Pada bulan Ramadan ini, umat Islam pasti sedang bertungkus lumus mengerjakan ibadah puasa dan amalan-amalan sunnah. Tidak terkecuali juga bagi wanita yang sedang hamil dan menyusukan anak yang pasti lebih mencabar untuk berpuasa. Bagi wanita yang berhadapan dengan salah satu situasi ini meskipun mereka boleh dan dibenarkan berpuasa tetapi mereka perlu memastikan kandungan dan kesihatan diri sendiri tidak terjejas disebabkan menahan kelaparan.

Dari sudut hukum Islam, wanita hamil dan menyusukan anak ialah golongan yang diberikan kemudahan untuk tidak meneruskan ibadah puasa sekiranya perkara tersebut membahayakan kandungan ataupun anak yang disusukan. Justeru itu, mereka diwajibkan untuk berbuka.

Dinyatakan dalam sebuah hadith,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَامَ

“Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada  puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”

[Dirwayatkan oleh Abu Daud (hadith no 2408), al-Tirmizi (hadith no 715), al-Nasaie (hadith no 2775), Ibn Majah (hadith no 1667), ‘Abd bin Hamid dalam Muntakhab beliau (hadith no 430) dan lain-lain. Hadith tersebut telah dinilai hasan oleh al-Muhaddith al-Syeikh Mustafa al-‘Adawi hafizhahullah dalam tahqiq beliau bagi kitab Fiqh al-Sunnah (jld 2 m/s 342, nota kaki no 2. Cetakan pertama, tahun 1434 H/2012 M. Dar al-Fath Li al-I’lam al-‘Arabi, Kaherah)]

Isu ini merupakan satu kesepakatan daripada para ulama tanpa ada percanggahan. Namun, yang menjadi perdebatan dan perselisihan terhadap golongan tersebut ialah,

Adakah mereka ini wajib untuk mengganti (qada) puasa Ramadan atau cukup sekadar membayar fidyah sahaja?

Prof Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan di dalam tafsir al-Munir katanya,

“Adapun wanita hamil dan yang menyusui, harus qada puasa tanpa membayar fidyah (menurut madhab Hanafi), harus membayar fidyah dan qada puasa (menurut madhab Syaf’i dan Hambali) jika keduanya khawatir atas anak mereka saja, adapun menurut mazhab Maliki hanya wanita yang menyusui yang harus membayar fidyah dan qada puasa sedangkan wanita hamil tidak.” [Tafsir Al-Munir hal. 387, jilid 1. Penerbit Gema Insani. Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili]

Sebahagian berpandangan bahawa wanita hamil dan menyusukan anak ini perlu mengganti puasa dan membayar fidyah sekali gus. Namun, sebahagian pendapat lagi menyatakan bahawa golongan ini cukup sekadar membayar fidyah mengikut hari-hari yang ditinggalkan dan tidak perlu menggantikan puasanya.

Pendapat ini disokong berdasarkan tiga riwayat yang dinyatakan di bawah,

1. Daripada Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan,

اِذَا خَافَتِ الْحَامِلُ عَلَى نَفْسِهَا وَالْمُرْضِعُ عَلَى وَلَدِهَا فِيْ رَمَضَانَ، يُفْطِرَانِ وَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِيْنًا وَلاَ يَقْضِيَانِ صَوْمًا

“Jika orang hamil takut akan keselamatan dirinya apabila berpuasa dan orang yang menyusukan anaknya khuatir akan keselamatan anaknya dalam bulan Ramadan, keduanya duanya berbuka dan memberi makan seorang miskin pada tiap tiap hari dan kedua duanya tidak menggantikan puasanya.” 

[Diriwayatkan oleh al-Imam al-Thabari dalam Tafsir beliau (juz 3 m/s 170. Tahqiq oleh Dr ‘Abd Allah al-Turkey. Cetakan pertama, tahun 1422 H/2001 M. Dar Hajar, Kaherah) dengan sanad yang shahih]

2. Daripada Said bin Jubair meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan Ibnu Umar r.a beliau mengatakan,

اَلْحَامِلُ وَالْمُرْضِعُ تَفْطِرُ وَلاَ تُقْضِيْ

“Wanita yang mengandung dan yang menyusukan anaknya boleh berbuka puasa dan tidak wajib qada.”

[Diriwayatkan oleh al-Daraquthni dalam Sunan beliau (juz 2 m/s 435, riwayat no 2351. Tahqiq oleh al-Syeikh ‘Adil al-Maujud dan rakan beliau. Cetakan pertama, tahun 1422 H/2001 M. Dar al-Ma’rifah, Beirut). Ianya dinilai shahih oleh al-Imam al-Daraquthni sendiri setelah meriwayatkannya]

3. Daripada Nafi’ telah meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a,

اَنَّ اِمْرَاَتَهُ سَأَلَتْهُ وَهِيَ حُبْلَى فَقَالَ: اَفْطِرِيْ وَاَطْعِمِيْ عَنْ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِيْنًا وَلاَ تُقْضِيْ

“Bahawasanya isterinya yang sedang mengandung bertanya kepadanya maka beliau menjawab, hendaklah engkau berbuka puasa dan memberi makan orang miskin bagi tiap tiap hari dan engkau tidak menggantikannya.”

[Diriwayatkan oleh al-Daraquthni dalam Sunan beliau (juz 2 m/s 436, riwayat no 2354). Al-Syeikh al-Albani menilai sanadnya sebagai jayyid (elok)]

Berdasarkan tiga riwayat tersebut menunjukkan bahawa wanita hamil dan wanita menyusukan anak tidak perlu menggantikan puasanya tetapi cukup sekadar membayar fidyah. 

Kadar ukuran fidyah ialah setengah gantang makanan asasi (beras) iaitu bersamaan 1.5 kilogram diberikan kepada fakir miskin mengikut hari-hari yang ditinggalkan. Bermakna setengah gantang bersamaan satu hari diberikan kepada fakir miskin. Demikianlah pula bilangan dan kiraan hari seterusnya. Sesetengah pula berpendapat bahawa kadar ukuran fidyah ialah satu cupak beras iaitu sekitar 670 gram.

Walau bagaimanapun, wanita yang sedang mengandung ataupun menyusukan anak adalah lebih baik sekiranya mereka menggantikan puasa yang ditinggalkan pada hari yang lain sekiranya uzur tersebut telah pun hilang.

Tuntasnya, golongan ini diberi pilihan untuk berpuasa mahupun tidak. Mereka juga disarankan untuk berjumpa dengan doktor dan bertanya sekiranya mereka dibenarkan untuk berpuasa. Sesungguhnya, wanita hamil dan menyusukan anak termasuk dalam golongan yang mengalami keuzuran. Allah ta’ala berfirman,

أَيَّامًا مَّعْدُودٰتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا أَوْ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُۥ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” [Surah Al-Baqarah: 184]

Disediakan oleh,

Syuhara Suriati


Hantar karya anda di emel [email protected].

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.