Jika kalian para pembaca tidak mengetahui bahawa cerpen pertama yang diterbitkan di Malaysia ialah Kecelakaan Pemalas yang ditulis oleh Nor Ibrahim Madrasi. Cerpen tersebut dimuatkan di dalam majalah Pengasuh Jilid 2 bilangan 40 pada 4 Februari 1920. Ia hanya mempunyai 760 patah perkataan dan telah dirumikan oleh (Allahyarham) Rahimidin Zahari. 

Kemungkinan besar untuk genre cerpen, ia tiada isu ataupun percanggahan idea mengenai ‘yang pertama’. Dalam tulisan kali ini, saya akan cuba menguak pertentangan idea secara asas bagaimana sarjana-sarjana kita menanggapi novel pertama.

Banyak kali saya terdengar orang-orang di luar sana menyatakan bahawa novel Melayu pertama1 diterbitkan ialah Hikayat Faridah Hanom (1925) karya Syed Syeikh al-Hadi. Pada mulanya, saya juga beranggapan sedemikian – sehinggalah saya mendapat pengetahuan yang lebih lanjut yang berfokus dalam sejarah cereka Melayu, akhirnya pandangan saya telah berubah.

Hikayat Panglima Nikosa (1876)

Novel Melayu pertama ialah Hikayat Panglima Nikosa, ditulis di Kuching pada 1876 oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid.

Ekspresi Minda: January 2017

Asalnya novel ini ditulis di dalam tulisan jawi dan mempunyai 29 halaman. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merumikan teks tersebut, ia menjadi 14 halaman sahaja. Menariknya, walaupun hanya 14 halaman, sarjana kita iaitu Sasterawan Negara (SN) S. Othman Kelantan daripada kajiannya membuat dapatan bahawa karya tersebut adalah sebuah novel dan bukannya cerpen kerana ia mencukupi beberapa ciri-ciri novel.

Hikayat Panglima Nikosa berlatar-belakangkan bumi Sarawak dengan wataknya berbangsa bumiputera. Karya yang bertemakan nasihat mengenai pertanian dengan sebuah negeri bernama Jalanan Baharu menjadi makmur dengan hasil pertanian. Umur Nikosa pada awalnya ialah 18 tahun mengetuai 300 bala tentera telah menjadi penyelamat negeri sebelah timur. Novel ini menyindir tentang pemerintahan Raja James Brookes yang tidak mempedulikan langsung hal rakyat jelata.

Sebenarnya, novel ini hanya menceritakan mengenai cara-cara bertani. Nikosa pulang dari berperang ke kampungnya dan mendapat gelaran ‘panglima’. Pada suatu hari, seorang tua susah datang menemuinya dan meminta nasihat bagaimana untuk menjadi kaya. Nikosa menyuruh si tua itu bertani – yang mana pertanian tersebut mengambil masa 12 tahun lamanya.

Saya tidak bercadang untuk menulis mengenai sinopsis penuh novel ini melainkan tulisan ini bertujuan untuk memberi pandangan lain, atau sekurang-kurangnya nilai tambah lain untuk para pembaca di luar sana untuk memikirkan sejarah awal cereka Melayu Moden.

Novel yang dicetak di Bukit Persinggahan, Kuching pada 8 Jamadilakhir 1293 H ini pada asalnya bertajuk Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kemenangan. Ketika saya mendengar tajuknya yang lucu ini, saya tertanya-tanya kenapa tajuknya sedemikian. Rupanya memang menjadi ‘tradisi’ pada era itu tajuk-tajuk buku panjang-panjang dan aneh-aneh.

Kecurian 5 Million Ringgit (1922)

Jadi, dengan adanya Hikayat Panglima Nikosa tadi, adakah Hikayat Faridah Hanom menjadi novel yang kedua diterbitkan di alam Melayu? Tidak.

Novel kedua bertajuk Kecurian 5 Million Ringgit yang ditulis oleh Mohamad Mohd. Said pada tahun 1922. Novel ini lebih tebal dari novel pertama tadi – mempunyai 85 halaman dalam teks asal jawi.

Naratif dalam novel ini boleh diklasifikasikan sebagai material drama atau filem (sesuai diangkat ke layar lebar) kerana plot-plot disusun dengan begitu cantik dan kemas.

Novel ini berkisar mengenai dua orang pencuri yang ingin menjadi seperti Robin Hood – berbuat baik dengan mencuri. Terdapat dua anggota polis ingin menjejak dua orang pencuri ini tetapi polis sering diperbodohkan oleh pencuri tersebut. Dengan itu, novel ini adalah novel penyiasatan Melayu pertama.

Mohamad ialah seorang ulama di Kelantan dan cetakan novel ini juga bermula di Kelantan. Beliau merupakan seorang intelektual agama Islam yang terkenal dan seangkatan dengan Syeikh Haji Muhamad Yusuf Ahmad (Tok Kenali). Dan apabila kita bercakap mengenai ulama, semestinya dia mengikut lunas-lunas agama Islam. Saya agak terkejut dan teruja apabila seorang ulama dan ahli agama menulis novel yang ada adegan-adegan meminum arak dan menyebut nama Allah. Apa yang menariknya, watak-watak dalam novel ini juga bukan menunjukkan bangsa Melayu tetapi nama-nama orang ‘putih’. 

