Pernahkah kita merasa? Bahawa kita sudah penat mengejar mimpi. Setiap hari bertungkus  lumus berusaha untuk menggapai mimpi itu. Berpenat lelah untuk mendapat  kejayaan yang cemerlang. Bersungguh-sungguh sehingga tidur malam berantakan agar mimpi  tidak menjadi sekadar ‘mimpi’.  

Namun, kenapa ya? Masih belum mampu. Pencapaian kita masih biasa-biasa. Lalu, kita  mula membandingkan diri kita dengan yang lain. Lantas, mengambil keputusan untuk berhenti,  kerana kecewa dengan diri sendiri. Akhirnya, mimpi kita tidak berjaya diwujudkan. Mimpi  itu hanya menjadi sebatas ‘mimpi’. 

Keep watering yourself, you are growing

E.russell 

Adakah kita menyedari, sekiranya mahu makan hasil buah tanaman, kita perlu  menjaganya, menyiram dan menunggu hasil pada tiga sehingga 10 tahun lamanya. Bukan  dengan hanya menunggu sehari dua. Jadi bagaimana jika kita terus menerus kecewa dan marah  kepada diri sendiri sedangkan kita baru berpenat lelah selama seminggu? 

Pohon itu, 

Cukup mengajar kita erti kehidupan,  

Cukup mengajar kita erti kesabaran.  

Cukup mengajar kita erti ketabahan. 

Bukankah jika kita mahukan pohon terus sihat dan bunga nya semakin mekar, kita harus  dahulu menyunting sedikit bahagian pucuknya? Bukankah proses menyunting itu adalah  dengan ‘mematahkan’ sedikit di bahagian hujung dahannya? Setelah seminggu, pucuk baru  lagi akan tumbuh dan mengeluarkan bunga yang mekar berganda banyaknya. Fenomena indah  ini, umpama bunga melati putih yang menyinari pagi. 

Oleh hal yang demikian, tumbuhan hijau itu sebenarnya mengajar kita suatu proses  dalam kehidupan agar terus bertumbuh. Tidak mengapa jika kita ada patahnya dalam mengejar  mimpi. Itu adalah proses. Mengejar mimpi itu seakan-akan kita mengejar ‘patah’.

Sebenarnya,  setiap kali kita ingin mengejar impian, kita juga perlu mengejar kegagalan. Dengan erti kata  lain, setiap kali hati patah mengejar impian, kita juga harus meraikan kegagalan. Maka, kegagalan itu sebenarnya merupakan proses yang baik untuk kita mengambil pengajaran  dan melakukan dengan lebih baik lagi. 

Seorang ayah sering bertanya-tanya kepada anaknya, “Berapa kali kamu gagal hari ini,  nak?” Soalan ini menunjukkan beliau seorang ayah yang cerdik. Ini menunjukkan ayah itu  meraikan kegagalan dan kejatuhan anaknya. Namun dengan syarat, anaknya perlu mengambil  pengajaran terhadap kegagalan itu. Sedih yang berpanjangan tidak akan menyumbang kepada  proses pertumbuhan. Sebaliknya, terus bangkit untuk perbaiki diri apabila adanya kegagalan  dalam hidup akan memberi kesan kepada minda agar terus menerus bertumbuh. 

Kehidupan itu memerlukan patah untuk terus bertumbuh.  

Memerlukan luka untuk mengajar erti ketabahan.  

Memerlukan gagal untuk mengajar erti terus bangkit menuju ke depan.  

Bukankah ketika masih kecil, masih tatih berjalan, Allah SWT meletakkan keinginan di dalam  jiwa kita untuk mahu berjalan seperti yang lain? Jadi kita tanpa dalih terus cuba dan mencuba  untuk bangkit, walau ada sakit jatuh bangun nya. 

Bukankah ketika kita belajar menunggang basikal, Allah SWT pasti akan menguji kita dengan  luka akibat jatuh tersembam ketika menungganginya?  

Bukankah ketika jiwa masih terkenal dengan kenakalan kanak-kanak, diri masih tetap mahu  memanjat pohon nan tinggi itu, semata mata ingin memetik buah-buah yang merah menggoda  warnanya? Meski badan sudah berkali-kali jatuh ke tanah.  

Namun semua itu kita tidak menjadikannya sebagai alasan. Kita terus bangkit daripada  jatuh untuk terus berlatih berjalan, kita tetap berdegil mahu juga menunggang basikal meski  dimarahi ibu berkali kali. Kita masih berdegil mahu mencuba memanjat pohon demi buah  rambutan yang menjadi kegemaran. Walau tangan sudah patah dibalut berkali-kali.  

Ketika itu tidak ada siapa yang dapat menghalangi kita. Tidak ada siapa. Hanya dengan  kedegilan kita untuk terus bangkit, membuatkan kita berada di sini.  

Saat ini.  

Alhamdulillah kaki berjaya melangkah sendiri.  

With patience you grow, you heal and shine

Evenfall

Disediakan oleh: Karang Fulanah


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.