Memanah merupakan sukan yang disukai oleh Nabi SAW. Sukan amat penting untuk memberi kekuatan pada jasmani. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah SAW bersabda: ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Satu masa Nabi SAW pernah berjalan-jalan, kemudian jumpa sekumpulan sahabatnya yang sedang mengadakan pertandingan memanah, lalu Nabi SAW memberi sokongan dengan sabdanya,”Lemparkanlah panahmu itu, saya bersamamu.”(Riwayat Bukhari). Sukan memanah adalah kesukaan Nabi SAW dan ianya sunnah Nabi SAW.
Sudah dua tahun saya mengiringi pelajar memanah mengikuti pertandingan memanah peringkat antarabangsa yang dianjurkan sendiri oleh pusat. Dalam satu perkongsian malam bersama pelajar, seorang guru memberi sedikit motivasi kepada para pelajar. Beliau menegaskan bahawa setiap anak panah yang dilepaskan, kita akan dapat satu pahala. Ganjaran pahala yang dikurniakan Allah SWT tidak mengambil kira anak panah tepat terkena sasaran atau tidak. Apabila ianya disebut sunnah, Nabi SAW suka dan buat, maka di situ ada pahala yang kita dapat. Jadi, jangan risau jika sasaran belum lagi mengena atau tepat. Memanah hanya satu cara untuk kita bersiap sedia menghadapi pihak musuh, namun Allah SWT sahajalah yang berkuasa membunuh mereka. Oleh itu, peranan kita ialah berusaha. Sasaran tepat atau tidak itu adalah kuasa Allah SWT.
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.(Surah al-Anfal: 17)
Terdapat hadis yang lebih jelas menunjukkan kepentingan sukan memanah, berkuda dan berenang misalnya daripada Uqbah bin Amir, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar: Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),” (Riwayat Muslim).
Menerusi hadis ini, Rasulullah SAW menyuruh umatnya mencari kekuatan yang mana ia terdapat dalam sukan memanah. Sukan memanah ini boleh dikaitkan secara langsung dengan kekuatan hati, akal dan jasad. Seseorang yang memanah menggunakan mata hatinya menjadikannya lebih yakin dan tenang manakala akal yang fokus melahirkan pemikiran yang tajam. Malah dari segi jasad pula, sekiranya busur panah itu ditarik dengan kaedah yang betul, ia mampu memberi kelegaan kepada badan. Ia menunjukkan setiap sunnah itu ada hikmah dan setiap hikmah itu ada karamah atau keistimewaannya yang kita tidak tahu. Sukan memanah juga boleh dikaitkan dengan ibadah solat yang mana pergerakan solat itu sendiri mempamerkan ilmu seni mempertahankan diri.
Pergerakan dalam solat itu sendiri, jika diamati adalah ilmu seni mempertahankan diri. Apabila mengangkat takbir, ia tanda mengagungkan kekuasaan manakala sujud pula sebagai tanda menghambakan diri kepada Allah SWT. Jadi apabila ingin melakukan panahan, digalakkan untuk melaungkan takbir seperti mana yang diamalkan oleh Sahabat RA ketika memanah dalam perang. Begitu juga apabila memanah, ia mengajar kita menjadi lebih fokus. Apabila dipraktikkan dalam solat, ia membantu untuk khusyuk.
Rasulullah SAW menyuruh umatnya menguasai kemahiran memanah bukan untuk bersukan saja tapi juga sebagai persediaan untuk masa depan. Dalam peperangan di zaman Rasulullah SAW, memanah adalah simbol yang menjadi kekuatan dan tunjang utama kepada tentera Islam.
Mengambil kisah daripada Perang Uhud, Rasulullah SAW mengarahkan briged memanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair supaya terus bertahan di Bukit Uhud. Namun disebabkan mengingkari arahan Rasulullah SAW, tentera Islam mengalami kekalahan walaupun ketika itu sudah di ambang kemenangan.
Apabila melihat ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak, tentera Islam turun daripada Bukit Uhud dan mengingkari arahan Rasulullah SAW. Tentera musuh yang diketuai oleh Khalid al-Walid menyedari pertahanan tentera Islam sudah longgar dan menyerang kembali. Ia menyebabkan tentera Islam mengalami kekalahan dan 70 pejuang Islam syahid.
Anis binti Semail
Guru,
Kajang, Selangor.