Kita jatuhkan pandang terhadap manusia sekeliling. Bagaimana harus kita tahu bahawa mereka ini seorang penganut agama Islam? Melalui namanya? Atau bangsanya? Melalui bahasanya? Ataukah dahi putih hitam yang menunjukkan mereka banyak meletak dahi di bumi atas dasar menunaikan fardhu yang lima itu?

Tidak ada.

Seorang muslim itu apabila namanya Raju, berbangsa india, bercakap dengan menggunakan bahasa ibundanya, tamil, tidak langsung memberi gambaran bahawa beliau seorang penganut agama Islam. Atau  nama Kevin Ng yang berbangsa cina, bercakap menggunakan bahasa mandarin dengan bangga dan lantang, tiada sesiapa yang boleh mengagak bahawa dia seorang muslim yang sejati.

Lelaki tidak perlu berfikir panjang untuk menjadi muslim. Mereka boleh duduk dan berdiri sama tinggi di tengah masyarakat yang pelbagai gaya fikir dan penerimaan. Mereka tidak perlu berasa aneh dan jengkel di setiap pertemuan dengan kenalan baru lebih-lebih lagi di dalam masyarakat yang kosong penghayatan agamanya.

Lelaki-lelaki muslim boleh menunjukkan kelebihan dan kemahiran mereka sebelum mengenalkan diri kepada komuniti bahawa mereka ialah seorang yang mengucapkan kalimah  syahadah. Mereka punya masa untuk diserap dan dikenali oleh manusia sekeliling untuk mengenal jiwa santun dan murni sebelum memperkenalkan agama yang membaluti diri..

Tetapi Wanita, tiada agama yang lebih menjelaskan identiti penganutnya melainkan wanita islam. Dari kejauhan, sesiapa pun boleh mengetahui bahawa wanita itu seorang wanita muslimah melalui pakaiannya.

Tudung, hijab, selendang, apa sahaja yang menutup kepala wanita ini adalah identiti yang dibawa dengan berani. Mereka tidak diberi waktu untuk mengenalkan diri dan harus bersandar terhadap definisi Islam yang masyarakat fahami. Di negara muslim, seorang muslim sejati. Di negara asing dan prejudis, seorang teroris.

Muslimah harus sanggup menjadi definisi pandang pertama.

Muslimah harus belajar untuk menerima pandang pertama yang sinis daripada masyarakat sekeliling. Bagi mereka tudung melambangkan jumud dalam pemikiran, lebih-lebih lagi jika ianya labuh. Mereka harus belajar untuk membentuk definisi sendiri di ruang komuniti sosialnya, dalam masa yang sama, mengekalkan identiti yang diajarkan agama.

Di sebalik kekasaran budaya yang semakin melembut ini, kedatangan orang-orang yang berfikiran terbuka dan sederhana akan memberi penghargaan yang mendalam dan menusuk. Wanita akan dihargai jika ruang sosialnya ialah manusia yang menerima identitinya sebagai manusia yang lebih daripada tudung yang menjadi pakaiannya.

Muslimah itu seharusnya merendah diri tetapi tegas peribadinya. Muslimah itu harus dipandang kepada pembawakan jiwa manusianya, kerana tudung tidak mampu menutup dosa, namun penutup kepala ini juga tidak sepatutnya menutup intelek mereka.

Keputusan menutup aurat dengan sempurna adalah keputusan yang berat dan membimbangkan. Penerimaan masyarakat yang sinis tidak langsung membantu dalam menolak niat menjadi realiti. Muslimah harus selalu melawan komunitinya sendiri dalam mengambil keputusan untuk menutup kepala dengan sehelai kain ringan dan ringkas.

Betapa kuatnya identiti seorang wanita muslimah, seseorang yang memakai sarung kepala tanpa apa-apa sebab bakal dilihat juga sebagai kelompok yang sama. Sedangkan mereka hanya memakainya kerana bersahaja dan kemahuan yang datang tiba-tiba. Mungkin akan ditanya oleh keluarga, rakan, malah mungkin mendapat reaksi sinis yang sama di mata manusia.

Seharusnya, di ruang masyarakat berbilang kaum dan bangsa, yang diadun menjadi satu masyarakat, satu tamadun, dan satu negara, kita harus berpijak di satu alas yang memungkinkan kita berdiri dengan sama rata. Ada apa dengan ketakutan membuat keputusan untuk berubah? Ada apa dengan sinis dan cemuh di dalam sengih angkuh?

Ada apa?

Sedangkan yang bakal memajukan satu tamadun ialah manusia yang menyumbang dan berbakti selayaknya kemahiran dan kebolehan diri. Sama-sama membangunkan dan membawa noktah perubahan terhadap negara. Lalu bagaimana kemajuan itu dicapai jika kita masing-masing masih setia bersikap prejudis terhadap sehelai kain yang menutup satu kepala?

Penulis mahu menutup dengan satu soalan, hanya satu. Adakah sikap ini timbul kerana di awalnya, penganut agama ini terlebih dulu memandang sinis dan prejudis terhadap mereka yang masih tidak sampai keinginannya untuk menutup aurat? Jika ya, maka kita harus menelan akibatnya.

Dunia sedang berputar, dan kita sendiri harus menghentikan sikap ini untuk tidak kembali terpantul kepada cara fikir dan cara hidup generasi akan datang. Dan kita harus sentiasa kembali kepada sifat berani wanita itu sendiri, untuk sentiasa mahu membaiki diri di setiap langkah menuju Tuhan.

Moga kita selalu diberi kekuatan.


Disediakan oleh,

Fatin Farhana A. Wahid

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.