Semalam saya tonton lagi beberapa klip video di YouTube mengenai sebuah telefon pintar kegilaan saya – Huawei Mate 20 X.
Cukuplah paparan sebesar 7.2 inci itu menarik hati. Ditambah lagi dengan kelengkapan HiSilicon Kirin 980 yang dipadukan potensinya dengan teknologi GPU Turbo versi 2.0… pengalaman menggunakannya pasti buat saya terawang-awang.
Saya akan merasakan bahawa diri saya sangat bertuah jika saya dapat memilikinya!
Saya sungguh mengimpikannya. Untuk tujuan itu, saya perlukan sejumlah duit – RM 3000 paling sedikit.
Ternyata bukan satu jumlah yang sedikit.
Skrin telefon saya kini sudah sebesar 6.99 inci paparannya. Masih baru dan belum sampai setahunpun penggunaannya.
Jika saya akan menyediakan duit sebanyak itu, saya sudah yakin akan sumbernya yang halal. Alhamdulillah dalam keadaan kewangan sekarang, saya tidak perlu meminjam, apatah lagi mencuri (mohon dijauhkan). Tetapi, adakah kritieria ini kira-kiranya telah meletakkan saya di atas jalan yang telus?
Sejauh manakah duit yang bakal dibelanjakan itu akan selari dengan konsep ‘tidak membazir’?
Bagaimanakah tidak akan membazir, jika telefon yang dipunyai sekarang masih mampu berkhidmat? Apatah lagi, saya bukanlah pengulas telefon pintar seperti di laman YouTube yang mana membuat ulasan itu adalah sebuah pekerjaan dan komitmen pada mereka.
Lebih penting lagi, adakah telefon baru itu akan punya tempatnya? Sering, saya jenis yang setia dengan apa yang saya miliki.
Mungkin saya telah terpijak kerikil kecil menuju lorong ‘hubban jamma’ – sebuah kecintaan yang terlalu besar dan amat sangat.
Benar, ia sebenarnya masih sebuah minat dan saya sedang menzahirkan sifat semulajadi seorang manusia yang akan berkehendak dan berkeinginan. Tetapi ‘hubban jamma’ juga berasal dari sebuah rasa yang biasa – rasa yang disemai dan disuburkan sehingga kesukaan menjadi sebuah kecintaan yang besar lagi mendalam; sebuah keparahan yang memedihkan dan sudah tidak tertolong lagi. Bahkan belas ehsan juga sudah tidak layak!
Kecintaan pada harta yang melimpah-ruah. Lagi melimpah, lagi memarah.
“Kesukaan sampai keji”– sebuah terjemahan dari Tafsir al-Azhar oleh Buya HAMKA.
Makna yang diperoleh dari ayat ke-20 Surah al-Fajr itu tidak terhenti di situ. Bagaimanakah ruang hati yang sudah diletakkan rasa semulajadi untuk mempunyai cinta itu tidak mempunyai kapasiti untuk dilorongkan kepada berbagai jenis kecintaan?
Adakah ini bermakna bahawa semua manusia sebenarnya mencintai harta? Bagaimanakah pula si miskin menafsir istilah ‘harta’ itu?
Kegelojohan menjadi pemisah segalanya.
Nafsu serakah tidak semudah itu berpisah dari diri manusia.
Maknanya semua manusia akan punya kecenderungan kepada harta – dari jenis emas berlian, kain sutera, barangan perak, wang yang beranak-pinak, kereta mewah, rumah-rumah agam yang besar, indah lagi agung seni arkiteknya serta berbagai lagi dari jenis haiwan peliharaan eksotik, perabot perhiasan rumah dan ruang.. ternyata semua itu mampu tersenarai secara diam dalam hati kita.
“Di mana saja pintunya, akan kamu hentam pintu itu sampai terbuka, kalau di dalamnya ada harta”.
Sangat khusus tafsiran daripada buya.
Penggunaan kata ‘pintu’ sangat tepat sekali.
Di tambah lagi,
“Halal dan haram tidak peduli. Menipu dan mengecoh tidak dihitung.”
Setelah pintu ditemui, buatlah apa saja asalkan duit mengalir masuk!
“Menjual negeri dan bangsa pun kamu mahu, asal dapat duit. Menjual rahsia negara kamu tidak keberatan, asal wang masuk.”
