Kelangsungan hidup diatas muka bumi ini memerlukan kerahan usaha bagi mencari rezeki menampung kehidupan di hari-hari yang mendatang. Tambahan pula pada ketika dan waktu yang serba mencabar ini, ramai manusia menjadi semakin kreatif mencipta peluang dan ruang untuk menyara hidup. Perkara ini termasuklah membabitkan penglibatan golongan wanita pada hari ini yang turut mengambil bahagian mencari kerja demi sebuah kelangsungan kehidupan.
Jika dahulu, golongan wanita kebanyakannya hanya fokus menguruskan rumah tangga sahaja namun hari ini melihatkan peratusan pembabitan golongan wanita bekerjaya semakin bertambah.
Wanita dan kerjaya bukanlah suatu hal yang asing bagi Islam. Selari dengan nilai Islam yang berpaksikan pada keadilan, Islam suatu agama yang adil dengan memberikan haknya kepada yang berhak. Wanita pada kaca mata Islam dinilai sama seperti lelaki, yang mempunyai kehendak yang tersendiri. Namun di sebalik semua ini, pokok pentingnya bagi para wanita yang bergelar isteri adalah untuk mereka meminta izin si suami terlebih dahulu untuk melakukan sesuatu pekerjaan luar. Sebaliknya bagi para wanita yang tidak berumah tangga, menjadi syarat juga bagi mereka memohon keizinan daripada walinya bagi melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Dalam catatan sejarah, isteri Nabi Muhammad SAW yang pertama, Khadijah binti Khuwailid, merupakan seorang wanita bekerjaya sebagai ahli korporat perniagaan yang berjaya. Dalam hal ini, kita melihat bahawa baginda Nabi Muhammad SAW sama sekali tidak pernah menyuruh isterinya berhenti bekerja dan juga tidak pernah sama sekali baginda Nabi melarang isterinya untuk meneruskan perniagaan tersebut.
Begitu juga bagaimana di zaman Nabi SAW, Asma binti Abu Bakr, anak kepada Abu Bakar as Siddiq, membantu suaminya, Zubair al Awwam, mengangkat biji-bijian kurma di atas kepalanya demi mencari rezeki. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Asma binti Abu Bakr R.Anha beliau menceritakan kepada al-Zubair yang bermaksud :
“Aku pada suatu hari memindahkan biji-biji kurma (dengan meletakkannya di atas kepalaku) daripada tanah yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada al-Zubair dan tanah tersebut seluas dua pertiga farsakh. Maka beliau (Asma’) berkata : “Maka aku pun datang pada satu hari dalam keadaan biji-biji kurma berada di atas kepalaku kemudian aku pun bertemu dengan Rasulullah SAW dan bersama dengan baginda beberapa orang dari kalangan sahabat. Lalu baginda memanggil aku dan berkata ‘ikh’ ‘ikh’ untuk membawa aku di belakang baginda. Maka aku pun berasa malu dan aku tahu akan kecemburuanmu (al-Zubair). Maka al-Zubair pun berkata : “Demi Allah, kamu memikul bijian kurma di atas kepalamu itu lebih berat berbanding kamu menaiki kenderaan bersama baginda”
Berdasarkan pemahaman hadith ini, kita boleh melihat bagaimana wanita dan kerjaya pada zaman Nabi SAW bukanlah sesuatu yang baharu. Bahkan sekiranya mendapat keizinan para suami dan wali, maka diharuskan bagi para wanita untuk menceburi bidang kerjaya. Namun begitu, kerjaya yang utama dan terpenting bagi kaum wanita adalah kerja mendidik dan membesarkan anak-anak mencipta generasi umat yang bertamadun. Hal ini seperti mana yang telah disebutkan oleh al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah, beliau menyebutkan bahawa :
“Walau bagaimana pun kerjaya pertama dan terbesar wanita yang tidak dapat disangkal dan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pesaing adalah mendidik seluruh generasi. Tugas ini disediakan oleh Allah SWT untuk wanita secara fizikal dan mental. Wanita perlu untuk tidak disibukkan daripada mesej agung ini dengan kesibukkan isu kebendaan ataupun moral walau apa cara sekalipun. Ini kerana tiada sesiapa yang mampu mengambil alih tempat wanita dalam tugas besar ini. Pada tugas ini juga terletaknya masa hadapan umat Islam. Melalui tugas ini juga terbentuknya kekayaan-kekayaan terbesar, iaitu kekayaan umat manusia”
Terdapat banyak contoh-contoh lain yang boleh kita fahami tentang soal wanita bekerjaya ini. Misalnya, pada baginda Nabi, para wanita turut tidak terlepas peluang berkhidmat di medan perang dengan memasak menyediakan makanan kepada para tentera Islam, juga merawat dan mengubati para tentera yang tercedera semasa dalam peperangan. Pada zaman pemerintahan Umar al Khattab, beliau pernah melantik seorang penyelia pasar iaitu al-Syifa’ bagi membantunya menguruskan pasar pada ketika itu. Semua ini adalah contoh wanita bekerjaya menunjukkan kepada kita sesungguhnya wanita dan kerjaya bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam.
Di sana terdapat beberapa syarat dan garis panduan yang harus dipatuhi seperti yang dinyatakan dalam kitab Fatawa Mu’asirah karangan al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Antaranya ialah pekerjaan itu sendiri mestilah pekerjaan yang mengikut syarak. Dalam erti kata lain, tugasan yang hendak dilakukan tersebut bukanlah kerja yang haram dan yang bercanggah dengan syariat Islam. Selain itu, bagi para wanita yang bekerjaya dan mempunyai komitmen kerja di luar rumah hendaklah sentiasa menjaga adab apabila keluar dari rumah. Hal ini termasuk menjaga adab dari sudut penampilan, gaya berjalan, percakapan dan pergerakan. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka ; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya ;”
Pekerjaan yang hendak dilakukan tersebut tidaklah sehingga mengakibatkan para wanita mengabaikan tugas dan kerja hakiki mereka terutamanya bagi para isteri. Dalam erti yang lain, ketekunan para wanita yang bergelar isteri bekerja membantu suami, janganlah sehingga mengabaikan tanggungjawab mendidik anak, mengurus rumah tangga dan melayani suami. Inilah beberapa syarat serta garis panduan yang perlu dipatuhi agar setiap yang kita kerjakan bakal dikira sebagai amal soleh dan berpahala.
Sudah tentu setiap dikalangan kita, baik wanita yang sudah berkahwin mahupun yang belum berkahwin, mempunyai cita-cita dan impian kerjaya yang hendak dicapai. Selagi hal itu di dalam ruang lingkup syarak, maka tiada halangan bagi kaum wanita untuk bekerjaya.
Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap, yang memberikan ruang bagi kita memilih dan menentukan masa depan dalam kerangka kemampuan umat manusia. Adapun di luar batasan manusia, seperti ajal maut, bukanlah urusan kita untuk menelitinya. Oleh yang demikian, Islam dengan penuh keadilan juga memberikan ruang untuk para wanita bekerjaya selagi mana hal itu dipatuhi dengan beberapa syarat dan garis panduan yang ditetapkan.
Wanita juga sama seperti lelaki, punyai rasa dan cita. Tidaklah salah bagi kaum wanita untuk bekerjaya membantu suami meringankan beban. Sebaliknya, tidaklah pula salah jika ada kaum wanita yang tidak mahu bekerja dan mahu menumpukan dalam hal rumah tangga sahaja. Semoga Allah merahmati dan melindungi kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis