Menjadi seorang pelajar yang menetap hampir 5 tahun di bumi Tembok Besar benar-benar mengajar saya mengenali dan menghargai nikmat iman dan Islam itu. Mungkin ketika di Malaysia saya berada dalam lingkungan yang selesa sahaja sehingga tidak menyedari akan besarnya rahmat Allah itu.

AGAMA ISU SENSITIF

Semua pasti tahu isu Xinjiang, sebuah tempat yang terletak di barat China. Secara ringkasnya, kalau kita baca di blog, buletin, video – roh Xinjiang semakin ‘hilang’. Terlalu banyak konspirasi serta teori. Pernah juga kawan saya ke sana diacu senapang, namun setelah ditunjukkan buku merah, mereka dilepaskan. Yang paling penting, cakna akan keadaan saudara kita di sana dan sentiasa mendoakan mereka. 

Kita tahu negara China merupakan sebuah negara komunis, jadi secara ringkasnya lagi, Karl Marx = anti-religious = atheist. Jadi, kebanyakan rakyat di China tidak mempunyai agama. Sebelum ini kalau borak-borak dengan kawan di Malaysia, hampir semua berfikiran majoriti rakyat China beragama Buddha tetapi rakyat yang menganut Buddha hanyalah 18.2% sahaja (http://www.globalreligiousfutures.org). Dahulunya sebelum saya ke China, saya juga beranggapan begitu. Bila sudah berada di China, lama-kelamaan barulah saya faham.

Jadi, boleh kata isu berkaitan agama sangatlah sensitif. Saya mahu bercerita pengalaman saya semester lepas, dengan hangatnya isu penindasan terhadap umat Islam, jadi topik itu ada antara rakan saya yang membawakannya di dalam kelas untuk pembentangan lisan.

Antara isu yang dibawakan ialah isu Palestin dan New Zealand; dunia menuding jari kepada umat Islam kerana  kita ialah ‘terrorist.’ Keberanian rakan-rakan untuk berbicara di hadapan kelas dengan berbahasa Mandarin, menceritakan situasi yang terjadi, sangat berani dan berkeyakinan. 

Seperti yang saya jangkakan, pensyarah kami kurang selesa dengan topik tersebut. Topik berkaitan agama terlalu sensitif dan kalau boleh tidak perlu dibuka langsung, mungkin ada CCTV yang merakam kami, mungkin. Namun, kata-katanya yang membuat kesimpulan sendiri, benar-benar mengguris hati saya. Tidak mengapalah, jika dengan berkata-kata kita tidak mampu menyentuh hati manusia, kita boleh menunjukkan contoh yang baik.

Selepas pembentangan berita tersebut, kami ditegur supaya tidak membuka topik mengenai agama kerana terlalu sensitif dan mungkin boleh mengguriskan hati pensyarah kami. Jadi, rakan-rakan yang berkobar semangatnya terus luntur! Daripada niat kita yang mahu berkongsi bersama rakan sekelas, terus dicantas semangatnya. Tidak mengapa, jika Palestin dan New Zealand terlalu sensitif, topik yang dikupas tentang alam sekitar, meteor, kerajaan, rokok juga diolah dengan baik dan pensyarah juga tidak bermasam muka lagi.

JANGAN SOLAT DI TEPI JALAN

Kini, undang-undang semakin ketat di sana. Saya sarankan kepada mana-mana pelancong atau backpacker yang ingin melancong ke China, lagi-lagi di Beijing untuk tidak mempamerkan perbuatan-perbuatan kita yang berkait dengan agama. Contohnya, solat di tepi jalan. 4 tahun yang lepas, kami masih lagi boleh solat di tepi jalan (tidaklah terlalu umum, masih lagi mencari ruangan sempit) tetapi kini CCTV ada di mana-mana, malah di kawasan EXIT di tangga yang gelap juga pernah didatangi sehingga empat orang pegawai yang menghalau keluar terus dari pasar raya. Jika mahu solat, solatlah di dalam bilik atau di masjid sahaja. Jika ditangkap boleh diheret ke balai!

Eh, jangan takut pula untuk ke China. Seronok tapi haruslah berhati-hati. Kami juga pernah diberi nasihat, “Islam ini fleksibel.” Jadi, nak berbulatan gembira pun hanya di dalam bilik sahaja.”

Sangat menakutkan dan mendebarkan jika mahu berkelah atau beriadah di sini. Boleh kata, kami memang tidak akan membawa al-Quran fizikal. Kalau dalam telefon pintar pun, sorok-sorok apps al-Quran itu. 

Kalau kami berkelah, memang kami akan menjadi perhatian orang ramai. Iyalah kan, kita saja yang pelik memakai pelitup kepala, pastinya mendapat perhatian orang ramai. Sekiranya mengikuti lawatan ke luar bandar, memang kami akan cuba banyak helah dan taktik. Punyalah susah semata-mata nak berkelah, aduhai. 

Tipulah tak takut kalau disoal dengan pegawai polis di sana. Jantung ini berdebar sampai terasa dekat anak tekak. Nak kena bercakap dalam bahasa Mandarin pula. Memang kena confident saja, kalau terketar-ketar, memang tak terkeluar. Setiap kali lepas kena soal dengan pegawai keselamatan atau polis, barulah lega. Rasa nak menangis pun ada. Itupun masih lagi dalam keadaan berhati-hati bagai ada mata yang melihat dari jauh.

Banyak lagi cerita-cerita, pengalaman yang berharga sepanjang belajar di Beijing. Belum lagi cerita orang sana fikir kami orang Tanzania lah, orang India lah, orang Afrika lah. Jangankan bila mata kita sepet, diingat kita orang Xinjiang lah, orang Gansu lah, orang Ningxia lah. Bila kita cakap, “Saya dari Malaysia”, ada yang terlopong mulut tidak pernah mendengar nama Malaysia. Yang mereka tahu, Singapura saja.

 

Disediakan oleh,

Jiha Jahari

 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.