Pernahkah kita terfikir bawah kehidupan ini ibarat perlumbaan. Kita akan berlumba dalam segenap aspek kehidupan sama ada pembelajaran, pekerjaan dan perkahwinan. Setiap manusia mempunyai perancangan peribadi dalam kehidupan mereka. Tetapi, perlumbaan-perlumbaan ini akan menjadi parah sekiranya kita menganggap bahawa kesemua manusia perlu mengikuti jejak langkah atau kitaran kehidupan yang sama. Sehingga suatu tahap, adakah kehidupan manusia ini hanya sekitar hidup, belajar, tamat belajar, bekerja, berkahwin dan meninggal dunia?

Bagi masyarakat Jepun, mereka mempraktikkan dan berpegang dengan ‘ikigai’. Ken Mogi, seorang saintis Jepun menukilkan dalam buku beliau bertajuk The Little Book of Ikigai bahawa ikigai bermaksud tujuan kehidupan (reason to live).

Beliau memberikan contoh penerapan ikigai dalam kehidupan seorang pembuat sushi. Jika di Malaysia, kita boleh lihat pelbagai jenis dan kedai yang menjual sushi sepanjang tahun. Tetapi, di Jepun, ada sebahagian sushi yang hanya dijual pada waktu tertentu atau musim tertentu. Hal ini demikian kerana, mereka ingin menjaga kualiti sushi yang akan dihasilkan agar memenuhi kepuasan pelanggan yang menikmati makanan tersebut. Malah, proses penyediaannya juga dijaga rapi bermula dengan pemilihan bahan yang digunakan sehingga makanan dihidangkan.

Sesetengah orang berkemungkinan akan berpendapat bahawa proses penghasilan sushi tersebut akan membazirkan waktu dan menyebabkan pembuat sushi tidak dapat meningkatkan keuntungan mereka. Tetapi, bagi mereka, pekerjaan yang mereka lakukan bukan soal untung atau rugi tapi soal kepuasan yang mereka dapat rasai setelah mereka lakukan sehabis baik dan pelanggan menikmatinya. Ringkasnya, tujuan hidup (ikigai) bagi pembuat sushi adalah menyediakan sushi yang terbaik kepada pelanggan mereka.

            Perkara yang sama juga diaplikasikan oleh pekerja di Jepun. Sekitar tahun 2017 sehingga 2018, hangat diperkatakan berkenaan isu karoshi iaitu kematian disebabkan bekerja secara berlebihan. Isu ini juga mendapat perhatian kerajaan Jepun sehingga mewujudkan beberapa alternatif bagi mengekang isu ini lebih berleluasa.

Antaranya, pengenalan terhadap ‘hataraki-kata kaikaku’ atau mereformasi waktu bekerja untuk meningkatkan fleksibiliti waktu pekerjaan dan hari cuti. Tetapi, menurut Ken Mogi di dalam buku beliau yang sama, isu ini berlaku disebabkan penerapan atau pengamalan ikigai yang berlebihan sehingga mengakibatkan ketidakseimbangan dalam kehidupan.

Sepatutnya, walaupun pekerja di Jepun merasakan tujuan hidup mereka adalah untuk bekerja bagi membantu pembangunan ekonomi negara, mereka perlu menyeimbangkannya dengan aspek-aspek kehidupan yang lain seperti bersosial atau melakukan aktiviti ringkas.

            Tanpa kita sedari, sebenarnya ikigai telah lama mempengaruhi kehidupan manusia dan wujud dalam pelbagai nama mengikut lokaliti sesuatu bangsa. Lebih mudah untuk kita fahami, ikigai juga membawa maksud tanggungjawab seseorang sama ada yang wajib atau pilihan.

Tanggungjawab pilihan adalah tanggungjawab mengikut jenis pekerjaan yang kita lakukan kerana manusia pastinya mempunyai tanggungjawab yang berbeza mengikut pekerjaan yang dilakukan. Sebahagian menjadi ahli ekonomi, sebahagian yang lain pula menjadi ahli undang-undang.

Tanggungjawab wajib pula adalah tanggungjawab yang perlu digalas dan dilaksanakan oleh setiap manusia. Sebagai seorang Muslim, pastinya kita mengetahui tujuan hidup atau tanggungjawab wajib kita di atas muka bumi ini iaitu untuk beriman kepada Allah dan melaksanakan perintah serta meninggalkan laranggan-Nya. Tetapi, sebagai seorang manusia, tanpa mengira agama, bangsa dan sebagainya, tanggungjawab wajib adalah mempunyai sifat-sifat manusiawi (keluhuran budi) kepada insan lain.

            John C. Maxwell di dalam buku beliau yang bertajuk How Successful People Thinking menggariskan bahawa orang berjaya sentiasa akan mempraktikkan Unselfishness Thinking atau mementingkan orang lain berbanding diri sendiri. Tetapi, penerapan bergantung kepada kemampuan diri kita sendiri. Mungkin, kita mampu memberi bantuan dan dana tetapi tidak mampu turun ke lapangan berjumpa masyarakat kerana kekangan waktu. Mungkin juga, kita mampu menyumbang tenaga untuk mengagihkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan tetapi kita tidak mampu memberikan wang kerana kita juga sekadar cukup sahaja.

Asasnya, memberi apa sahaja yang kita mampu. Tambahan pula, unselfishness thinking sebenarnya merupakan salah satu sifat manusiawi yang boleh diikuti oleh semua manusia. Sekiranya perkara ini menjadi amalan, dunia mungkin menjadi syurga yang sementara.

            Maka, persoalan diulang semula. Adakah tujuan hidup hanya sekadar dilahirkan kemudian menyertai perlumbaan kitaran hidup dan menghitung hari sebelum meninggal dunia?

Tidak!

Kehidupan perlu dimaknai mengikut sarwa pandang kita sebagai manusia yang manusiawi. Jadikanlah kehidupan kita bermakna. Jika tidak pastilah akan sia-sia belaka. Tidak salah untuk bersaing secara sihat dalam segala aspek kehidupan kerana persaingan menggalakkan kita menghasilkan perkara yang berkualiti. Tetapi janganlah sampai kita mengabaikan tanggungjawab kita kepada orang lain kerana manusia diciptakan saling memerlukan antara satu sama lain. Jika tidak, pastilah manusia itu boleh hidup bersendirian tanpa menghadapi apa-apa jua masalah.

            Akhir kata, perjalanan hidup manusia adalah berlainan antara satu sama lain. Sekiranya perjalanan kehidupan setiap manusia adalah sama, pastinya dunia ini akan membosankan ibarat cerpen-cerpen yang sama dan diulang siar berkali-kali. Pastinya jemu!

Disediakan oleh,

Nabil Nur Akmal Musa

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.