Buya memberi contoh perbuatan keji untuk mendapatkan wang yang boleh termasuk melacurkan wanita, membuka rumah perjudian dan perniagaan barang-barang yang boleh merosakkan budi pekerti manusia. Ya, termasuklah juga menjual rahsia negara!
Asal masuk duit – mengalir dan terus mengalir tanpa batasan, tanpa tersekat-sekat. Tanpa peraturan!
Buya menutup dengan memberikan satu faktor –
“Inilah celakanya kalau hidup tidak ada tuntutan iman.”
Terasa seperti satu-satunya faktor.
Siapakah yang boleh memberi jaminan, bahawa kegilaan yang kecil tidak akan berubah menjadi sebuah kegilaan yang besar? Yang boleh meragut warasnya pemikiran dan wajarnya pertimbangan?
Tiada jaminan.
Sebelum Allah SWT menggunakan kalimah ‘hubban jamma’, Allah SWT telah membawa kisah mengenai dua kaum ke dalam surah tersebut iaitu kaum ‘Ad dan kaum Tsamud. Mereka diperihalkan sebagai kaum yang gagah perkasa sesudah zaman Nabi Nuh AS. Kaum Tsamud di utuskan kepada mereka Nabi Saleh AS dan kaum ‘Ad diutus Nabi Hud AS.
‘Al-‘Imaad’ ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan kaum ‘Ad yang bererti kemegahan dan kaum Tsamud pula, di balik kemegahan dan kekayaan mereka, mereka sanggup memahat gunung-gunung untuk dijadikan rumah-rumah kediaman.
Terasa seperti kemegahan dan kekayaan akan selalu seiring.
“Sehingga segala pembangunan lahir itu tegak di atas kehancuran nilai perikemanusiaan,” sambung buya lagi.
Semakin indah perhiasan, semakin rendah nilai amalan; sebenarnya boleh terjadi. Tiada iman untuk menuntut begitu dan begini.
Disebabkan tiada iman itu,
“…maka kekayaan yang melimpah—ruah akan membawa si kaya ke dalam kesengsaraan rohani.”
Si kaya telah mengusahakan kekayaan tanpa mempedulikan pembangunan kerohaniannya.
Kaum ‘Ad dimusnahkan angin puting beliung yang menjadikan negeri mereka rata dengan tanah dan kaum Tsamud dibinasakan dengan pekikan suara dahsyat yang memecahkan gegendang telinga, sehingga habis mati segalanya tiada yang tersisa untuk dibanggakan lagi.
Ternyata setelah mendirikan sekian lama! Tidakkah kita terfikir bahawa kemegahan dan kekayaan yang mereka miliki itu telah dibangunkan dengan segala susah payah, perit getir dan jerih perih? Kaum ‘Ad ialah penakluk negeri dan kaum Tsamud telah mendirikan kota dari gunung-gunung. Sudah terlalu banyak yang dikorbankan demi kesenangan itu lalu di tengah-tengah kemewahan itu Allah SWT mengutuskan nabi-nabinya sebagai pemberi peringatan.
Agar alat penyambut itu wujud; wujud dan berfungsi untuk menyeimbangkan kemegahan dan kemewahan yang dimiliki.
Lalu adakah dihiraukan?
Umat Nabi Muhammad SAW pada hari ini sudah tentu tidak akan menerima ketukan pintu dari baginda.
Ternyata kitalah yang sedang berdiri di pintu -sebelum harta dan usaha mencarinya menelan segala budi pekerti dan baiknya hati kita.
Sebelum Huawei Mate 20 X membuat saya termenung-menung menatapnya tanpa saya sedari pun, apakah saya membelinya untuk mendapatkan manfaat dari fungsi-fungsinya.
Ternyata harta ada di mana-mana. Memang dunia ini sarat dengan harta dan kemewahan.
Alat penyambut itulah yang perlu ada dahulu. Sebelum harta menjadi satu sisi yang diberatkan.
Saat akan tumbang, banyak sekali pula yang akan diragut, direntap bersamanya.
Sebenarnya sanggupkah kita?
Ramai antara kita sudah punya Islam. Kita sudah punya neraca kalau pun kita rasa alat penyambut belum tepat cara sambutannya.
Harta tidak akan berpisah dari dunia ini. Iman tidak akan terpisah dari jiwa si mukmin.
Maka frasa ‘hubban jamma’ ialah sebuah ancaman dan kenyataan.
Ia masih menunggu untuk menyerang.
Oleh: Che Wan Nazira