Hamka Berbicara Tentang Perempuan

55

Buku ini menjelaskan terlebih dahulu mengenai kemuliaan wanita dan asal-usul kejadian wanita dalam Islam seperti mana yang terangkum dalam surah An-Nisa ayat 1.

Malah penceritaan penciptaan wanita juga diisi dengan hujah dan nas daripada Kitab Perjanjian Lama yang mana sepakat mengatakan bahawa asal usul kejadian perempuan adalah daripada tulang rusuk lelaki.

Seterusnya HAMKA meneruskan dengan menyatakan hujah dan dalil bahawa kaum wanita ini mempunyai kedudukan dan penghargaan yang sangat istimewa dalam Islam.

Malah peranan wanita dalam institusi pembangunan sesebuah masyarakat bangsa dan negara juga menjadi tunjang yang utama. Ini dapat dibuktikan dengan nukilan HAMKA:

“Jika perempuannya baik, baiklah negara, dan jika mereka bobrok, bobrok pulalah negara. Mereka adalah tiang, dan biasanya tiang rumah tidak begitu kelihatan. Namun, jika rumah sudah condong, periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.”

Malah, buku ini juga menjelaskan keadaan dan senario yang dihadapi oleh wanita pada zaman jahiliyyah yang mana stigma dan layanan terhadap golongan ini sangat memilukan.

Menariknya, di satu sudut lain, HAMKA mengemukakan hujah bagaimana kedudukan dan martabat golongan hawa ini bagi dunia perspektif Barat.

Buku ini juga berjaya memberikan tasawwur yang jelas mengenai situasi yang dihadapi oleh wanita di dunia Barat ketika itu.

Umum mengetahui bahawa status nasab keluarga seperti nama keluarga wanita akan ditukarkan kepada nasab sang suami saat mereka bernikah.

Sebagai contoh, jika sebelum berkahwin namanya adalah Rebecca Simpson, Maka setelah bernikah dengan David Beckham, Maka dia akan dikenali sebagai Rebecca Beckham.

Berbeza dengan Islam, yang mana status nama ayah sang wanita akan kekal. Jika dulu sebelum bernikah namanya Salmah Binti Salim, maka setelah bernikah, nama nasab ayah (baca; Salim) kekal walaupun nama suaminya Irwansyah Bin Siregar.

Maka, dia tidak akan dikenali sebagai Salmah Binti Siregar. Begitulah indahnya Islam dalam mengiktiraf hak wanita.

HAMKA juga mengheret pembaca dengan menjelaskan bahawa bagaimana kemuncak kepada pengiktrafan pemilikan harta oleh kaum wanita di dunia barat.

Pada tahun 1860-an, wanita bujang di barat ketika itu yang mempunyai harta akan menyerahkan segala hak milik mutlak harta tersebut kepada sang suami.

Ini menyebabkan, golongan wanita ini terpaksa memindahkan harta yang mereka miliki kepada penama ketiga (orang suruhan atau upahan) untuk menjaga harta tersebut ketika sudah berkahwin.

Di dunia barat ketika itu khususnya di perancis, kaum wanita yang bernikah tidak diberikan autoriti atau hak untuk memiliki harta. Penafian ini adalah kerana status golongan wanita dipandang rendah terutamanya soal pemilikan harta.

Berbeza dengan Islam yang mengiktiraf hak dan status kaum wanita. Selain diberikan hak untuk memiliki harta sendiri, malah kaum wanita juga diberikan hak untuk harta warisan keluarga seperti mana yang terangkum dalam al-quran.

Hak kesamarataan yang diberikan Islam bukan bermakna golongan wanita perlu memikul dan melakukan tanggungjawab berat seperti mana kaum lelaki.

Hak kesamarataan disini adalah bermaksud memberikan kebebasan kepada golongan wanita untuk memiliki harta sendiri. Bahkan, mereka juga bebas untuk mengumpul dan menggunakan harta tersebut untuk tujuan perniagaan atau tujuan peribadi.

Analogi dan qias yang HAMKA lakukan adalah untuk menjelaskan bahawa Islam sebenarnya terlebih dahulu mengiktiraf hak wanita sebelum tahun 1800-an lagi seperti mana yang berlaku di Barat.

Malah, dalam soal kedudukan wanita dalam masyarakat juga, Islam terlebih dahulu mengiktiraf hak wanita untuk memberikan mereka peluang untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Bahkan dalam zaman Nabi SAW, golongan wanita ada yang terlibat dengan perang namun diberikan posisi yang bersesuaian dengan fizikal dan kemampuan mereka.

Golongan wanita diberikan tugasan untuk menyediakan keperluan makanan dan minuman serta merawat para pejuang yang memerlukan rawatan.

Buku ini juga sangat inspiratif dengan menceritakan perihal bagaimana Nabi SAW melayani dan mengasihi anak-anak perempuannya.

Malah, nilai kasih sayang, cinta dan kerinduan yang Nabi SAW tanamkan begitu indah untuk diungkap dengan kata-kata. Malah, Nabi SAW menjelaskan bahawa orang yang paling baik adalah orang yang baik dengan ahli keluarganya.

HAMKA juga turut menyelitkan sorotan peristiwa golongan wanita pada zaman jahiliyyah dulu. Bagaimana golongan wanita ini menjadi mangsa kepada kepercayaan karut dan tahyul ketika itu.

Pada akhir bab ini, HAMKA menceritakan hak-hak istimewa perempuan yang terkandung dalam syariat sama ada yang masih bujang, berkahwin ataupun yang statusnya janda.

Hak-hak ini pula merangkumi soal pemilikan harta, pemilihan pasangan hidup dan hak mereka sebagai isteri (jika berlaku krisis rumah tangga maka ada pilihan yang Islam anjurkan).

Walaupun buku ini ringkas dan nipis, namun begitu banyak perihal tentang wanita yang berjaya dikupas daripada pelbagai sudut dan metodologi.

Buku ini boleh dibeli menerusi pautan:
https://jejaktarbiah.com/kedai/buya-hamka-berbicara-tentang-perempuan/

Oleh: Rashidin Idris

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

One Reply to “Hamka Berbicara Tentang Perempuan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *