Apabila berbicara tentang Islam, tentulah kita tidak dapat mengelak daripada menyentuh berkenaan dua sumber utama yang menjadi panduan kepada manusia iaitu Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Dua sumber tersebut tidak dapat dipisahkan jika kita benar-benar ingin mengikuti jalan agama yang lurus. Kita mengakui peranan besar yang dimainkan oleh Rasulullah SAW, bukan sahaja dalam menjadi contoh kepada kita untuk hidup beragama, malah dalam usaha kita untuk memahami kalam Allah.
Bersempena dengan menyambut Rabiulawal sebagai bulan zikra al-rasul baru-baru ini, dua topik yang menarik telah dibincangkan dalam dua forum berasingan yang diadakan di Kangar. Forum pertama membincangkan topik Al-Quran Berbicara Tentang Ketaatan Kepada Rasulullah SAW manakala forum kedua pula mengupas topik Mendamba Syafaat Rasulullah SAW. Para panel telah mengupas kedua-dua topik itu dengan huraian yang jelas agar kita dapat mempelajari sesuatu daripadanya.
Apa-apa sahaja yang diciptakan oleh Allah, tentulah tiada yang sia-sia. Pasti ada hikmah di sebalik setiap ciptaanNya. Kita tidak akan pernah berada di posisi yang mana kita mempersoalkan apa yang telah Allah tentukan. Malah, Allah jugalah yang akan mempersoalkan apa yang telah kita lakukan. Kita sendiri tidak akan mendapat apa-apa jika mahu mempersoalkan apa yang telah Allah tentukan kepada kita. Tidak wajar bagi kita sebagai seorang mukmin untuk mencari pilihan lain setelah Allah sudah menetapkan sesuatu perkara. Antara perkara terbesar yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita pastilah kalam suciNya iaitu Al-Quran.
Tujuan utama Allah menurunkan Al-Quran ialah untuk memberi petunjuk dan menerangkan hal berkenaan petunjuk kepada sekalian manusia. Dalam Al-Quran terkandung penjelasan berkenaan yang hak dan batil. Menerima kebenaran dan menolak kebatilan ialah ciri yang hanya ada pada manusia yang bertakwa sahaja.
Al-Quran juga berfungsi memberi berita gembira kepada manusia yang melakukan amalan soleh dan sebagai penyaksian serta memberi peringatan dan ancaman kepada manusia yang melakukan maksiat dan menentang suruhan Allah. Kita dikira zalim jika kita tidak meletakkan Al-Quran pada tempatnya iaitu sebagai keutamaan dalam kehidupan kita. Kita dianggap telah mengkufuri nikmat Al-Quran sebagai nikmat Allah yang paling agung. Oleh itu, kita haruslah kembali kepada Al-Quran dalam semua perkara.
Kita tidak dapat melakukan sesuatu amalan dengan baik tanpa ada contoh teladan. Sebab itulah Rasulullah SAW diutuskan. Baginda memperincikan apa yang perlu dilakukan selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Dalam erti kata lain, Al-Quran dilihat sebagai teori, manakala hadis dan sunnah Rasulullah SAW sebagai praktikal. Maka, apabila kita mengikuti sunnah, ini bererti kita juga telah mengikuti Al-Quran.
Allah mengaitkan ketaatan kepada Allah dengan ketaatan kepada rasulNya mengikut kemampuan. Ketaatan kepada Rasulullah SAW ialah ketaatan kepada Allah. Sedalam mana cinta kita kepada Allah boleh diukur melalui sejauh mana kita mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Jika benar kita cintakan Allah, ikutlah Rasulullah SAW. Seperti mana yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 31:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Hadis bertindak sebagai pihak yang berautoriti untuk menafsirkan Al-Quran, terutamanya pada ayat-ayat mujmal atau umum. Hadislah yang akan memberi penjelasan yang lebih jelas. Contohnya, perintah Allah dalam Al-Quran untuk mengerjakan solat hanya dapat difahami apabila kita meneliti hadis-hadis untuk mengetahui caranya yang bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW. Hadis juga berperanan memberikan hukum dan pensyariatan pada perkara yang tidak terkandung dalam Al-Quran.
