Jabariyah adalah merujuk kepada suatu kelompok yang berpegang kepada iktikad bahawa manusia tidak memiliki sebarang daya usaha bahkan sebaliknya Allah memaksa manusia untuk menyerah kepada takdir semata-mata. Kata dasar perkataan Jabariyah ialah Jabr yang bermaksud kuat dan berkuasa. Jabr juga merupakan salah satu nama-nama Allah yang termaktub di dalam al Quran. Firman Allah SWT dalam surah al Hasyr ayat 23 yang bermaksud :
“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan), Yang Maha Melimpahkan Keamanan, Yang Maha Pengawal serta Pengawas, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya), Yang Melengkapi segala KebesaranNya, Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan Nya”
Dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, dari Sa’id al Khudriy, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Pada hari kiamat nanti, bumi ini bagaikan sebuah roti yang diperlakukan oleh Allah al Jabbar (Yang Maha Berkuasa) sebagaimana salah seorang diantara kamu yang memperlakukan rotinya ketika sedang dalam safar (perjalanan), sebagai hidangan bagi ahli syurga”
Golongan Jabariyah memaknai al Jabbar itu adalah dengan makna Allah Maha Memaksa. Menterjemahkan perkataan “al Jabar” kepada makna Maha Memaksa adalah tidak tepat. Ini kerana, sekiranya difahami al Jabar itu bermaksud Allah Maha Memaksa, maka sudah tentu kita dapat simpulkan bahawa Allah masih mempunyai kelemahan kerana terpaksa bersifat memaksa bagi memaksa para hamba Nya untuk taat patuh kepadaNya. Walhal, Allah bersih lagi suci daripada segala sifat kelemahan tersebut.
Menurut Syeikh Muhammad Soleh al Uthaimin dalam kitabnya Asmaa Allah al Husnaa, makna nama Allah al Jabbar ini merangkumi tiga makna iaitu menunjukkan makna kekuatan, makna kasih sayang dan juga membawa makna ketinggian. Berdasarkan tiga makna ini, kesemuanya merujuk kepada Allah SWT. Allah SWT Maha Kuat untuk menyusun atur kehidupan para hamba Nya. Dia juga berkuasa untuk memberikan nikmat kepada hamba Nya yang dikasihi, Dia lah juga yang berkuasa berkedudukan paling tinggi, mampu menundukkan mana-mana kuasa lain.
Seperti sifat Allah yang lain, sifat al Jabbar bukanlah sifat bagi manusia. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Kesombongan adalah selendang Ku, kebesaran adalah pakaian Ku, oleh itu sesiapa pun yang ingin mengambil salah satu dari dua perkara itu daripada Ku, nescaya akan Aku lemparkan dia ke dalam neraka”
Berdasarkan hadith ini, dapat difahami bahawa manusia bahkan seluruh makhlukNya dilarang untuk bersifat sombong, berkuasa dan rasa besar diri kerana ia adalah sifat mutlak Allah SWT. Termasuk juga al Jabbar, kita tidak boleh bersikap keras untuk memaksa orang lain menunduk kepada kita. Sebaliknya Allah diatas hakNya yang selayaknya, berkuasa dan berkehendak untuk menundukkan mana-mana kuasa para makhlukNya.
Fahaman “Jabariyah” ini diasaskan oleh Jaham bin Safwan. Beliau seorang ilmuwan menetap di Khurasan, Iran pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah. Beliau yang sangat aktif memberi ceramah agama akhirnya mendorong beliau untuk membuat iktikad pegangan yang terang-terang bercanggah dan menyalahi iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah. Melalui iktikad pegangan sesat golongan ini, mereka mendakwa bahawa Allah SWT telah memaksa aturan hidup manusia mengikut apa yang telah ditentukan oleh Allah.
Ini bermakna, jika seseorang itu berkelakuan buruk dan jahat, membuat maksiat dan sebagainya, maka hal itu tidaklah berdosa bagi dirinya kerana demikian itulah takdir Allah. Seolah-olah Allah lah dalang disebalik tindak-tanduk baik buruk seseorang manusia tersebut. Mereka beranggapan segala sesuatu yang terjadi adalah di atas paksaan Allah menentukan nasib untung rugi kita di dunia dan akhirat. Bagi mereka, manusia tidak ada daya dan usaha. Melainkan hanya berserah semata-mata kepada takdirNya.
Oleh kerana fahaman mereka bahawa manusia tidak ada daya dan usaha, maka di sisi mereka, memadai bagi manusia untuk beriman tanpa beramal soleh. Golongan ini secara tidak langsung telah memisahkan antara “iman” dan “amal soleh”. Sehingga ketika dan saat ini, masih wujud sekumpulan kecil mereka yang mendakwa ahli tasawuf, melampaui batas hingga mendakwa iman cukup sekadar dihati, tanpa perlu solat, puasa dan sebagainya. Ini juga sebahagian daripada Jabariyah. Kononnya solat dan lain-lain ibadat lagi khas untuk kumpulan syariat. Berbeza dengan mereka yang kononnya “maqam tinggi”.
Hal ini secara jelas menunjukkan pegangan mereka ini benar-benar tersasar dan jauh terpesong dari landasan Islam sebenar. Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 286 yang bermaksud :
“Bagi manusia ada ganjaran berdasarkan apa yang diusahakannya dan mereka akan dihukum berdasarkan apa yang diusahakannya (juga)”
Jelas bahawa firman Allah ini menjawab kepesongan fahaman Jabariyah yang menafikan usaha dan ikhtiar umat manusia. Malah ada segelintir daripada masyarakat kita terpengaruh dengan fahaman ini sehingga ada yang sanggup dan rela berbohong berkaitan sijil vaksinasi. Kerana bagi mereka, suntik atau tidak, mati itu tetap pasti. Dakwaan mereka itu ada benarnya. Namun, dalam keadaan getir ini, Allah memerintahkan kita untuk berusaha mencari jalan keluar, berubat dan sebagainya. Bukan sekadar berserah tanpa usaha.
Allah Azza Wa Jalla mengingatkan kita menerusi firman Nya dalam surah ar Ra’d ayat 11 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri…”
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab dan peranan setiap para makhlukNya untuk berusaha, ikhtiar dan mencuba melakukan sesuatu untuk mencari jalan keluar, sebaliknya bukan berserah dan menyalahkan takdirNya. Allah telah memberikan kita akal untuk dimanfaatkan, maka dengan anugerah akal tersebut, ia dapat mendorong dan membantu kita untuk berfikir menyusun atur gerak tindak tanduk dan bukan menyerah kepada takdir semata-mata. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Disediakan,
Faidhi Azis