“Sesungguh Allah mencintai akhlak yang mulia dan membenci akhlak yang buruk.”
Sifat-sifat yang dibenci Allah adalah mengeluarkan perkataan yang sia-sia, menulis perkara yang tiada manfaatnya dan menonton perkara yang haram. Zaman sekarang, ramai yang menceburi dunia bisnes sebagai salah satu saluran pendapatan secara tetap atau sampingan. Pelbagai strategi pemasaran yang dilakukan untuk melariskan jualan mereka.
Tetapi terdapat satu perkara yang dipandang remeh oleh para penjual khususnya penjual produk jamu atau produk kecantikan iaitu budaya mempromosi produk menggunakan perkataan lucah merupakan sebagai kaedah pemasaran. Ayat promosi atau iklan yang menggunakan bahasa lucah atau gambar lucah sama ada secara nyata atau kiasan digunakan sebagai strategi pemasaran. Bukan sahaja iklan secara terbuka di media sosial malah ada yang mengiklankan menggunakan billboard. Bukan itu sahaja, sebahagian penjual membuat video ghairah atau tutorial penggunaan produk sehinggakan membuka aurat dan hilang rasa malu dalam diri.
“ Membuat perkara yang sia-sia boleh mendatangkan mudarat pada hati”
Budaya ini bukan sahaja di kalangan penjual produk sahaja tetapi selebriti-selebriti Malaysia juga menormalisasikan budaya lucah seperti mengadakan Bachelorette Party dengan membuat kek berbentuk kemaluan manusia. Selain itu, lawak-lawak berbaur lucah di kaca televisyen dianggap sebagai normal atau aset untuk membuat orang ramai ketawa dan adegan-adegan suami isteri di dalam bilik dikatakan pemanis drama yang ditayangkan.
Budaya yang dianggap normal ini sebenarnya memberi impak yang besar kepada masyarakat terutama kepada remaja bawah umur. Gambar dan aksi anak muda yang langsung tiada perasaan malu menayangkan bentuk tubuh badan di media sosial sehingga timbul komen-komen yang menghairahkan.
“Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)
Demi iffah para wanita, saya terasa cukup malu dengan perbuatan yang demikian. Sifat malu itu perlu ada dalam setiap-setiap perempuan kerana malu adalah mahkota seorang wanita. Hal ini bukan sahaja membahayakan diri wanita di dalam media sosial malah ketika berada di luar. Kita sering dengar berita yang tidak enak seperti kes rogol, mangsa pedophilia, culik dan dijadikan pelacur di kaca TV.
Selain itu, perihal suami isteri di dalam bilik dianggap sebagai topik hangat dibualkan ketika di pejabat. Perihal suami isteri adalah satu aib dan sepatutnya menjadi rahsia di antara suami dan isteri. Tidak hairan jika berlaku gangguan seksual di tempat kerja mahupun di luar.
Hentikan normalisasi lucah dalam masyarakat. Cukuplah saya melihat kerosakan anak bangsa sekarang dengan normalisasi sehingga berlakunya peningkatan kelahiran luar nikah dan ramai perempuan telah menjadi ibu tunggal di usia yang muda. Kaum perempuan tidak berasa selamat lagi untuk keluar rumah malah tidak berasa selamat di dalam rumah sendiri! Masyarakat harus cakna dengan masalah ini.
Normalisasi ini bukan sahaja meruntuhkan moral individu dan akhlak seseorang, bahkan meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat dan bahkan negara. Kita yang akan mencorakkan pemuda pemudi di negara kita. Jika cantik coraknya, maka cantik juga akhlaknya.
Perkara yang paling ditakutkan adalah kaum perempuan mula hilang sifat malu dan kaum lelaki mula sirna sifat qawwam (Pemimpin). Jika hilangnya sifat malu dan sifat pemimpin seseorang, maka mudah untuk perbuatan terkutuk itu berlaku di dalam sebuah masyarakat malah boleh berlaku dalam keluarga itu sendiri.
Jangan mengharapkan tindakan daripada pihak berkuasa semata-mata. Mula daripada diri sendiri dan awasi saudara-saudara di sekeliling kita. Kasihanilah diri sendiri, dan generasi muda akan datang.
Disediakan oleh,
Nur Ashikin Binti Ahmad Laduni