Dua ciri amalan yang dikatakan sebagai ahsanu ‘amala ialah amalan tersebut harus dilakukan dengan ikhlas dan dijalankan dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Maka, ada dua persoalan yang perlu ditanya kepada diri sendiri: Apakah tujuan kita melakukan semua itu? Bagaimana kita mahu lakukan apa yang kita perlu lakukan itu?
Soalan pertama itu menjawab soal keikhlasan, manakala soalan kedua menjawab persoalan sama ada kita mengikuti sunnah atau tidak. Kita akan benar-benar menjadi manusia yang mencapai kemuncak kebahagiaan apabila kita melakukan amalan yang disuruh dengan ikhlas dan mengikuti cara Rasulullah SAW lakukan. Mengikuti Rasulullah SAW ialah satu kewajiban. Jika kita tidak mengikuti sunnah baginda, kita telah kufur kepada nikmat besar yang Allah kurniakan kepada kita.
Oleh itu, janganlah kita berpaling daripada Rasulullah SAW setelah kita mendengar wahyu yang disampaikan oleh baginda. Kita tidak akan sesat selagi kita mengikuti Al-Quran dan sunnah. Itulah pedoman yang paling selamat. Sunnah menegaskan dan menyokong apa yang terdapat dalam Al-Quran. Tanpa kedua-duanya, kita akan lebih teruk dan sesat daripada haiwan ternakan kerana hidup tidak berpandukan wahyu. Secerdik mana pun kita, tetapi jika hidup tanpa wahyu, hanya akan menyerlahkan kejahilan kita sahaja. Jika kita berselisih pada sesuatu perkara, kembalilah kepada Allah dan rasulNya. Begitulah pentingnya mengikuti kedua-dua pedoman tersebut.
Apabila kita dianjurkan untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW, ini tidaklah bererti kita mengikutinya dengan membuta tuli. Sunnah-sunnah baginda boleh diletakkan dalam beberapa kategori. Ada sunnah baginda yang dikira sebagai jibilli, atau amalan yang baginda lakukan sebagai seorang manusia yang punya pilihan kegemaran dan tiada pengkhususan ibadah atau syariat jika melakukannya. Contoh paling mudah untuk sunnah jibilli ialah dalam soal makanan dan minuman pilihan baginda. Oleh sebab itulah, kita tidak disyariatkan untuk minum minuman yang manis dan sejuk, atau diharamkan makan biawak padang pasir.
Maka, penting untuk kita memahami kategori sunnah, terutama pada sunnah baginda yang melibatkan soal ibadah. Jika kita tidak mengikuti cara sebenar Rasulullah SAW beribadah, besar kemungkinan ibadah kita tersasar jauh daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan sudah pasti tidak akan diterima.
Kita boleh melihat betapa tingginya ketaatan para sahabat terhadap Rasulullah SAW. Mereka mencintai dan mengikuti baginda dalam setiap inci kehidupan, pada sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara. Mereka tidak mempersoalkan kerelevanan sesuatu amalan itu dilakukan. Mereka melihat Rasulullah SAW mencium Hajarul Aswad di Kaabah, maka mereka juga turut menciumnya walhal ia hanyalah batu yang tiada apa-apa. Saidina Ali sendiri pernah berkata, “Jika agama diputuskan mengikut logik akal, tentulah aku akan menyapu khuf di bahagian bawah. Tetapi, aku melihat Rasulullah SAW sendiri menyapu khuf di bahagian atas.” – Riwayat Abu Daud (147).
Begitulah tingginya ketaatan para sahabat kepada setiap gerak-geri Rasulullah SAW. Kita perlulah meletakkan Rasulullah SAW melebihi daripada manusia yang lain. Kita tidak akan dapat mengikuti sunnah dengan sebenar-benar maksud jika kita masih meletakkan manusia lain sebagai keutamaan dalam kehidupan kita.
