Kita pasti akan merasa tenang dan selesa apabila dapat membaca buku di bawah pohon yang rendang ditemani kicau burung di sana sini dan mendengar gemersiknya suara air terjun beralun menghempas batu. Sesekali dapat mencicip kopi panas dan merendam kaki di dalam air sambil membaca buku kegemaran sememangnya mengasyikkan.
Mungkin ada yang pertama kali mendengar perkataan Projek Kaki Buku. Mungkin juga ada yang sudah biasa mendengarnya dan mungkin anda adalah salah seorang peserta yang pernah menyertai aktiviti bersama Projek Kaki Buku. Projek Kaki Buku merupakan sebuah komuniti yang menjalankan aktiviti membaca di luar rumah sambil melakukan aktiviti riadah yang mencergaskan badan dan minda bermotokan “Because Library is Too Mainstream.”
Matlamat penubuhan Projek Kaki Buku adalah untuk memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan anak muda. Seperti yang diketahui ramai, anak muda masa kini sangat mudah terpedaya dengan perkara baharu yang sering menjadi ikutan. Sebagai contoh, aktiviti bersukan seperti memanah, berkayak, berbasikal, memanjat tembok, mendaki bukit dan berkhemah di tepi air terjun sedang menjadi tarikan dan semakin popular. Jadi, Projek Kaki Buku mengambil kesempatan untuk mendekati golongan muda ini dengan cara membaca mengikut aktiviti kegemaran mereka.
Selain daripada mendekati golongan muda untuk membaca, Projek Kaki Buku juga cuba membawa pembaca tegar atau lebih dikenali sebagai ulat buku keluar dari kepompong gaya hidup di dalam bilik mahupun perpustakaan dan menjalani kehidupan yang aktif di luar rumah sebagai gaya pembacaan yang baharu.
Ternyata, hal ini sangat berkesan. Lihat saja beberapa aktiviti yang dijalankan oleh Projek Kaki Buku, rata-rata aktiviti luaran mereka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pencinta buku dan juga kepada mereka yang baru berjinak-jinak untuk membaca buku. Kebiasaanya, aktiviti yang dijalankan adalah sesi suai kenal bersama peserta dan judul buku yang ingin dikongsikan. Kemudian, selepas acara perkongsian tentang buku menarik yang dibaca, setiap peserta akan melakukan aktiviti sukan seperti yang ditetapkan pada waktu tersebut.
Hasil daripada perkongsian setiap peserta, ada antara mereka yang sudah lama mahukan aktiviti seperti ini tetapi tidak tahu komuniti manakah yang harus mereka ikuti. Ada juga peserta yang memberitahu, minatnya terhadap membaca telah berputik sebaik saja menyertai aktiviti anjuran Projek Kaki Buku. Dari situ, mereka mula bertukar buku dan saling menghubungi antara satu sama lain untuk meminjam buku. Tidak kurang juga ada yang mahu supaya dicadangkan kepadanya buku apa yang bagus untuk mereka yang baru berjinak-jinak untuk membaca buku.
Menyedari hakikat ini, Projek Kaki Buku menjadi semakin bersemangat dalam menganjurkan aktiviti sembang buku secara santai bersama pembaca di luar dari kebiasaan. Sering kali pembaca mencadangkan beberapa lokasi dan aktiviti menarik untuk dijadikan tempat berkumpul dan bersembang secara santai. Kadang kala, kita tidak tahu dimanakah untuk kita berkongsi tentang buku yang telah dibaca. Jadi, komuniti seperti ini menjadi medium yang sangat penting dalam kita menyampaikan maklumat, berkongsi rasa dan mungkin merungkaikan persoalan kekliruan terhadap pembacaan sesebuah buku.
Pada bulan September tahun 2018, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengeluarkan penyataan untuk menamakan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia tahun 2020. Keputusan itu dibuat berdasarkan pengukuhan terhadap pendidikan, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan bahan bacaan yang mudah diakses di bandaraya itu. Berita ini mendapat maklumbalas positif dan sokongan daripada pelbagai pihak.
Kemudian, penghujung tahun lepas, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik telah menjalankan kempen Malaysia Membaca sebagai salah satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030. Dr Maszlee telah berkongsikan di media sosialnya tentang 10 buku menarik yang pernah dibaca dan perkongsian ini telah mendapat sambutan hangat dan menjadi ikutan setiap masyarakat untuk berkongsi tentang buku kegemaran mereka juga.
Walaupun fakta tentang rekod pembacaan di Malaysia menunjukkan angka terendah iaitu 15 hingga 20 buku setahun, beberapa usaha yang diketengahkan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan ini sememangnya harus dipuji dan dilaksanakan bersama. Kita juga tidak dapat menafikan permintaan yang semakin meningkat terhadap aktiviti membaca di luar rumah menunjukkan bahawa minat membaca boleh ditentukan dengan gaya dan cara kita membaca supaya tidak membosankan. Semoga aktiviti membaca secara santai mampu untuk menyumbang pertambahan jumlah pembaca di Malaysia.
Disediakan oleh,
Siti Salha Rosman