Menurut Nong Darol Mahmada, seorang ahli Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia pernah melontarkan pandangan beliau berkenaan ayat-ayat Al Quran yang membahaskan isu faraid perlu disemak dan ditafsirkan semula. Ini kerana beliau berpandangan pada zaman sekarang hukum boleh berubah kerana kaum wanita lebih pandai atau bijak berbanding kaum lelaki.
Azra Azyumardi, juga seorang tokoh JIL juga berpandangan bahawa hukum faraid berkaitan harta pewarisan adalah persoalan kebudayaan. Menurut beliau, Al Quran diturunkan dalam keadaan masyarakat tertentu. Maka hukum faraid yang tercatat di dalam kalam suci itu terpakai mengikut kesesuaian bangsa Arab tersebut.
Beberapa pandangan terpesong ini semakin menjadi pegangan dan fahaman dikalangan masyarakat kita. Apatah lagi sejak akhir ini timbul perbalahan berkenaan pertikaian hak pewaris yang menjadi isu hangat juga diperbincangkan di laman medsos. Kefahaman yang salah dan menyimpang ini harus dibetulkan dengan baik agar syariat hukum faraid ini tidak terfitnah dengan fahaman salah ini.
Pertamanya, setiap sesuatu pensyariatan itu, sama ada kita suka atau pun tidak, menyebelahi kita atau pun menyanggah dengan diri kita, ianya suatu yang baik dan sempurna. Tidak ada cacat celanya. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud :
” Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku sempurnakan nikmat Ku, dan telah Ku redha Islam agama bagimu”
Berdasarkan firman Allah, jelas bagi kita bahwa syariat Islam telah disempurnakan oleh Allah dengan selayaknya. Maka bukanlah tugas kita untuk mempertikaikan sesuatu hukum mengikut kebebasan akal berfikir. Meskipun akal itu fungsinya untuk berfikir, namun sedarlah kita akal itu mempunyai keterbatasan yang dicipta oleh Nya.
Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily dalam isu pembahagian faraid antara lelaki dan wanita, beliau berpandangan bahawa ayat 11 daripada surah An Nisa adalah peruntukkan agama bagi membenarkan wanita juga berhak menerimanya. Jadi, tidak timbul lah isu penindasan atau diskriminasi terhadap gender wanita kerana kedua-duanya layak mendapatkannya.
Cumanya, apabila timbulnya soal pembahagian, maka menurut Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaily selayaknya pembahagian tersebut diagihkan diatas kebijaksanaan Allah yang merentasi akal manusia. Selayaknya Allah membahagi-bahagikan faraid tersebut mengikut sifat Nya yang Maha Mengetahui. Mustahil bagi Allah yang memiliki segala sifat dan zat kesempurnaan berkehendak untuk menindas hamba Nya dikalangan wanita.
Sememangnya layak golongan lelaki menerima dua bahagian berbanding wanita mendapat satu bahagian kerana menjadi tanggungjawab bagi yang bergelar lelaki menanggung nafkah terhadap isteri dan anak-anaknya. Bahkan sekalipun si lelaki telah berkahwin dan mempunyai anak, tidak sama sekali menggugurkan kewajipan beliau terhadap ibubapanya. Firman Allah dalam surah An Nisa’ ayat 34 yang bermaksud :
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita. Kerana itu Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.”
Demikian Allah diatas kebijaksanaan dan pengetahuan Nya, telah mengatur sesuatu dengan penuh kesempurnaan. Segala peraturan yang disyariatkan tersebut telah pun memiliki kesempurnaan dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari hikmah dan bukannya mencetuskan keraguan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas.
Disediakan oleh,
Muhammad Faidhi