Bibirku menguntum senyum tiap kali mengimbau detik perkenalan dengan ‘S’. Aku dan dia sudah lama saling mengenali, namun hanya apabila kami sama-sama berjaya melangkahkan kaki ke menara gading barulah perasaan cinta itu mula berputik dan kian bercambah hari demi hari. Namun perjalanan cinta kami tidaklah seindah kisah-kisah romantis dalam drama.

Aku tahu, ada yang tidak senang dengan perhubungan kami malah ada yang sanggup memperlekeh dan memperkecilkan S kerana beranggapan dia tidak mampu menjanjikan sebarang masa depan yang baik buatku. Hanya kerana tersalah anggap dan kurang selidik peribadi S, yang muluk-muluk tentangnya tidak ingin dibongkar atau diuar-uarkan oleh “bukan penggemarnya”. Aku sekadar menelan pahit kenyataan tersebut dan merapat tuli telinga tiap kali ada yang cuba memprovokasi S. Cukuplah hanya Tuhan dan mereka yang merestui perhubungan kami ini menitipkan doa yang baik-baik. 

Begini ceritanya bermula, semasa di tingkatan enam baik aku mahupun S, masing-masing kami gemar membuat perihal sendiri. Aku menganggap, S sosok yang sederhana dan cukup limitasi. S hanya fasih mendeklamasi sajak dan pantun, melagukan gurindam dan talibun serta mahir menulis novel. Cukup. Itu sahaja keunikan dan keistimewaan yang dapat kutanggapi tentang S.

Sebenarnya, aku ingin membuat pengakuan di sini, S memang ada membuat ikhtiar untuk berkenalan denganku dengan lebih rapat namun aku menyambutnya dengan perasaan biasa kerana “biasanya” kebolehannya itu pada tanggapanku. Namun, segala-galanya berubah apabila Tuhan mempertemukan kami sekali lagi di sebuah dewan kuliah, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Di dalam dewan kuliah…

S, kau buat aku betul-betul tergamam dan kagum pada sesi kuliah pertama! Kau tampil di hadapan kelas dengan penuh yakin. Kau telah banyak berubah. Banyak sekali berubah! Aku dapat rasakan, kau bukan lagi sosok sederhana seperti di sekolah dahulu sebaliknya luar biasa sekali. Benar-benar luar biasa.

Rupa-rupanya, kau telah masyhur dan menjadi sorotan perhatian para sarjana. Bagaimana mungkin itu berlaku? Berapa sebenarnya usiamu? Bukankah kau dan aku sebaya? Kau bilang Raja Ali Haji, Munsyi Abdullah, Usman Awang dan Pendeta Za’ba telah bersahabat dengamu. Bukan mereka sahaja malah sarjana antarabangsa seperti R.O. Winstedt dan Thomas Stamford Bingley Raffles (Stamford Raffles) juga bersungguh-sungguh membongkar dan menulis tentang keperibadianmu. Aneh, pensyarah kita telah mengakui kata-katamu. Oh, rupa-rupanya dia juga telah menjadi pengikut dan penggemar tegarmu? Apa sudah jadi?

Dan semakin kau membuka mulutmu waktu itu, semakin aku terlongo dan melopong seperti orang dungu. S, benarkah kau itu?’ Aku ulangi sekali lagi pertanyaan: S, benarkah kau itu? Atau kau sebenarnya telah disampuk jin yang membuatkan kau benar-benar tampak perkasa dan gagah di mataku? Ah, mengarut mana mungkin jin ingin mengambil tahu tentang hal-hal sebegini!’ Desisku dalam hati.

Namun, diam-diam aku menyimpan kagum kepadamu semester demi semester dan akhirnya aku tewas dan terpaksa mengakui, kini aku pula yang ingin sekali berkenalan denganmu. Tiap masa tidak kira di dewan kuliah atau di kolej, pasti mindaku melayang-layang jauh teringat kepadamu. Mukaku terasa membahang merah kerana pernah menolak salam perkenalan olehmu sebelumnya. Kini, aku pula yang terhegeh-hegeh membaca perihalmu siang dan malam melalui buku, majalah dan media sosial. Adakah ini dinamakan angau?

