Tulisan kali ini merupakan sambungan kepada tulisan yang bertajuk: “SPM Bukan Segala-galanya”.
Aku seharusnya bangkit dari sebuah kejatuhan. Biarpun keputusan SPM yang aku terima sangat mengecewakan, namun tiada manfaatnya bagi aku untuk terus-menerus meratapi sebuah “kematian” itu. Hidup mesti diteruskan, perjuangan masih panjang. Bukankah orang-orang dahulu pernah berkata:
“Gagal Sekali Bukan Gagal Selama-lamanya!”
Kata-kata ini sangat membekas dalam diriku. Seolah-olah memberikanku semangat untuk bangkit semula. Perkara yang sudah berlalu, biarkan berlalu dalam lembaran sejarah hidup dan tugasku ini adalah dengan menjadikan kejadian silam itu sebagai satu panduan dalam menghadapi perkara-perkara mendatang.
Antara Dua Jalan
Borang permohonan untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudahku isi secara atas talian. Borang permohonan kemasukan ke universiti-universiti awam yang dikenali sebagai UPU tidak sempat diisi akibat sikap cuaiku sendiri yang tidak peka akan tempoh masa permohonan yang sudah tamat! Pelbagai persoalan bermain di benak fikiranku ketika itu.
“Ish, berjaya ke aku nanti untuk dapatkan di pusat matrikulasi KPM? Markah yang aku perolehi untuk subjek-subjek sains semasa SPM hanya cukup-cukup makan?! Adoyai”, rungutku dalam hati bersendirian.
“Borang UPU tidak sempat isi haritu.”, fikiran bertambah rungsing.
Persoalan demi persoalan terus menerus menerjah kotak fikiran namun tiada satu pun jalan penyelesaian yang datang sebagai ilham dalam menangani kemelut yang bertimpa-timpa ini.
Surat tawaran untuk menyambung pengajian ke Pusat Matrikulasi KPM telah sampai ke rumah. Berdasarkan surat tawaran itu, aku berjaya mendapat tempat di Pusat Matrikulasi KPM cawangan Tangkak, Johor. Kursus yang ditawarkan adalah Sains Tulen. Namun, hati menjadi tawar saat melihat surat tawaran tersebut. Masakan tidak, semua subjek sains tulen yang aku ambil sewaktu SPM, aku hanya memperolehi markah ala kadar sahaja.
“Mampukah aku menyambung pengajianku dalam bidang Sains Tulen nanti? Keputusan SPM pun kantoi. Subjek-subjek Sains Tulen yang aku belajar dulu, aku tidak berjaya kuasai dengan baik.” merintih aku dalam hati.
Semakin hari semakin hilang minatku untuk mendalami bidang Sains apatah lagi setelah mendapat keputusan SPM yang mengecewakan. Ya Allah, pimpinkanlah hamba-Mu ini dalam menangani kemelut yang dihadapi.
Tiba-tiba suara kecil dalam hatiku bersuara, “Teruskan sahaja dengan STAM sehingga habis. Siapa tahu, melalui STAM, akan merintis peluang lebih cerah utk terus maju dalam pelajaran”. (STAM merupakan singkatan kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia merupakan peperiksaan setaraf dengan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dan kebiasaannya pelajar yang mengambil peperiksaan STAM dapat menyambung pengajian ke Universiti al Azhar, Mesir.
Aku terdiam. Terkedu buat seketika. Mengapalah tidak pernah terlintas dalam fikiran aku selama ini akan hal ini. Tidak salah untuk aku menaruhkan nasibku melalui STAM. Siapa tahu rezeki aku lebih baik dengan menelusuri jalan ini. Sedar tidak sedar sudah tiga bulan aku mempelajari subjek-subjek STAM di SAMT Sultan Hishamuddin, Klang. Ada benarnya suara hatiku tadi.
Sejak aku melangkah masuk ke alam STAM, hatiku seakan jatuh cinta. Masakan tidak, sewaktu kelas STAM, aku cuba membina sebuah kehidupan baru setelah mengalami suatu kejatuhan yang tragis dalam SPM. STAM jugalah tempat aku mengubati luka hati dek kesedihan yang mendalam setelah SPM.
Mengimbau Memori Silam
Sewaktu aku mendaftar sebagai pelajar STAM, aku tidak mempunyai keinginan serius untuk menduduki peperiksaan STAM, malah aku hanya menuruti ajakan rakanku yang kebetulan mahu mendaftar sebagai pelajar STAM. Sekadar menjadi Pak Turut kata orang.
Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Klang menjadi sekolah pilihanku untuk menyambung pengajian STAM. Sekolah itu dipilih kerana ia merupakan sekolah yang paling dekat dengan rumahku yang menawarkan pengajian STAM. Tambahan pula, sekolah lamaku di Subang Jaya itu tidak berapa jauh dengan bakal sekolahku itu.
Masih terngiang-terngiang dalam benak fikiranku kata-kata mantan pengetua SAM Bestari, Tuan Haji Shaharoni:
“Sekiranya kalian tidak berjaya memperoleh keputusan yang memberangsangkan dalam SPM, jangan pernah putus asa untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Terdapat banyak peluang lain yang menanti kalian sebagai jalan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, antaranya adalah tingkatan 6, STAM. Secara peribadi, saya sangat menggalakan para pelajar saya untuk mngambil STAM kerana ia memberikan satu peluang yang sangat baik untuk meneruskan pengajian selepas SPM. Malah ia boleh membantu anda untuk mendalami ilmu agama, dan saya lihat kawan saya yang berkelulusan bidang agama, hidup mereka senang, hati pun tenang”.
