Saban hari kita didengarkan dengan pelbagai cerita tentang kedukaan wanita, kemelut perasaan, dikhianati, dilukai berulang kali. Luka yang terguris di hati tidak mampu sembuh hanya dengan beredarnya waktu atau menumpahkan titisan air mata saban waktu.

Merasa lelah dan terbeban bergelut  dengan pelbagai ujian sendirian yang membenamkan dan membuatmu tersungkur. Percayalah takdir Tuhan tidak kejam, hanya kita sahaja tidak melihat hikmah yang tersembunyi disebaliknya.

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا ، إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu keletihan dan penyakit (yang terus menimpa), kekhawatiran, dan kesedihan, tidak juga gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya, melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” [HR. Bukhari no. 5641]

Putus asa bukan jalan penyelesaian dari setiap permasalahan, bukan juga pengakhiran dari kehidupan. Berhenti sejenak ketika diri sudah tidak mampu menampung saratnya perasaan duka yang memenuhi segenap hati yang menyesakkan dada. 

Ketidakmampuan jangan dianggap sebagai kelemahan yang berhujung menyerah pada keadaan begitu saja. Tangis yang mencurah, suara yang seakan-akan ingin berteriak, betapa peritnya jiwa yang diabaikan hak sebagai seorang wanita, sedangkan Allah dan Rasul-Nya memuliakan mereka.  Islam  mengangkat martabat wanita dan membebaskan mereka  dari segala bentuk kezaliman manusia.

Penganiayaan daripada seorang lelaki yang pada mulanya menabur janji manis, katanya sudi memberi perlindungan dan tempat bergantung harap. Tetapi akhirnya dialah makhluk yang paling zalim  bertopengkan manusia. Merampas segenap kebahagiaan yang ada, lalu menggantungkan segunung beban dipundak sebahagian wanita lalu berpura-pura seperti mereka juga teraniaya. 

Kata-kata puitis mereka adalah racun yang membunuh wanita, sehingga ramai yang berbalah sesama sendiri demi mendapat kebahagiaan yang dijanjikan atas nama cinta. Begitu mudah mereka menabur kata-kata manis yang memukau dan membuat wanita kecanduan dan saling bergelut sesama mereka. Fikiran dikuasai nafsu yang mendorong mementingkan diri sendiri, kemahuan dipandu nafsu semata bukan lagi kewarasan akal. Ke mana hala tuju mu wanita? Akan kau apakan nasib-nasib kaum mu sendiri yang teganya kau coretkan luka di hati mereka?

Si kecil yang baru mengenal erti kehidupan sedang bingung melihat konflik dan percaturan orang-orang dewasa, perbalahan dan saling mengkhianati demi meraih kebahagiaan, kebahagiaan yang sepatutnya si kecil miliki dari keluarga yang sempurna. Hancur berkeping-keping juga di tangan seorang wanita yang kononnya memperjuangkan haknya sebagai manusia yang layak bahagia.

Tipu daya syaitan benar-benar memporak perandakan, dan semestinya sudah menetapkan sasarannya kepada wanita untuk dijadikan senjata. 

“Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan fitnah wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita.” [Riwayat Muslim 2742]

Membutakan mata, menulikan telinga dengan penderitaan orang lain demi mengejar kebahagiaan yang di idam-idamkan. Begitulah sikap sebahagian wanita rela mengorbankan maruah dan harga diri. Hilang nilai empati hanya kerana cinta yang bersemi di hati. 

Dalam sesetengah perkara bukan sifat para lelaki sahaja yang perlu dipersoalkan tetapi sifat sebahagian wanita juga harus sama perlu diambil kira. Bukankah jelas tipu daya syaitan memecah belahkan umat? Memutuskan ikatan antara suami isteri dari gerbang kebahagiaan hakiki?

Tidak salah ingin mengecapi kebahagian dengan meraih cinta dari seorang pria tetapi bukan dengan jalan yang salah, malah mengorbankan banyak perasaan lalu mencoret luka yang kemudian menjadi dendam. Raihlah dengan cara yang diredai-Nya, kerana perjalanan kehidupan bukanlah sebatas dua orang insan bersama tetapi meliputi segenap perkara yang turut berputar di sekelilingnya. 

Jadilah wanita yang berempati, tidak menyakiti kaumnya sendiri.

Disediakan oleh: Aishah Nerina


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.