Hayati, gadis Minang dari Batipuh. Kecantikannya indah seperti Gunung Merapi. Sosok perempuan sopan santun dan berjiwa besar ini merupakan watak utama dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang telah diterbitkan pada tahun 1938.

 

 

 

 

 

Hasil karangan ulama terkenal Indonesia, Buya Hamka. Walaupun telah bertahun lamanya novel ini dihasilkan, ia tidak luput ditelan zaman. Karya ini telah diadaptasi ke dalam filem dan pelbagai teater seni di peringkat institusi mahupun antarabangsa.

Secara ringkasnya, novel ini berkisar tentang kisah percintaan antara Zainuddin dan Hayati yang terhalang dek kerana persefahaman dan budaya masyarakat yang berpegang teguh dengan adat Minangkabau. Masyarakat Minang di Padang pada ketika itu begitu mementingkan suku keturunan dan kekayaan harta sebagai simbol kebahagiaan.

Hal ini telah menyebabkan pinangan Zainuddin untuk menjadikan kekasihnya sebagai isteri telah ditolak oleh keluarga Hayati kerana Zainuddin bukan berketurunan Minang tulen dan tidak mempunyai harta.

Buya Hamka bertindak mengkritik salah faham yang berbeza dengan ajaran Islam secara lembut dan berhikmah melalui penghasilan novel ini. 

 

Hayati dan Zainuddin di negeri Padang

Meskipun Hayati telah melumpuhkan harapan Zainuddin, namun hakikatnya gadis Batipuh itu mempunyai kekayaan jiwa yang besar di dalam hatinya. Kekayaan jiwa yang dia serahkan hanya kepada Zainuddin.

Justeru, artikel ini bertitik tolak dalam menganalisis dan menyelami hati gadis Batipuh yang tenggelam bersama kapal Van Der Wijck. Tatkala Hayati perlu akur dengan keputusan Mamak dan keluarganya memilih Aziz sebagai suami, batinnya juga sakit dan goyah seperti Zainuddin.

Bezanya, Hayati bertindak memendam perasaan itu tetapi Zainuddin bertindak menzahirkannya. Malah lebih parah, apabila Hayati terpaksa membohongi Zainuddin dengan menyatakan bahawa dia memilih Aziz kerana kehendaknya sendiri.  Hal ini kerana Hayati ingin menjaga nama baik keluarganya dan meletakkan salah itu pada dirinya walaupun dia akan kehilangan Zainuddin yang dia cintai.

 

Setelah Hayati menikahi Aziz, episod kehidupannya tidak lagi seperti dahulu. Walaupun Aziz melimpahinya dengan harta kekayaan, hidup Hayati seperti boneka. Menjalani hari-hari tanpa bahagia. Tatkala si isteri menunggu kepulangan suami di rumah, Aziz pulang dalam keadaan mabuk. Malah, Aziz turut terlibat dengan kegiatan judi.

Logik dan mesej yang cuba disampaikan oleh Hamka ialah setiap manusia memerlukan agama sebagai tunjang dalam hidup. Perkara ini terserlah melalui simbolik nama-nama watak yang dipilih.

Hayati (حياتي) sebagai kehidupan telah memilih Aziz (عزيز) iaitu kemewahan/kegagahan berbanding Zainuddin (زين الدين) iaitu agama sebagai pelengkap kehidupan, akhirnya membuahkan kesedihan yang tiada penghujung.

Persoalannya, mengapa Hayati berjiwa besar?

Jawapannya adalah dia rela mengorbankan keinginan jiwa demi patuh kepada kehendak keluarganya. Tidak mengingini perbalahan besar dalam keluarga jika dia ingkar.

Masih ingatkah kalian surat terakhir Hayati kepada Zainuddin ?  

“Percayalah, di dalam jiwaku, ada sesuatu kekayaan besar yang engkau sangat perlu kepadanya. Dan kekayaan itu belum pernahku berikan kepada orang lain, walaupun kepada Aziz. Kekayaan itu ialah kekayaan cinta,,”

“Zainuddin, engkau akan beroleh seorang perempuan yang masih suci batinnya, suci jiwanya, belum pernah disentuh orang lain, hatinya belum pernah dirampas orang, yang tidak ada bedanya dengan permatamu yang hilang, dan dengan gadis Batipuh yang engkau cintai dua dan tiga tahun yang lalu,,”

Jiwa Hayati itu kaya. Kasih Hayati yang suci telah menghidupkan jiwa Zainuddin. Hayati muncul dikala orang-orang di Padang menolak Zainuddin. Ketika dia dihukum oleh Zainuddin dengan menyatakan kekejamannya sebagai perempuan dan dihantar pulang ke tanah asalnya, dia tidak berdendam dengan Zainuddin. Kekayaan cinta itu terus hidup sehingga rohnya berpisah dari jasad, ketika dia tenggelam bersama kapal Van Der Wijck.

 Melalui surat terakhirnya juga, Hayati mengharapkan agar Allah mengurniakan kebahagiaan untuk Zainuddin. Walaupun setelah gadis Batipuh itu meninggal dunia, kekayaan jiwanya yang besar masih dan terus menghidupkan jiwa lelaki budiman itu, Zainuddin.  

 


Nur Amal Fatinah, beliau merupakan graduan dari Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin (Dakwah dan Pembangunan Insan). Beliau sering bergiat dalam aktiviti kokurikulum sewaktu di bangku university dan pernah melakonkan watak utama sebagai Hayati dalam Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya. Beliau sedang berkhidmat sebagai Pembantu Eksekutif di Lembaga Zakat Negeri Kedah. Hobi beliau ialah membaca dan sering berkecimpung dalam dunia penulisan.

 


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.