“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
(Surah Al-Mukminun ayat 115)
Jika kita hidup untuk makan dan minum, kera di hutan pun makan dan minum. Jika kita hidup untuk sekadar mencari rezeki, burung pun keluar mencari rezeki. Lalu apa yang membezakan kita dengan binatang? Apakah tujuan sebenar manusia diciptakan?
Lihatlah roda kitaran hidup kita selama ini. Bermula dari saat kita dilahirkan kemudian memasuki zaman kanak-kanak, menginjak dewasa memasuki alam persekolahan, bekerja, berkahwin, berkeluarga dan akhirnya meninggal dunia. Lalu anak cucu kita juga melalui kitaran hidup yang sama.
Pernah seketika kita berhenti sejenak dan memikirkan adakah kehidupan ini hanya sekadar itu? Membayangkan sahaja telah cukup membuatkan kita berasa alangkah bosannya kehidupan seperti itu.
Sayyid Qutb telah berpesan agar sentiasa bertanya pada diri sendiri tentang tiga perkara ini iaitu:
- Dari mana kita datang?
- Untuk apa kita berada di sini?
- Kemana kita akan pergi?
Hanya dengan mengajukan persoalan ini pada diri, kita akan menemukan tujuan hidup kita yang sebenar. Tidak ada perkara sia-sia yang Allah ciptakan dan setiap sesuatu itu mempunyai tugasnya yang tertentu. Jika dengan bekerja kita dibayar gaji, maka begitu jugalah Allah memberi nikmat kepada kita untuk melaksanakan satu tugas besar di muka bumi ini. Kehidupan yang diberi ini bukanlah sekadar untuk melengkapkan satu kitaran hidup yang bermula dengan kelahiran, membesar, bekerja, berkahwin, berkeluarga dan meninggal dunia.
Allah telah menggariskan dalam al-Quran dua tujuan utama kita diturunkan ke bumi. Tujuan pertama seperti firman-Nya dalam Surah Az-Dzariyat ayat 56 :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Apakah yang dimaksudkan dengan ibadah? Bagaimana untuk beribadah kepada Allah? Adakah apa yang kita lakukan sepanjang hari termasuk dalam ibadah?
Ibadah berasal dari kata ‘abd’ ertinya hamba. Seorang hamba dalam setiap saat, situasi dan keadaan adalah tetap seorang hamba. Dia tidak berhak untuk memilih dalam melaksanakan sebahagian perintah dan meninggalkan sebahagian perintah yang lain dari tuannya. Begitulah juga kita sebagai hamba Allah, setiap hari selama 24 jam kita adalah hamba Allah. Kita menyangka ibadah terhad hanya ketika solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Makna ibadah yang sebenar ialah mengikuti aturan dan hukum Tuhan dalam setiap langkah dan keadaan. Setiap gerakan yang dilakukan akan menjadi ibadah yang dilakukan dengan niat yang betul.
Tujuan kedua kita diciptakan adalah untuk menjalankan tugas sebagai khalifah. Seringkali kita keliru tentang konsep sebenar khalifah. Bila disebut sahaja khalifah, ramai yang akan terbayangkan Perdana Menteri atau ahli politik. Seolah-olah tugas khalifah hanya terhad kepada para pemimpin sahaja. Sedangkan hakikatnya tanggungjawab ini wajib dipikul oleh setiap individu muslim.
Bagi memahami konteks sebenar khalifah, kita perlu meneliti kembali makna Islam dan tujuan utama kita diturunkan iaitu untuk menghambakan diri pada Allah. Islam bermaksud berserah, tunduk dan patuh pada Allah tanpa sebarang bantahan dan tugas pertama kita adalah untuk beribadah kepada Allah. Maka tugas khalifah adalah untuk menyeru semua manusia untuk kembali kepada Allah dengan hanya menyembah Allah serta taat, tunduk dan patuh pada perintah-Nya sahaja.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi…”
(Surah Al-Baqarah ayat 30)
Dakwah bukan tugas para penuntut agama sahaja. Dakwah itu tugas setiap individu muslim dan bukan sekadar tugas tetapi tujuan hidup. Bila dikatakan tujuan hidup bermakna jika tidak dilaksanakan, maka kita akan merasakan tidak senang. Tujuan itu harus dilaksanakan setiap hari sepertimana kita tidak meninggalkan solat walaupun sehari, maka begitu juga dengan dakwah tidak seharusnya ditinggalkan walaupun sehari.
Disediakan oleh,
Aqilah bt Abdul Latif
Pelajar,
Mantin, Negeri Sembilan
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!