Syafaat Rasulullah SAW yang kita damba
Syafaat dapat diertikan sebagai perantara untuk kita mendapat sesuatu. Dalam Islam, kita mengimani bahawa Allah ialah pemilik mutlak segala syafaat. Allah yang mengizinkan untuk seseorang atau sesuatu memberi syafaat. Tiada siapa boleh memberi syafaat kecuali dengan izin Allah. Allah telah berfirman dalam Surah Az-Zumar, ayat 44: Katakanlah (wahai Muhammad): Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dialah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan).
Setiap nabi memiliki doa istimewa yang telah pun Allah mustajabkan. Adapun Rasulullah SAW mengkhususkan doa tersebut sebagai syafaat untuk umatnya pada hari akhirat. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, “Rasulullah SAW bersabda: Setiap nabi mempunyai doa yang mudah dimakbulkan. Aku ingin menyimpan doaku tersebut, untuk memberi syafaat kepada umatku pada hari kiamat nanti.” – Riwayat Muslim (293).
Allah mengizinkan Rasulullah SAW untuk memiliki beberapa syafaat yang sudah tentu didamba oleh sekalian manusia ketika berada di akhirat kelak. Rasulullah SAW boleh memohon kepada Allah untuk mempercepatkan proses hisab di Padang Mahsyar. Baginda jugalah manusia pertama yang mula mengetuk pintu syurga dan menjadi manusia pertama yang boleh memasuki syurga. Umat Rasulullah SAW jugalah nanti yang akan mula-mula memasuki syurga mendahului umat rasul yang lain.
Rasulullah SAW juga diberi syafaat untuk mengeluarkan manusia yang mentauhidkan Allah dari neraka supaya masuk ke syurga dan baginda juga diizinkan oleh Allah untuk menyelamatkan umatnya yang perlu masuk ke neraka supaya tidak masuk ke neraka. Malah, menjadi umat Rasulullah SAW membolehkan kita berpeluang menerima syafaat baginda untuk dinaikkan kedudukan di akhirat nanti. Moga kita tergolong dalam kalangan yang memperoleh syafaat baginda.
Pada masa yang sama, kita juga haruslah berwaspada daripada menjadi manusia yang akan terhalang daripada menerima syafaat daripada Rasulullah SAW kelak. Siapakah yang tidak layak menerima syafaat baginda?
Manusia yang terlibat dengan syirik tentulah jauh daripada syafaat Rasulullah SAW, apatah lagi keampunan Allah. Pemimpin yang zalim dan manusia yang melampaui dan terkeluar dari batas agama juga terhalang daripada menerima syafaat baginda. Selain itu, manusia yang tidak percaya kepada syafaat dan mereka yang menyukai perkara baharu dalam agama yang bukan sebahagian daripada ajaran daripada Rasulullah SAW turut tidak berpeluang menerima syafaatnya kelak.
Setelah mengetahui agungnya syafaat yang bakal (insya Allah) kita perolehi di akhirat kelak, tidaklah wajar jika kita hanya bergoyang kaki dan berpada dengan menjadi umat Rasulullah SAW semata-mata. Usaha daripada kita haruslah menzahirkan kemahuan dan harapan yang tinggi agar dikurniakan syafaat oleh Rasulullah SAW dengan izin Allah.
Pelbagai amalan yang dilakukan dapat melayakkan kita menerima syafaat menurut nas-nas yang sahih. Antara amalan mudah yang mungkin kita terlepas pandang ialah menjawab azan, berselawat kepada Rasulullah SAW setelah azan, mendoakan baginda memperoleh wasilah dalam doa setelah azan, dan berselawat kepada baginda setiap kali namanya disebut.
Hakikatnya, kita memang amat memerlukan syafaat. Amalan kita sendiri tidak akan pernah mencukupi untuk melayakkan kita selamat di akhirat dan memasuki syurga Allah. Jika kita benar-benar memahami dan menginsafi keadaan sebenar di akhirat kelak, tentulah kita akan lebih menghargai nikmat memperoleh syafaat. Dan tentulah juga kita akan berusaha sehabis daya untuk melayakkan diri memperoleh syafaat daripada Rasulullah SAW.
Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.
Disediakan oleh,
Syamim Binti Hashim