YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk tempoh dua minggu dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 demi kemasalahatan semua pihak. Kita sudah menghabiskan hampir sebulan berkurung di rumah sejak PKP dikuatkuasakan. Pastinya ramai berfikir apakah yang boleh dilaksanakan bagi memanfaatkan masa senggang yang ada. Namun, sedarkah kita dalam kita sibuk memikirkan apa yang mahu dilakukan dengan masa yang senggang ada, adakah kita benar-benar bersiap siaga dalam menghadapi kematian yang bakal mengunjungi bila-bila sahaja.
Allah berfirman dalam surah Al Anbiya, ayat 35:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ المَوْتِ
Maksudnya: Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati
Kematian itu pastinya akan mengunjungi kita pada bila-bila masa, yang tidak akan lewat mahupun awal walaupun sedetik dan ianya boleh berlaku dimana-mana sahaja sebagaimana firman Allah dalam surah Al- ‘Araaf, ayat 34 dan surah An-Nisa’, ayat 78:
وَلِكُلِّ أُمَةٍ أَجلٌ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ المَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِيْ بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
Maksudnya: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.
Dalam hidup ini, kita seringkali disajikan dengan perkongsian dan tips perancangan kewangan ketika masih hidup sama ada melalui penganjuran wacana, seminar dan lain-lain namun sejauhmanakah kesiap sagaan kita dalam perancangan kewangan kita setelah kita mati suatu hari nanti?
Kerna itu kita dapati bahawa Islam tidak hanya menekankan kepada umatnya untuk mempunyai perancangan kewangan yang jitu semasa hayatnya bahkan sesudahnya kematiannya dan antara instrumen tersebut adalah WASIAT!
Soalnya, apakah peri pentingnya WASIAT ini untuk dilaksanakan? Apakah manfaatnya untuk kita sedangkan saat wasiat itu dikuatkuasakan kita sudah tiada di dunia ini? Apakah Wasiat dituntut dalam syarak dan apakah Wasiat diperuntukkan dalam undang-undang? Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 180:
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدُكُمُ المَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالأَقْرَبِيْنَ بِالْمَعْرُوْفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِيْنَ
Maksudnya: Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa (Walaupun dalam ayat ini terdapat arahan yang mewajibkan wasiat namun perintah wajib tersebut telah dimansuhkan dengan turunnya ayat-ayat Mawarith (Pusaka) yang menjadikan tuntutan wasiat sebagai sunat, Wallahu’alam)
Rasulullah Sollahualai Wasalam telah bersabda bahawa:
مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، لَهُ شَئٌ يُوصِيْ فِيْهِ، يَبِيْتُ لَيْلَتَيْنِ إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ
Maksudnya: Tidak halal bagi seorang Muslim bermalam selama dua malam, padahal ia mempunyai sesuatu yang harus ia wasiatkan, kecuali wasiat tersebut tertulis di sisinya.
(HR al Bukhari, No. 2587)
Berdasarkan ayat Quran dan hadith di atas, jelas bahawa wasiat merupakan suatu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Bagaimana pula pelaksanaan wasiat menurut undang-undang?
Kita seringkali mendengar orang-orang tua kita dahulu menyebut kepada anaknya, “Nak, mak nak wasiatkan harta mak hat yang ade tu kepada kamu nak.”, demikianlah perbualan ringkas yang mungkin kita biasa dengar. Namun persoalan yang timbul, adakah wasiat itu menepati ketetapan hukum syarak dan undang-undang?
Secara umumnya, apabila berlakunya kematian seseorang, hartanya itu hendaklah dibahagikan kepada empat perkara secara berturutan yang mana harta pusaka hendaklah digunakan untuk membiayai urusan jenazah si mati, diikuti dengan melunaskan-lunaskan hutang piutang si mati, melaksanakan tuntutan wasiatnya dan setelah selesai tiga perkara dia atas, maka harta itu bolehlah dibahagikan sesama ahli waris menurut hukum Faraid.
Di Malaysia, pembahagian harta pusaka akan dilihat dari beberapa sudut iaitu adakah harta tersebut HARTA BERWASIAT atau TIDAK, jumlah keseluruhan harta yang ditinggalkan (termasuk liabilitinya) dan jenis hartanya (sama ada HARTA ALIH atau HARTA TIDAK ALIH atau percampuran antara keduanya). Dalam kata lain, dengan kewujudan wasiat, ia akan menentukan institusi manakah yang berbidangkuasa untuk urusan pembahagian pusaka dan mempermudahkan prosedurnya selanjutnya dan dapat mengurangkan kos yang berkaitan.
Dokumentasi WASIAT adalah sangat mustahak memandangkan ianya akan memuatkan butiran-butiran penting seperti pelantikan Wasi (Pentadbir Harta Si Mati), senarai ahli waris si mati, senarai harta dan liabiliti si mati, pelantikan penasihat guaman, pelantikan saksi dan lain-lain. Dengan adanya dokumen Wasiat ini pastinya akan memudahkan waris-waris untuk menguruskan harta si mati nanti dan ianya hendaklah dibuat dalam bentuk dokumen bertulis kerana seandainya wujud sebarang pertikaian akan keabsahan wasiat si mati, waris-waris dapat mengemukakan dokumen tersebut bagi menyokong keterangan di Mahkamah.
Saya akhiri coretan saya kali ini dengan kata-kata Abdullah bin ‘Umar untuk kita sama-sama renungkan:
مَا مَرَّتْ عَلَيَّ لَيْلَةٌ مُنْذُ سَمِعْتُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ذَلِكَ إِلَّا وعِنْدِيْ وَصِيَّتِيْ
Maksudnya: Sejak mendengar sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tersebut, maka tidak ada satu malam pun yang berlalu melainkan di sisi saya telah terdapat surat wasiatku.
(HR Muslim, No. 1627)
Semoga ada manfaatnya walau hanya sedikit.
Disediakan oleh,
Fathi Anwar,
Setapak, Kuala Lumpur