Pada 1974, sebuah karya bertajuk “Kedudukan Perempuan Dalam Islam” oleh Hamka telah diterbitkan yang kemudiannya dijenamakan sebagai “Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan” dan Jejak Tarbiah menerbitkan semula ke dalam bentuk edisi Malaysia melalui pendekatan dan reka bentuk yang lebih menarik. Buku ini mengandungi 16 topik mengenai kedudukan dan peranan wanita.
Hamka dengan penuh berhikmah dan bijaksana, tegas mempertahankan Islam sebagai agama yang sentiasa memuliakan wanita dan menangkis salah faham orientalis terhadap kedudukan wanita dalam Islam di samping membuat perbandingan antara kedudukan wanita dalam Islam dan di Barat berikutan masyarakat yang sering menganggap negara-negara Barat sebagai pejuang hadapan hak asasi.
Buku ini dimulakan dengan tajuk “Perempuan Juga Dimuliakan”. Menurut pendapat peribadi saya, Hamka memulakan buku ini dengan tajuk tersebut dengan menafsirkan surah al-Nisa agar pemikiran pembaca daripada awal lebih terarah kepada fahaman bahawa Islam sememangnya memuliakan perempuan kemudian barulah disokong oleh fakta-fakta. Nama-nama wanita yang disebut di dalam al-Quran serta nama-nama muslimah berperibadi hebat ada disenaraikan di sini.
Kupasan ini dimulakan dengan membincangkan peranan dan perlakuan wanita bersandarkan isteri-isteri dan anak-anak baginda Nabi S.A.W serta para sahabat dan seterusnya mengaplikasikan situasi tersebut kepada wanita masa kini.
Hamka menekankan konsep berkaitan harga diri, tugasan serta hak-hak wanita kerana manusia itu menjadi mulia apabila hak dan tanggungjawab yang diperuntukkan sesuai dengan kelayakan individu tersebut. Ketidakseimbangan antara hak dan tanggungjawab menjadikan manusia itu tidak mulia kerana ia bermaksud manusia itu dizalimi. Maka, Islam telah menggariskan peranan dan hak yang sesuai dan adil buat para wanita bagi menunjukkan kemuliaan mereka.
Sesuatu penerangan haruslah selari dengan perkara yang diterangkan. Sekiranya sedang berbicara mengenai perkara ‘A’, fakta dan perbandingan mestilah berputar sekitar perkara ‘A’, tidak wajar sekiranya dibandingkan perkara ‘A’ dan ‘B’.
Di sini, Hamka membawa kisah Adam dan Hawa iaitu kisah mereka ada dibicarakan oleh ketiga-tiga agama besar iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam. Hamka membandingkan naratif Hawa oleh Islam serta Yahudi dan Nasrani yang mana Islam tidak membuta tuli meletakkan kesalahan keluarnya manusia dari syurga disebabkan oleh wanita iaitu Hawa manakala agama lain meletakkan kesalahan tersebut ke atas wanita sekaligus menunjukkan hatta penghargaan wanita diperendah-rendahkan sejak awal lagi.
Buku ini mengajar kita berpandangan bahawa gerakan-gerakan yang dibawa untuk mengangkat wanita menyaksikan betapa tertindasnya wanita di Barat dahulu kala sehingga terpaksa membuat suatu gerakan yang mana akhirnya berlebih-lebihan dalam menuntut sesuatu hak dan tanggungjawab yang mana jika tidak diimbangi dengan adil, boleh membawa kerosakan terhadap para wanita sekaligus merosakkan sistem masyarakat yang harmoni.
Ketidakfahaman masyarakat terhadap wanita menjadikan sistem kekeluargaan itu sendiri porak peranda. Masyarakat yang terdiri daripada keluarga-keluarga pula menjadi rosak apabila runtuhnya sistem kekeluargaan. Tidak dinafikan, domino effect ini akan berterusan sehinggalah merosakkan negara.
Masyarakat Islam yang kurang kefahaman dalam cara mendidik wanita boleh mengakibatkan berlakunya keganasan rumah tangga manakala kurangnya pemahaman terhadap hak-hak wanita menjemput ketidakadilan dalam layanan terhadap wanita.
Dalam buku ini juga, Hamka menyatakan bahawa Islam juga memberi ruang kepada isteri-isteri yang teraniaya jalan keluar terhadap perkahwinan iaitu perceraian secara hakam, khuluk, ta’liq dan fasakh di samping kuasa talak di bawah kekuasaan suami. Hal ini membolehkan para wanita melepaskan diri daripada bahaya berterusan dalam sebuah perkahwinaan yang tidak lagi selamat.
Buku ini sesuai untuk dimiliki oleh semua orang lebih-lebih lagi perbincangan yang dibawa masih amat relevan ketika ini walaupun karya ini selesai ditulis berdekad lamanya.
Disediakan oleh,
Nur Aina