Pada semester dua…

‘S’ telah mengajar aku bermain teater dan drama. Tidak pernah terjangkau selama ini oleh fikiranku, S juga mempunyai hubungan yang erat dengan orang-orang teater. S mengajar sahabat-sahabatnya itu mengekspresi diri dalam variasi keadaan: sedih, gembira, lelah dan marah.

Kata S, budaya teater telah berakar umbi dari Athens. Daripada hanya mempersembahkan cerita-cerita berbentuk tragedi seperti kisah Raja Sisyphus yang berulang kali menolak batu sebagai hukuman kerana berlaku zalim kepada rakyat atau kisah Raja Oedipus yang mencucuk matanya sehingga buta kerana menyesali perbuatannya mempunyai perhubungan cinta terlarang dengan si ibu, kemudian teater telah bercambah kepada pelbagai jenis dan aliran. 

Kata S lagi, tujuan utama dia dan orang-orang teater bersahabat hanyalah semata-mata ingin menghidangkan persembahan lakonan yang mampu memberikan pengajaran kepada masyarakat yang menonton. Rupa-rupanya kau berjiwa sosialis, S! Kau cakna dan peka dengan setiap hal yang berlaku di sekeliling.

Bukan itu sahaja, pada ketika ini juga baru aku tahu bahawa engkau rupa-rupanya telah menabur bakti dalam usaha penyebaran ilmu dan dakwah Islam di Tanah Melayu dahulu. Melalui kau, orang-orang Melayu telah berusaha mencipta tulisannya sendiri untuk memahami ayat-ayat al-Quran yang menggunakan bahasa Arab. Akhirnya, ramai orang Melayu yang telah celik ilmu seperti alim ulama yang berjaya menghasilkan berpeti-peti manuskrip yang kini terletak di bawah jagaan rapimu.  Benar, aku amat kagum kepada dirimu yang sekarang!

Pada semester tiga…

Aku fikir perhubungan kita sudah semakin akrab, S. Aku juga sudah semakin mengenali keperibadian dan fiilmu. Aku tidak segan-segan lagi jika ada rakan-rakan atau orang sekeliling mengaitkan kita berdua. Aku sebaliknya merasa bangga. Biarlah segelintir mereka masih beranggapan perhubungan kita ini bersifat aneh dan tiada tujuan. Sesungguhnya, mereka tidak akan mengerti kerana sememangnya mereka tidak ingin mengerti dan menghargai akan kewujudanmu.

Semester itu, kita banyak menghabiskan masa bersama-sama di gedung ilmu tingkat dua. Dingin hawa yang menyelinap setiap sendi gedung ilmu, tidak pernah membuatkan mataku kantuk memerhatikanmu. Kau dan aku seolah-olah berbicara dengan nada senyap dan hanya setelah berasa puas berbual-bual denganmu, barulah aku melangkah keluar untuk pulang ke kolej. Jantungku berdegup-degup menahan debar. Adakah ini tandanya aku telah jatuh cinta kepada S? Mungkinkah? Aku usap perlahan dadaku. Cuba  mengawal degup jantung yang rancak. Jauh lagi perjalananku di menara gading ini, masih berbaki empat sem lagi sebelum aku menyarung jubah konvo. Biarlah kami berkenalan secara perlahan-lahan dan tidak gopoh. 

Semester ini juga, S telah mengajarkan kepadaku tentang pembikinan skrip drama radio. Kata S, drama radio amat unik dan istimewa kerana penyampaian kisahnya benar-benar bergantung pada skrip dan penghayatan para pelakon yang menyumbang suara. Bunyi ketukan pintu, kaca pecah dan guruh sering menjadi bunyi latar bagi sesebuah drama radio.

