kita berfikir pula siapakah mereka yang akan memperolehi rahmat Allah SWT.

Dengan mengharapkan rahmat Allah semata-mata tanpa berusaha menjadi lebih baik adalah suatu perbuatan yang sia-sia. Ini kerana rahmat Allah SWT adalah untuk para hamba Nya yang sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik. Hal ini berdasarkan apa yang disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-A’raf ayat 56 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya diterima). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

Berdasarkan ayat ini, rahmat Allah SWT sentiasa ada dan dekat bagi mereka yang berusaha menjadi insan yang lebih baik. Untuk memburu rahmat Allah, kita perlulah berusaha berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan dengan mentaati segala perintahNya dan berusaha menjauhi laranganNya. Ini juga bermaksud berusaha menjemput rahmat Allah bukanlah sekadar bersangka baik kepada Allah tanpa berbuat apa-apa sebaliknya menuntut kita untuk melakukan perubahan kearah yang lebih baik.

Begitu juga rahmat Allah bagi para manusia yang tidak berputus asa bertaubat memohon keampunanNya meskipun telah mengulangi kesalahan tersebut. Allah menyeru para hamba Nya agar tidak berputus asa untuk terus bangkit dari kesilapan. Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Inilah antara sebab kita memperolehi rahmatNya. Sesungguhnya yang namanya manusia itu tidak ada yang sunyi daripada melakukan dosa. Oleh yang demikian, jalan taubat dengan sebenar-benar pengharapan agar Allah menghapuskan dosanya merupakan suatu kerahmatan bagi hambaNya yang tidak berputus asa. Lihatlah bagaimana Allah menceritakan di dalam al-Quran melalui surah Ghafir ayat 7, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Malaikat yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab neraka.”

Demikian betapa luasnya rahmat Allah meliputi para hambaNya yang sentiasa bertaubat memohon keampunan Allah SWT. Maka tidak ada lagi alasan untuk kita terus-menerus berputus harap mendambakan keampunan Nya. Rahmat Allah juga dikurniakan kepada setiap anggota badan yang melakukan kebaikan. Dengan rahmat Nya yang Maha Luas, Allah membuka ruang dan peluang seluasnya kepada hamba Nya untuk melakukan kebaikan menjemput kerahmatan hanya dengan melalui anggota badan. Ini seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadith Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; kamu berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah, kamu membantu seseorang menaiki kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang kamu untuk pergi menunaikan sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di tengah jalan adalah sedekah.”

Inilah sebahagian besar jalan untuk memperolehi rahmat daripada Allah SWT. Ada pun soal dosa dan pahala, sesungguhnya dalam setiap amal kebaikan itu ada pahalanya dan dalam pahala tersebut terkandung rahmat Allah. Demikian pula, setiap amal keburukan itu ada dosanya dan dalam dosa tersebut terkandung murkaNya. Oleh itu, untuk mendapatkan rahmat kasih sayang Allah, perlulah berusaha melakukan kebaikan. Ketahuilah bahawa rahmat tidak datang kepada mereka yang hanya berserah diri dalam noda dan dosa. Harus bangkit lakukan perubahan, berusaha menjadi yang lebih baik. Kerana disana, pastinya ada rahmat Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.