Seorang ilmuwan agama pernah berkata, bahawa pekerjaan paling berat di atas muka bumi ini adalah berlaku ikhlas. Ikhlas itu urusan hati dan kita tak dapat melihatnya secara zahir. Boleh saja mulut kita berkata, “aku ikhlas. Tapi dalam sanubari, siapa yang tahu?
Sentiasa berlaku ikhlas sememangnya sangat sukar untuk kita lakukan. Memandangkan kita adalah makhluk biasa. Iman kita juga turun naik. Apatah lagi jika kita sudah berkorban sehabis daya untuk seseorang tapi diperlekeh dan tidak dihargai, di situ kadangkala keikhlasan kita tercalar.
Akan tetapi, ketahuilah andai kita tetap memilih untuk berada di landasan ikhlas, natijahnya mendatangkan kebaikan buat diri kita sendiri juga. Dengan hati yang ikhlas, apa jua celaan mahupun hinaan orang lain terhadap kita, nescaya ia tidak memberikan apa-apa impak negatif dalam kanvas kehidupan kita.
Ini kerana, kita telah sematkan di dada bahawa kita cuma mengharapkan imbalan daripada Allah SWT. Apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik. Apakah kita mahu “merajuk” hanya kerana tiada pujian ataupun penghargaan daripada orang lain? Sedangkan pahala yang menanti kita kelak lebih bererti kerana inilah yang akan menyelamatkan kita di akhirat sana. Sudah tentu dengan rahmat Allah.
Ikhlas Menghadapi Musibah
Lanjutan daripada itu, dalam kehidupan mayapada ini kita tidak akan pernah terlepas dari terpaan pancaroba. Sebagaimana termaktub dalam kitabullah bahawa kita tak akan dibiarkan cuma berkata “aku beriman”. Kita akan melalui fasa-fasa ujian dimana dengan ujian tersebut baharulah tersingkap siapa yang benar-benar beriman dan siapa pula berpura-pura. Imannya hanya sekadar di lisan.
Sesungguhnya, apabila kita ditimpa musibah, bukan mudah untuk jiwa kita ikhlas. Ada individu meraung, memberontak, meratapi nasib yang telah dideritainya. Sehingga terucap keluh-kesah, menidakkan takdir Tuhan, semoga kita dijauhi dari perangai sedemikian.
Jika ruang kehidupan kita ini langsung tiada dugaan, bagaimana kita dapat mengambil pengajaran? Bagaimana kita belajar daripada pengalaman?
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Allah SWT berfirman, Hai anak Adam, jika kamu bersabar dan ikhlas saat tertimpa musibah, maka aku tidak akan meredhai bagimu sebuah pahala kecuali Syurga.” [HR. Ibnu Majah 1586. Status: Hasan]
Maka, kenikmatan mana lagikah yang lebih besar dan lebih hebat kalau bukan Syurgawi? Sekiranya kita sudah berjaya memasuki syurga Allah, sekelip mata segala kesengsaraan yang pernah kita lalui di dunia sirna begitu saja. Seolah-olah kita langsung tak pernah merasai derita. Di syurga, cuma ada kegembiraan kekal selamanya. Tidak teringinkah kita?
Tersebutlah satu kisah pada zaman Rasulullah. Seorang wanita mengadukan sakitnya yang tak kunjung sembuh kepada Rasulullah s.a.w. Akan tetapi, baginda tidak tergesa-gesa mendoakan agar penyakitnya itu pulih. Sebaliknya, beliau mengajukan pilihan sama ada baginda berdoa untuk kesembuhan wanita tersebut atau dia tetap bersabar dengan sakit yang dialaminya tapi beroleh ganjaran Syurga Allah.
Hasilnya, wanita itu memilih untuk ikhlas dan sabar. Namun dengan syarat baginda s.a.w meminta kepada Allah SWT agar aurat wanita itu tidak terbuka saat penyakitnya itu datang. Ia sejenis penyakit sawan dimana ia tidak mampu mengendalikan dirinya dan dibimbangi auratnya tersingkap.
Lihatlah keikhlasan hati wanita tersebut. Rela berterusan menghadapi penyakitnya kalau memang hal itu mampu membawa ia terbang ke inderaloka. Allah tidak akan sia-siakan kalbu hamba-hambaNya yang mukhlis. Ada hadiah yang tak terperi indahnya buat mereka di negeri Abadi.
Ikhlas Memberi Nafkah Kepada Keluarga
Seperti yang kita sedia maklum, kaum lelaki adalah pemimpin bagi golongan wanita. Sebab itulah mengapa disebut dalam al-Quran bahawa,
“Lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan dan kerana lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka…” [Surah an-Nisa’ ayat 34]
Oleh itu, sudah menjadi kewajiban lelaki bekerja mencari rezeki yang halal untuk keluarganya. Menyediakan makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang layak buat seisi keluarga.
Di era kita yang semakin mencabar ini, menjemput rezeki bukanlah suatu tugas yang senang. Walaupun demikian, seorang pemimpin sejati pasti sudi membanting tulang demi menyara keluarga yang tercinta.
Ketahuilah, berusaha menggarap rezeki yang telah Allah tentukan itu juga merupakan sebuah ibadah. Jika diniatkan kerana ingin menjaga amanah Allah berupa isteri, anak mahupun ibubapa yang semakin menua, maka seyogia hal ini turut membuahkan pahala kelak.
Rasulullah s.a.w bertutur, “Seorang Muslim, jika memberikan nafkah kepada keluarganya, sementara ia ikhlas, maka nafkah itu akan menjadi sedekah baginya.” [HR. Ad-Darimi no. 2549. Isnad Shahih. Ensiklopedia Hadits]
Kesimpulannya, tetaplah berbuat dan menyebarkan kebaikan di seluruh persada dunia ini. Kendatipun tiada seorang insan yang memaknai pemberianmu, tiada pujian, tiada ucapan terima kasih, tak apa. Bukankah malaikat telah mencatat setiap inci amal baik yang engkau lakukan itu?
Di akhirat, kau tinggal menuai hasil dari kebaikan demi kebaikan yang pernah kau tanam selama di dunia dahulu. Bi’idznillah.
Disediakan oleh: Shafiyyah Mei