Demikian kata-kata penyuntik semangat yang dilontarkan oleh seorang pengetua yang aku hormati. Terima kasih Tuan Haji atas kata-kata penyuntik semangat. Semoga Allah sentiasa merahmati dirimu wahai guruku.
Di sini segalanya bermula.
Menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar STAM bukanlah suatu perkara yang yang mudah. Subjek-subjek yang wajib diambil mencecah 10 subjek dimana bahasa pengantar yang digunakan adalah bahasa arab menggunakan buku-buku teks yang tebal pasti mencabar daya ketahanan seseorang individu untuk terus bertahan dalam bidang ini.
Tauhid, Mantiq, Fiqh, Faraid, Hadith, Mustolah, Al-Quran, Tafsir, Usul Tafsir, Balaghah, Nahu, Sorof, Arudh, Qofiah, Insha, Muthola’ah, Adab dan Nusus. Sebahagian istilah-istilah tersebut baru pertama kali aku dengar ketika STAM. Biarpun aku telah mempelajari Bahasa Arab sejak bangku sekolah rendah, namun istilah-istilah Arab di atas tetap suatu yang asing bagiku.
Sewaktu menjadi pelajar STAM, aku melihat sebahagian pelajar STAM tidak mempunyai daya tahan yang jitu dalam menghadapi alam STAM yang serba mencabar itu. Ada pelajar yang hanya mampu bertahan selama sebulan dua, dua tiga minggu bahkan ada yang hanya menjadi pelajar STAM selama 1 HARI SAHAJA!
Kelas STAM, seolah-olah dijadikan sebagai tempat persinggahan atau R & R bagi sebahagian pelajar sebelum berpindah ke alam pra-universiti seperti Matrikulasi, Asasi Sains, Institusi Perguruan dan lain-lain. Ini terbukti apabila sebahagian daripada kami apabila mendapat tawaran menyambung pengajian ke tempat lain, mereka akan berhenti dari kelas STAM.
Persekitaran sedemikian sangat menguji daya juang aku ketika itu. Bayangkan sebaik sahaja sampai sahaja surat tawaran menyambung pengajian, maka berbondong-bondong pelajar-pelajar STAM meninggalkan alam STAM dengan slogan:
“Sayonara STAM, Sehingga Bertemu Lagi”.
Saat ini benar-benar menguji daya juangku untuk meneruskan pengajian di peringkat STAM. Sebahagian rakan-rakanku telah menukar haluan pengajian tinggi mereka ke tempat lain sama ada institusi pengajian tinggi dalam negara seperti Darul Quran, pusat Matrikulasi UIAM, ASASI UM, UiTM, Maktab Perguruan mahupun institusi pengajian tinggi luar negara seperti seperti Jordan, Mesir, Yaman dan lain-lain.
Walhal kami pelajar STAM masih kekal di alam persekolahan dengan memakai uniform pelajar sekolah! Pada mulanya, ibuku sendiri tidak bersetuju dengan keputusan yang aku ambil untuk meneruskan pengajian di peringkat STAM, kerana beliau berpendapat adalah lebih baik untuk aku untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi di pusat Matrikulasi Universiti Islam Antabarangsa (UIAM) di Petaling Jaya.
Namun, aku sudah nekad untuk meneruskan pengajianku di peringkat STAM walau apa jua rintangan yang mendatang. Aku mahu membuktikan bahawa melalui STAM, aku mampu bangkit dari sebuah kegagalan! Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya, aku berjaya menamatkan pengajian STAM sehingga ke penghujungnya bersama sahabat-sahabat perjuangan yang lain.
Alhamdulillah, aku telah berjaya memperoleh keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan STAM tahun 2010 dengan pangkat Jayyid Jiddan (bermaksud Sangat Baik). Segala kesyukuran hanya dipanjatkan kepada Allah, tidak dilupakan juga buat ibuku, Hajjah Noraini Mukhtar yang tidak putus-putus mendoakan anakmu ini disamping menjadi pendorong dan penyuntik motivasi untuk aku terus kekal cekal dalam perjalanan menuntut ilmu.
Rakaman penghargaan juga ditujukan kepada para guru yang tidak jemu mendidik kami dalam proses menuntut ilmu sehingga kami berjaya mendapatkan keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan STAM. Barakallah fikum. Hanya Allah jualah yang mampu membalas jasa dan pengorbanan kalian semua.
Alhamdulillah, setiap sesuatu yang berlaku tidak berlaku dengan sia-sia melainkan terdapat disebaliknya 1001 hikmah yang tersurat dan tersirat yang perlu disingkap oleh setiap manusia yang melaluinya berdasarkan pengalam masing-masing. Benarlah pepatah yang menyebut bahawa “Gagal sekali bukan gagal selama-lamanya” bahkan kegagalan harini merupakan permulaan kepada sebuah kejayaan hari esok.
Alhamdulillah aku telah berjaya buktikan bahawa aku mampu bangkit dari sebuah kegagalan. Anda pula bagaimana?
Setelah dua tahun keputusan peperiksaan STAM diumumkan, aku telah terpilih untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Madinah dalam pengajian Syariah Islam.
Yang pernah gagal,
Fathi Anwar,
Setapak, Kuala Lumpur.