Naluri manusia secara fitrahnya pasti akan mempercayai sesuatu kekuasaan ghaib yang dapat memberikan perlindungan, kesejahteraan dan sebagai tempat memohon segala hajat dan keperluan. Tanpa mengira apa jua nama yang diberikan, manusia secara normal pasti mempunyai naluri keyakinan tentang kewujudan kuasa tersebut. Kerana itu juga, kita dapat melihat perkembangan kewujudan agama-agama di dunia ini tumbuh dan bercambah selari dengan naluri manusia itu sendiri yang hidup bertuhan.
Pada kebanyakan manusia itu, Tuhan merupakan suatu entiti kepada kekuasaan yang dipercayainya.
Namun, diatas perkembangan ini juga, kita dapat melihat suatu gerakan ideologi yang tumbuh untuk menentang arus fitrah manusia yang hidup bertuhan. Ideologi ini disebutkan sebagai “Ateisme”.
Istilah Ateisme merupakan gabungan dari dua perkataan iaitu “atheis” dan “isme”. Perkataan ateis berasal dari bahasa Yunani iaitu atheos yang membawa maksud tiada Tuhan. Manakala perkataan isme pula merujuk kepada makna suatu fahaman, ideologi dan seumpamanya. Maka gabungan dua perkataan ini membentuk makna sebagai fahaman atau gerakan yang menolak dasar kewujudan ketuhanan.
Berdasarkan The Encyclopedia of Religion, ateisme merupakan suatu doktrin yang mendakwa bahawa Tuhan tidak wujud dan kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan adalah kepercayaan yang palsu. Selain itu, dalam satu sudut lain pula, menurut The New Encyclopedia Britannica, ateisme merupakan sebuah kritikan dan penafian terhadap kepercayaan metafizik tentang Tuhan atau makhluk kerohanian. Meskipun begitu, kita mesti bijak membezakan antara fahaman agnostisme dan fahaman ateisme. Agnostisme merupakan suatu ideologi yang menimbulkan keraguan tentang kebenaran kewujudan Tuhan. Sebaliknya, Ateisme pula suatu ideologi yang dengan yakin dan pasti menolak akan kewujudan Tuhan.
Dalam tradisi ilmu Islam, ateisme disebutkan sebagai mulhid atau ilhad. Menurut Ibn Faris dalam kitab Mu’jam Maqayis al-Lughah, mulhid atau ilhad membawa maksud menyimpang daripada pandangan yang benar. Selain disebutkan sebagai mulhid atau ilhad, terdapat juga beberapa perkataan dan istilah lain yang merujuk kepada fahaman ateisme seperti dahriyyah, zanadiqah, tabi’iyyah dan la diniyyah.
Berdasarkan pandangan para sarjana Islam, seperti yang dinyatakan dalam kitab Mausu’ah al-Falsafah Wa al-Falasifah, golongan ateisme ini bukan sahaja menolak kewujudan Tuhan serta agama malah ateis juga bermaksud mereka yang mengingkari serta mendustakan kewujudan Allah.
Aliran fahaman ini lahir daripada sejarah pemikiran moden Barat yang lampau. Akibat daripada kegagalan pihak gereja sebagai sebuah institusi agama di Barat menjadi sebuah institusi yang mulia dan contoh teladan yang baik, akhirnya kebangkitan Barat menolak sistem nilai moral beragama , tidak lagi mempercayai pihak gereja sekaligus melahirkan pemikiran-pemikiran baru bertujuan membebaskan manusia dari berada di bawah cengkaman agama. Krisis agama di Barat yang memperlihatkan bagaimana penyelewengan dan penindasan yang dilakukan oleh pihak gereja, menghasilkan sebuah kebangkitan menghakis kepercayaan terhadap institusi agama.
Kesan daripada kebangkitan tersebut, maka muncul beberapa kenyataan yang boleh disifatkan sebagai menolak agama dan Tuhan. Antara figura dan tokoh terawal yang mengemukakan ideologi ateisme ini ialah Baron D’ Holbach. Beliau menulis sebuah buku berjudul The System of Nature. Dalam penulisannya, beliau menyatakan bahawa alam ini bekerja dengan mekanismenya sendiri dan tidak melibatkan pengaruh Tuhan. Padanya, agama merupakan suatu bentuk penindasan dan kezaliman yang melemahkan kebenaran.
Selain itu, Ludwig Andreas Feuerbach, antara tokoh terawal juga dalam memperjuangkan ideologi ateisme ini. Dalam buku beliau yang berjudul The Essence of Christianity, beliau menyatakan bahawa pemikiran mutlak tentang Tuhan tidak penting kerana ia sekadar khayalan akal yang berpisah daripada Tuhan.
Tokoh Sosialis dan Kapitalis terkenal, Karl Marx turut melontarkan pandangan berbaur ateisme menerusi bukunya, Critique of Hegel’s Philosophy of Right. Dalam penulisannya, beliau menyatakan bahawa agama itu seperti candu rakyat. Baginya, agama itu sendiri telah merampas kesedaran manusia dengan membawa episod kedukaan sedangkan manusia berkeinginan menjadikan alam ini lebih baik. Oleh yang demikian, beliau berpandangan Kristian dan semua agama di dunia hendaklah dimusnahkan terlebih dahulu sebagai proses membina alam.
Vladimir Lenin, antara yang mendukung falsafah Karl Marx turut menyatakan dalam bukunya, Socialism and Religion, agama adalah sejenis arak yang sangat kotor sehingga memabukkan akal serta menutup ingatan seseorang manusia daripada mengingati tentang kesedaran untuk berusaha membebaskan diri.
Kemunculan ideologi fahaman ateisme di Barat telah berkembang luas ke seluruh dunia. Fahaman ini juga disebarkan dengan pantas melalui banyaknya bahan bacaan, medium wacana dan diskusi, melalui internet dan sebagainya.
Turut tidak ketinggalan, Malaysia yang kita cintai ini. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010, seramai 202, 763 orang atau 0.7 peratus dikategorikan sebagai tiada agama. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh WIN-Gallup International pada tahun 2014, hasil kajian ke atas 500 responden di Malaysia, di dapati sebanyak tiga peratus mengaku sebagai ateis dan 20 peratus mengaku tidak beragama. Angka dan perolehan data ini tidak boleh dipandang remeh. Hakikat yang harus diakui, ideologi ateisme ini merupakan serangan pemikiran yang tidak dapat dikesan secara zahir. Ianya mampu menyerang ke minda manusia dengan menimbulkan pelbagai keraguan tentang Tuhan dan agama.
Sebagai warganegara Malaysia yang menjunjung tinggi perlembagaan negara, harus diingatkan bahawa di bumi ini tidak ada ruang untuk fahaman ateisme ini bertapak. Dalam ikrar Rukun Negara, seluruh rakyat berikrar pada rukun yang pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Oleh itu, tiada ruang bagi golongan yang diluar fitrah manusia ini, yang menafikan kewujudan Tuhan ini, untuk hidup bebas dan menyebarkan fahaman songsang mereka ini.
Sejarah lampau di Barat, memperlihatkan bagaimana agama Kristian dimanipulasikan oleh para pendeta yang rakus sehingga mengheret agama-agama lain turut terpalit. Agama Islam tidak seperti agama lain. Bahkan jauh lebih baik, Islam datang dengan membawa terma kebebasan, dari menjadi hamba sesama makhluk, bebas merdeka menjadi hamba kepada yang berkuasa mutlak, yakni Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis