Berapa kali sehari kah kita menyentuh al-Quran dan membacanya? Atau sekadar menjadi perhiasan di rumah kita? Malah di masjid begitu banyak orang mewakafkan al-Quran sehingga berlambak tersusun di rak-rak. Pelbagai jenis corak dan warnanya. Tapi sayang seribu kali sayang, sedikit sekali yang mahu mentadabburinya.
Wahai sahabat sekalian, apakah kita tidak mengetahui bahawa al-Quran ini kelak akan menjadi penolong kita di alam kubur dan di hari penghisaban amal. Al-Quran ini yang akan memberikan kita syafaat di akhirat. Ia juga menjadi asbab diluaskannya kuburan kita.
Rasulullah s.a.w bersabda,
“Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Al-Quran merupakan satu mukjizat yang besar daripada Allah diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w agar menjadi panduan kepada umatnya seluruh alam tanpa mengira bangsa. Ia umpama peta sebagai petunjuk supaya kita tidak tersesat sepanjang perjalanan di dunia ini.
Dalam surah al Baqarah ayat ke 2, Allah berfirman, “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya), Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”
Sekiranya kita mengaku sebagai orang yang bertakwa kepada Allah, maka tidak akan sesekali kita meninggalkan al-Quran. Kita akan jadikan membaca al-Quran sebagai aktiviti rutin yang takkan kita lepas pandang.
Seandainya kita sentiasa mendampingi al-Quran, insya-Allah kita takkan mudah tergoda dengan bisikan-bisikan jahat syaitan. Hati kita yang sedih akan mudah bertukar ceria. Kita sentiasa menjadi hamba Allah yang kuat dan tabah dalam mendepani apa jua dugaan mahupun musibah.
Seperti yang dijanjikan oleh Allah bahawa hanya dengan mengingati-Nya, hati menjadi tenang. Namun, ada insan di luar sana tertanya-tanya walaupun mereka sudah membaca al-Quran tapi mengapa hati masih gelisah?
Mari kita renungkan sejenak, adakah kita membaca al-Quran dengan memahami betul-betul isi dan maknanya? Atau kita sekadar membaca sambil lewa?
Percayalah jikalau kita tadabbur isi al-Quran, merenungi sungguh-sungguh apa yang Allah sampaikan melalui kitab suci tersebut, pasti kamu akan memperoleh kedamaian jiwa. Sebab di dalamnya memuatkan begitu banyak kisah dan cerita menggugah jiwa. Jika kita padankan dengan situasi di zaman kita sekarang ini, hampir sama dengan apa yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran. Sentiasa berulang-ulang. Cuma watak saja yang berbeza.
Oleh kerana itu, sentiasalah jadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan kita sehari-hari. Dunia ini penuh dengan gemerlapannya yang menipu. Sesiapa yang tidak pandai membawa diri, maka akan hanyut di dalamnya. Andai al-Quran pula tidak dijadikan penunjuk arah, tersesatlah kita ke haluan yang salah.
Membaca al-Quran tidak semestinya harus berjuzuk-juzuk dalam sehari. Kita sedar iman kita bukan seperti orang-orang salaf dahulu. Tapi usahakan untuk membaca al-Quran setiap hari walaupun cuma selembar dua. Hari demi hari tingkatkan lagi kuantiti pembacaan sehinggalah kita merasa tak sedap hati apabila tidak membaca al-Quran walau sehari. Istiqomahlah walaupun dengan sedikit pembacaan. InsyaAllah, Allah akan berikan lagi kekuatan dan kekhusyukan kepada kita agar sentiasa berasa seronok membaca kitab suci itu.
Jangan jadikan al-Quran sekadar hiasan sehingga berdebu. Betapa sedihnya kehidupan seorang Muslim yang tak minat membaca al-Quran. Betapa tidak berkatnya waktu yang dibiarkan berlalu tanpa lafaz-lafaz al-Quran. Betapa banyak Allah menyampaikan mesej-mesej cinta kepada kita melalui al-Quran tetapi kita enggan membuka dan membacanya. Sungguh merugilah kita.
Menyedihkan apabila kita lebih suka melayan media sosial berbanding pesan-pesan dari Rabb kita. Allahul musta’an…
Disediakan oleh: Shafiyyah Mei