Allah SWT berfirman: “Dihiaskan [dan dijadikan indah] kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.” [Surah ai ‘imran ayat 14]
Demikianlah sudah memang fitrah bagi kaum lelaki bahawa hati mereka cenderung menyukai para wanita. Kerana itulah Allah mewujudkan syariat pernikahan. Supaya tenteram hati mereka dan kaum wanita pula mendapat perlindungan serta kasih sayang daripada seseorang yang telah menjadi suaminya.
Abad ini, begitu lumrah kita menyaksikan kecantikan para wanita di luar sana. Bukan perkara tabu lagi kaum hawa saling berlumba-lumba untuk menjadi yang paling cantik dengan segala perhiasannya. Pelbagai fesyen mereka pamerkan. Terkadang sampai perasaan malu pun ditolak tepi asalkan mereka mendapat perhatian dari khalayak ramai. Laa haula wala quwwata illa billah.
Benar bahawa agama Islam sangat menyukai keindahan dan kecantikan malahan setiap orang Islam dituntut untuk memperindah penampilan agar kelihatan bersih, kemas dan elok dipandang. Para sahabat Rasulullah saw pernah bertanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, sungguh ada orang yang suka memakai sandal yang bagus dan pakaian yang bagus, apakah itu termasuk sifat sombong?”
Lalu Nabi saw pun bersabda menafikan sifat suka berpenampilan indah sebagai petanda kesombongan, “Sungguh Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan.” [Hadis Riwayat Imam Muslim]
Akan tetapi yang mencetuskan permasalahan di sini adalah apabila seseorang Muslimah itu berhias secara berlebih-lebihan di depan mereka yang bukan mahramnya. Tidak jarang kita dapati wanita Islam sangat cantik bersolek dan mewah pula pakaiannya apabila berada di luar rumah. Sama ada ketika ia hendak keluar bekerja, berbelanja atau sekadar lepak bersama kawan-kawan. Harum semerbak tubuh badannya, jelita pula paras rupanya bak bidadari. Kalau boleh ia tidak mahu sampai ada cacat cela dalam dirinya ketika dilihat orang ramai di luar sana.
Namun malangnya ketika berada di dalam rumah, berdekatan dengan suaminya, secalit solekan pun tidak ditempel di wajahnya. Baju rumah ala kadar. Bau harum pun tidak. Rambut tidak terurus. Alasan popular dikemukakan mereka, sibuk urus anak, sibuk di dapur, sibuk itu ini tetapi yang peliknya saat hendak keluar rumah ada masa pula bersolek, memilih pakaian hingga berjam-jam?
Dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Kalau kita bersungguh-sungguh hendak melakukan sesuatu, pasti kita akan luangkan masa untuk mengerjakannya. Begitulah sekiranya kita sebagai isteri ikhlas mahu membahagiakan suami, maka kita pasti sentiasa mencari masa walaupun sedikit untuk berhias buat si dia. Mungkin suami anda tidak meminta itu semua tapi percayalah kaum lelaki suka memandang isteri dalam keadaan cantik, bersih, wangi. Tak perlu pun bersolek tebal-tebal ala datin. Cukup sekadar solekan tipis-tipis sahaja. Kalau anda boleh menghabiskan masa bersolek untuk keluar rumah, mengapa tiba-tiba tiada masa pula berhias dalam rumah?
Wanita zaman sekarang menganggap bahawa berhias di dalam rumah merupakan perkara yang pelik. Untuk apa, kan cuma di rumah saja? Kata mereka. Padahal berhias untuk suami lah perkara yang wajib mereka tunaikan. Hanya suami yang berhak menikmati kecantikan wajah dan tubuh badan mereka. Bukan untuk lelaki-lelaki bukan mahram di luar sana.
Sedarkah kamu wahai kaum isteri, di luar sana berlambak wanita-wanita cantik berpenampilan anggun dan menawan. Kiri kanan depan belakang ada sahaja pemandangan yang suami kalian tak sengaja terpandang mereka. Memandangkan kita ini sekarang berada di akhir zaman yang penuh dengan fitnah. Bukan bermakna para suami tidak beriman atau tidak menundukkan pandangan tapi demikianlah hakikatnya. Sukar untuk mereka mengelak.
Tidakkah anda cemburu wahai isteri perempuan-perempuan di luar sana lebih seksi penampilannya sementara anda di rumah langsung tidak peduli dengan penampilan anda di depan suami? Ayuh percantikkan diri anda! Kejutkan suami anda dengan penampilan yang “hot”.
Akhirul kalam, jangan kita mengira berhias untuk suami itu adalah hal yang remeh padahal di sisi Allah, ia diganjari pahala. Apapun yang isteri lakukan demi kesenangan hati suami maka semua itu bernilai pahala. Tidakkah kita mahu mengumpul pahala sebanyak-banyaknya? Lagi pula apabila kita rajin menjaga penampilan diri semasa di rumah, kita juga yang untung. Kita semakin disayangi suami, sentiasa dibelai dan dimanja. Inilah impian setiap isteri.
Disediakan oleh: Syafiyyah Mei