Katamu, aku perlu beri penekanan terhadap aspek-aspek tersebut sekiranya ingin menghasilkan sesebuah skrip drama radio yang baik. Watak-watak dalam drama radio juga jangan dimasukkan terlalu banyak, memadai sebanyak lima watak. Hal ini kerana, khuatir jika berlebihan pendengar tidak akan mampu memberikan perhatian kepada watak-watak yang terlibat. Aku catat setiap perkongsiamnu itu S, di dalam sebuah buku nota agar nanti dapat aku kongsikan kepintaramu dengan orang lain juga. Biar mereka turut sama-sama melongo sepertiku. Mengagumi keluasan ilmumu.

Pada semester empat…

S banyak bercerita kepadaku perihal novel-novel Melayu. Kata S, dirinya telah dijadikan bahan eksperimen oleh novelis untuk meluahkan pelbagai perasaan yang terpendam. Masyhur benar kau rupa-rupanya, S! Kadangkala penulis mengaitkan dirimu dengan kisah cinta, dakwah, seram, sejarah dan banyak lagi. S tidak kisah dirinya diperlakukan demikian, kerana S ingin meraikan budaya menulis dalam kalangan masyarakat.

Namun, pernah satu ketika S menyuarakan kebimbangannya kepadaku tentang perselisihan tidak harmonis antara penulis. Ada yang menulis perihal S dengan bait-bait indah dan bahasa teratur namun ada juga yang membicarakan S dengan menggunakan bahasa yang kasar dan kesat. Dakwa penulis itu, S tidak perlu bimbang untuk dijadikan senjata kritikan kebenaran dan kejelikan yang berlaku kerana tidak semua perkara dalam dunia ini indah seperti dibayangkan.

Entahlah, S sendiri merasa bingung. Lumrah, S memang ada tidak berpuas hati dengan ketidak adilan pada sesetengah perkara namun bukanlah jati diri S yang berlatar belakangkan budaya masyarakat Melayu berbahasa yang demikian. Aku simpati dengan nasib S. 

Pada tiga semester berikutnya…

Keakraban hubungan aku dan S sudah sampai ke telinga para pensyarah. Mengejutkan, mereka memberikan sokongan penuh kepada kami. Mereka turut berpesan kepadaku supaya menjaga nama baik S, maklumlah S mendapat tempat istimewa di hati para pensyarah di jabatan kami kerana keunikan dan keistimewaanya itu. Aku mengangguk tanda bersetuju untuk memikul amanah tersebut.

Tidak sangka, S yang cuba kujauhi semasa sekolah dahulu kini kudekati dan berjanji sehidup semati dengannya. Aku berjanji S, aku tidak akan meninggalkanmu setelah kita berkenalan sejauh ini. Kau juga perlu berjanji yang demikian, ya.

Menyambung pengajian peringkat Sarjana…

Kita bertemu lagi S! Jodoh kita panjang rupanya. Kini, kita akan sama-sama menekuni perjalanan Sarjana sepanjang dua tahun. Sudah bersediakah engkau untuk aku kenali dengan lebih dalam? Penting aku lakukan ini agar aku benar-benar mengenalimu sebelum ku jaja keistimewaanmu kepada yang lain-lain.

“S…S….S…. Sebenarnya aku ingin membuat satu pengakuan yang maha penting pada hari ini. Aku…aku Noor Hidayahtul Aiza binti Atan sangat mencintaimu S. Ya, kaulah yang aku cintai itu S, “Sastera” yang telah menambat hatiku sejak kali pertama kuliah pengajian Sarjana Muda!”

Nukilan,

Noor Hidayahtul Aiza binti Atan

Merupakan bekas pelajar Universiti Putra Malaysia yang  menuntut dalam bidang Kesusasteraan Melayu. Saya amat meminati bidang  penulisan dan pernah menyertai Minggu Penulis Remaja pada tahun 2019. Selain  itu, saya juga telah menyertai beberapa pertandingan menulis cerpen, mendeklamasi sajak dan berpidato di peringkat universiti dan telah memenangi  beberapa acara daripadanya. Untuk mengasah lagi potensi menulis, saya giat  menyertai bengkel penulisan dan menghadiri malam baca puisi yang dianjurkan  oleh pihak DBP. Di samping itu, saya kini juga merupakan seorang editor dan  pembaca pruf sambilan di rumah penerbitan Jejak Tarbiah. 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.