Sebut sahaja perihal “janda” maka yang terbayang di benak masyarakat bahawa janda itu ialah perampas suami orang, perosak rumah tangga orang lain, perempuan murahan dan banyak lagi gelaran buruk yang diberi kepada mereka yang menyandang status janda. 

Walhal jika kita telusuri sejarah perkahwinan Rasulullah s.a.w, majoriti isteri-isteri baginda merupakan seorang janda. Hanya Aisyah binti Abu Bakar r.a  yang berstatus perawan. 

Walaupun Ummu Salamah, Hafshah, Saudah dan Ummul Mukminin yang lain menyandang status janda namun martabat mereka sangat terhormat. Nama-nama mereka telah diukir sejarah dengan tinta emas. Kebijaksanaan, keberanian, kesabaran mereka tercatat dalam kitab-kitab para ulama. 

Sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita tidak sepatutnya memberi gelaran-gelaran yang buruk kepada para janda. Sebaliknya kita seharusnya membantu mereka sama ada dari segi harta mahupun kerohanian iaitu dengan memberi mereka semangat untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik walaupun tanpa seorang suami di sisi.

“Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang”.

Begitulah kata-kata segelintir masyarakat kita yang membenarkan desas desus bahawa janda itu sememangnya buruk dan suka merampas suami orang lain. Tidak dinafikan mungkin ada sebahagian janda yang berperangai sedemikian namun tidak semua begitu. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Muhasabah Diri

Oleh kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita memandang buruk terhadap golongan yang berstatus janda, maka seharusnya mereka perlu membuktikan bahawa anggapan masyarakat itu adalah tidak benar. 

Pelajari lah sirah isteri-isteri Rasulullah s.a.w ataupun para sahabat baginda daripada kalangan perempuan yang berstatus janda. Jadikan mereka sebagai teladan. Dengan begitu, pasti akan terbentuk muslimah sejati dalam diri anda dan masyarakat tidak lagi memandang remeh terhadap anda malah masyarakat akan lebih menghormati anda. 

Buktikan kepada dunia bahawa menyandang status sebagai janda bukanlah sebuah kehinaan. Janda bukan lambang kemurahan. Tetapi lambang kehebatan, kemuliaan dan mampu berdikari sendiri.

Pesanan kepada masyarakat yang suka memburukkan status janda, jalan kehidupan setiap muslimah adalah berbeza-beza. Ada yang diuji dengan penceraian dan ada pula dengan kematian suaminya. Semua ini bukanlah keinginan mereka namun begitulah ujian daripada Allah s.w.t, tiada siapa yang dapat menduga.

Jadi tidak selayaknya bagi kita untuk memperolok-olokkan kehidupan orang lain. Boleh jadi esok lusa kita pula yang berada di posisinya. Allah s.w.t juga melarang perempuan muslimah untuk memperolok-olokkan perempuan yang lain kerana boleh jadi yang dihina itu adalah lebih mulia berbanding kita yang suka menghina. 

Allah SWT berfirman dalam surah al Hujurat ayat 11, 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita (yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Peranan Kaum Lelaki

Sehubungan dengan itu, turut menjadi faktor berleluasanya stigma buruk terhadap para janda ini adalah peranan kaum lelaki di dalamnya. Tidak sedikit saya pernah mendengar dan melihat komentar-komentar jahat para lelaki yang hanya menurutkan hawa nafsunya. 

Adakah mereka tidak sedar bahawa mereka juga mempunyai ibu ,isteri, kakak, adik perempuan atau anak perempuan, seandainya kaum lelaki berkomentar nakal terhadap mereka, tidakkah mereka berasa sakit hati? Begitulah perasaan perempuan-perempuan di luar sana umumnya dan para janda khususnya.

Natijahnya, kaum lelaki sepatutnya menjadi benteng pertahanan kaum perempuan. Lelaki seharusnya menjadi individu yang paling depan sekali dalam membela maruah dan martabat kaum perempuan. Lelaki adalah pelindung bagi kaum perempuan.

Pendek kata, para lelaki dan perempuan dituntut untuk bekerjasama dalam menghapuskan stigma buruk masyarakat terhadap golongan janda. Bantu mereka untuk memperbaiki diri. Bergaul lah bersama mereka seperti biasa. Dengan begitu, mereka berasa tidak dipinggirkan.

Kesimpulannya, menyandang status janda bukanlah sebuah keburukan untuk wanita cuma stigma-stigma yang dilemparkan masyarakat terhadap mereka yang menampakkan negatif terhadap status janda. Sedangkan isteri-isteri Rasulullah s.a.w sendiri terdiri daripada janda-janda dan mereka merupakan srikandi Islam yang hebat.

Disediakan oleh,

Shafiyyah Mei

Taiping, Perak

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.