Novel Saduran

Hikayat Panglima Nikosa dan Kecurian 5 Million Ringgit (termasuk Hikayat Faridah Hanom) bukan novel asli dari Melayu bahkan ia disadur melalui karya lain. Kecurian 5 Million Ringgit disadur dan dipermelayukan dari Tales of the Theft Five Million Dollars karya Nick Carter dari Amerika.

Hikayat Panglima Nikosa dan Kecurian 5 Million Ringgit by Syed Othman Syed  Omar

Walau bagaimanapun, menurut Asaad Muda (kawan seangkatan dengan Abdul Kadir Adabi Ahmad), beliau menyatakan bahawa saduran novel ini bukan daripada teks asal Inggeris tetapi daripada teks Arab. Hal ini kerana pendidikan Mohamad pada ketika itu di al-Azhar turut mempengaruhi ramai penulis di sana membaca kitab Islam dan buku cerita dalam bahasa Arab.

Khilaf dalam menentukan ‘novel pertama’

Dalam pencarian saya, S. Othman Kelantan adalah orang pertama yang menyatakan bahawa novel Melayu pertama ialah Hikayat Panglima Nikosa, bukannya Hikayat Faridah Hanom. Sekurang-kurangnya, ia telah diperkatakan dalam kertas yang dibentangkan beliau pada 1993 dalam Jurnal Alam dan Tamadun Melayu, UKM2.

Aneh, saya menjumpai tulisan dua orang sarjana sastera3 dari salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia yang menulis pada 2015; novel Melayu pertama ialah Hikayat Faridah Hanom (1925) dan turut menyinggung kembali bahawa teks ini bukan bernuansa Melayu bahkan dari Mesir (dan benar, ia adalah novel saduran).

Baik, jika mereka tidak menyokong Hikayat Faridah Hanom sebagai novel Melayu pertama, mereka membuat kesimpulan bahawa novel Melayu pertama ialah Iakah Salmah? (1926) yang ditulis oleh Ahmad Rashid Talu. Kita boleh tidak bersetuju dengan banyak hal mengenai novel Melayu pertama ini, tetapi saya kira dua orang sarjana ini tidak meneliti dengan sempurna apabila tidak turut menyatakan dapatan di dalam buku S. Othman Kelantan.

Baik, katakanlah kita berpegang Hikayat Faridah Hanom sebagai novel Melayu pertama – sekali lagi, aneh, S. Othman Kelantan sudah membuat perincian dalam kertasnya menyatakan bahawa novel ketiga ialah Novel Syair Cerita Bijaksana (1923) oleh Abdul Rahman Daud al-Makki dan Hasan Omar yang diterbitkan oleh United Press, Pulau Pinang.

Dengan kata lain, novel Hikayat Faridah Hanom (1925) ini jatuh di tangga keempat dalam senarai novel Melayu terawal. Untuk menyatakan novel ini di tangga pertama, ia sangat janggal kerana bukan satu atau dua novel yang membezakannya, bahkan tiga!

Bukan sarjana sastera tersohor yang menulis buku terbitan universiti itu sahaja yang membuat kesilapan serupa. Kesilapan ini juga terdapat di dalam kertas-kertas kajian yang berlegar di internet.

Saya cuba Google sendiri kata kunci ‘Hikayat Faridah Hanom Novel pertama Melayu’ dan mendapati bahawa ramai sarjana di luar sana yang telah mendakwa novel ini sebagai novel pertama. Bahkan ia turut dimuatkan dalam laman Academia4 dan jurnal akademik5. Dalam laman sesawang Perpustakaan Negara Malaysia6 (PNM) juga menyatakan Syed Syeikh al-Hadi sebagai “pelopor penulisan bentuk novel Melayu pertama dan diberi gelaran Bapa Novel Melayu.”

Tulisan ini bukan bertujuan untuk berusaha menukar tanggapan ataupun mengangkat senjata kepada sesiapa yang mendakwa novel Melayu pertama ialah itu atau ini. Tetapi tulisan ini hanyalah memberitahu pembaca di luar sana wujudnya pandangan lain yang mungkin tidak diketahui ramai. Mungkin ada yang cakna dengan sejarah perkembangan novel Melayu moden, mungkin juga selepas ini kalian boleh membaca dan menilai sendiri Hikayat Panglima Nikosa dan Kecurian 5 Million Ringgit.

Disediakan oleh:

Naim Al-Kalantani

Seorang penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.


Sumber:

  1. Keseluruhan frasa ‘novel Melayu’ dalam rencana ini membawa maksud ‘novel Melayu moden’
  2. Syed Othman Syed Omar, 1993. “Ikhtiar Perkembangan Novel Melayu 1987-1959” dalam Sari: Jurnal Alam dan Tamadun Melayu, Jilid 11. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
  3. Norhayati Ab. Rahman & Fatimah Busu. (2015). In R. A. Hamid, S. Othman, & A. M. Salbani (Eds.), Rekayasa kearifan tempatan dalam sastera Melayu (pp. 164–177). essay, Penerbit Universiti Sains Malaysia.
  4. Mohd. Hafizul Faiz Hashim (n.d.). Usaha Islah dan Tajdid Syed Syeikh al-Hadi Menerusi Karya Hikayat Faridah Hanum. Academia.edu.
  5. Rosni Samah. (2015). Ulasan Buku: Sumbangan Novel Mesir Zainab dalam Kemunculan Novel Malaysia Faridah Hanom. Jurnal Melayu. 14. 362-366.
  6. https://www.pnm.gov.my/yangpertama/Sastera_Hadi.htm

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.