“Fat does not equal unhealthy!”
“Diet has a 95% rate of failure.”
“Our bodies aren’t meant to change.”
Saya merupakan salah seorang pengguna tegar aplikasi Youtube, dan dari situlah saya mendapat tahu tentang satu gerakan sosial yang sejak beberapa tahun ini terutamanya, masyhur dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat. Pertama kali mendengar tentang gerakan ini, rasa ingin tahu saya melonjak dengan tingginya. Namanya saja sudah menarik; Fat Acceptance (FA).
Saya jadi tertanya, apa yang diperjuangkan oleh gerakan ini? Apa matlamat yang hendak mereka capai? Apakah buku atau siapakah tokoh yang menjadi tulang belakang gerakan ini? Pelbagai lagi soalan yang memenuhi minda saya, dan ia menyebabkan saya meluangkan masa lapang menonton video-video yang membincangkan tentang gerakan ini, khususnya para penggeraknya.
Di dalam artikel ini, saya menulisnya dengan satu tujuan yang utama. Iaitu, saya hendak berkongsi ibrah-ibrah yang telah saya kutip hasil daripada menonton video-video di Youtube berkenaan FA. Sebelum saya memulakan perkongsian ibrah ini, saya rasa ada eloknya saya berkongsi sedikit sejarah gerakan sosial FA ini dan juga pandangan peribadi saya terhadap gerakan sosial ini.
Sejarah gerakan sosial Fat Acceptance (FA) .
Dipetik daripada laman web rasmi National Association to Advance Fat Acceptance (NAAFA), sebuah persatuan yang memperjuangkan hak-hak orang gemuk:
Founded in 1969, the National Association to Advance Fat Acceptance (NAAFA) is a non-profit, all volunteer, fat-rights organization dedicated to protecting the rights and improving the quality of life for fat people. NAAFA works to eliminate discrimination based on body size and provide fat people with the tools for self-empowerment through advocacy, public education, and support.
Persatuan inilah yang telah membawa kepada lahirnya gerakan-gerakan lain yang tidak jauh bezanya dengan FA seperti Health at Every Size (HAES), Fat Liberation, dan Body Positivity (dahulunya satu gerakan yang mempunyai objektif yang bagus tetapi kini telah diambil-alih dan dikuasai oleh penggerak-penggerak FA).
Kesemua gerakan ini sehingga kini bergiat aktif di media sosial melalui para penggeraknya dengan sasaran menormalisasikan badan bersaiz gemuk dan berusaha sedaya mungkin untuk mengubah persepsi orang agar badan bersaiz gemuk dianggap cantik dan sihat sama seperti badan bersaiz normal. Gerakan ini lebih didominasi oleh penggerak-penggerak yang berjantina wanita, dibandingkan dengan lelaki.
Saya berpandangan gerakan ini dari satu sudut tidak jauh bezanya dengan mereka yang mengamalkan pegangan liberal, kerana kedua-duanya menjadikan hawa nafsu dan diri sendiri sebagai paksi utama dalam mereka menjalani kehidupan seharian. Saya lebih banyak membangkang berbanding bersetuju dengan perjuangan-perjuangan gerakan ini.
Ibrah-ibrah yang saya pelajari daripada gerakan Fat Acceptance (FA) .
- Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Para penggerak FA kebanyakannya lantang melaungkan bahawa menurunkan berat badan itu adalah satu perkara yang mustahil. Dalam masa yang sama, mereka turut giat menyebarkan pendirian mereka bahawa gemuk itu sihat dan badan mereka yang bersaiz besar itu tidak perlu diubah langsung.
Menurunkan berat badan hakikatnya bukanlah sesuatu yang mustahil sama sekali, ia masih boleh dicapai walaupun seseorang itu menghidap penyakit yang menyukarkan penurunan berat badan seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).
Ketekalan dan kesabaran ialah dua daripada lambakan perkara yang penting dalam perjalanan menurunkan berat badan. Tambahan, ia merupakan sunnatullah bahawa sesiapa yang berusaha, in sha Allah akan berjaya. Allah telah berfirman di dalam surah Ar Ra’d, ayat 11:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.”
- Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.
Makan berlebihan, tanpa batasan, dan mengikut kehendak perut dianggap sebagai suatu keperluan dalam hidup oleh ahli-ahli gerakan FA. Dalam masa yang sama, mereka menganggap pengehadan pengambilan makanan ialah satu bentuk diet yang melampau dan akan menyebabkan badan kebuluran.
Seperti yang kita semua maklum, makan sememangnya ialah satu keperluan di dalam hidup. Namun begitu, makan secara berlebihan ialah perkara yang memudaratkan. Lebih-lebih lagi apabila semua jenis makanan ditelan begitu sahaja tanpa mengambil berat khasiat serta nutrisinya.
Pengehadan pengambilan makanan bukanlah satu perkara yang memudaratkan secara langsung, melainkan bila ia dilakukan secara berlebihan seperti apa yang dilakukan oleh mereka yang mengalami penyakit Aneroxia Nervosa. Allah sendiri telah melarang kita melampau dalam makan dan minum seperti di dalam surah Al-A’raf, ayat 31:
“…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
- Cantik itu berbeza pada pandangan setiap orang.
Salah satu perkara yang lantang dilaungkan oleh para penggerak FA ialah badan gemuk itu tidak kurang cantiknya daripada badan bersaiz normal. Dalam pada itu, mereka turut memaksa agar badan bersaiz gemuk diakui dan diiktiraf sebagai cantik di dalam media dan pada pandangan jantina bertentangan.
Perempuan dan kecantikan bagaikan isi dan kuku, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Ia merupakan fitrah kewanitaan yang dianugerahkan oleh Allah. Mereka yang tidak pernah dan jarang dipuji cantik sememangnya haus dengan pujian tersebut, terutama daripada para lelaki di dalam hidup masing-masing seperti ayah dan suami.
Kebanyakan masa, mengharapkan pujian daripada orang lain itu memenatkan kerana ia mungkin atau tidak mungkin akan terjadi. Oleh kerana itu, memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan menanamkan keyakinan diri ialah jalan yang terbaik bagi mereka yang bukan rupawan. Dan kalau kita masih sahaja berasa hodoh dan buruk, Allah sendiri telah berfirman di dalam surah At-Tin, ayat 4 akan keelokan kita yang merupakan ciptaan-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”
Kesimpulannya, kepada mereka yang mempunyai badan bersaiz gemuk, ia masih belum terlambat dan ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk anda mempunyai badan bersaiz normal dan menjalani hidup yang lebih berkualiti. Mulakanlah perjalanan sihat anda dengan perkara yang paling asas, dan istiqamahlah. In shaa Allah, anda pasti akan berjaya.
Disediakan oleh,
Hanis Afifah,
Seorang pelajar tahun ketiga Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Melalui pengaruh rakan lamanya, beliau kini lebih cakna akan kesihatan jasmani dan mencuba sebaik mungkin untuk menjalani hidup dengan gaya yang lebih sihat. Pada tahun lepas, beliau telah berjaya menurunkan 10kg dan konsisten mengekalkan berat badan normal sehingga hari ini. Untuk memotivasikan diri dalam menjaga kesihatan, beliau banyak menonton video-video di Youtube yang membincangkan perihal kesihatan dan gerakan Fat Acceptance.