Mana-mana manusia yang berakal waras pasti akan tergerak hatinya untuk berfikir dan terus berfikir tentang hakikat kehidupan yang fana ini. Melihat alam yang terbentang luas seolah-olah melihat sebuah lukisan yang indahnya tidak terperi. Langit membiru tegak berdiri tanpa bertiang, bumi yang menghijau terus menyembah ke bawah. Keajaiban, kekaguman dan ketakjuban. Demikian perkataan yang boleh diterjemahkan apabila melihat penciptaan alam ini.
Apabila manusia menggunakan anugerah akal ini, maka tiap-tiap akal yang berfikir akan bergerak mencari dan terus merasainya akan keajaiban alam ini. Disebalik semua ini, pasti ada yang mentadbir dan mengaturnya. Oleh yang demikian, manusia sejak zaman primitif lagi, sudah mempunyai kepercayaan akan adanya sesuatu kuasa ghaib yang mengatur akan segala hal ini.
Maka tidak hairanlah, manusia sejak dahulu lagi menyembah bermacam berhala dan patung, ada yang menyembah alam seperti bulan dan matahari. Semuanya di atas satu perasaan yang sama iaitu menyakini akan wujudnya sesuatu kekuasaan.
Stephen Fuch S. V. D, seorang pakar biologi pernah berkata dalam penulisan bukunya Origin Of Religion yang bermaksud :
“Tidak ada puak atau manusia di dunia ini walau mundur sekalipun mereka atau tingginya tamadun mereka yang tidak mempunyai kepercayaan kewujudan yang maha berkuasa atau Tuhan, tanpa apa-apa kepercayaan agama”.
Ini bermakna, sehebat apa pun seseorang itu, baik dari tamadun apa pun datangnya dia, semuanya pasti mempunyai perasaan untuk hidup bertuhankan sesuatu.
Jauh di sudut benak hati kita, barangkali timbul persoalan besar tentang mengapa fitrah manusia yang cenderung kepada sifat mahu menyembah ini berada dalam setiap manusia tanpa mengira bangsa dan kaum apa pun dia ? Kenapa kita sendiri mempunyai naluri untuk hidup bertuhankan sesuatu kuasa ? Perkara ini sudah pun dijawab oleh Allah Azza Wa Jalla menerusi firman Nya dalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah-Ku”
Tujuan penciptaan manusia itu sendiri adalah untuk menyembah Allah. Diatas tujuan inilah, manusia pasti memiliki kecenderungan untuk menyembah sesuatu yang pada anggapannya berkuasa. Sejarah juga menceritakan kepada kita bagaimana fitrah hidup bertuhan ini telah membuka ruang dan peluang untuk manusia berusaha mencari makna kekuasaan yang benar-benar berkuasa atas segalanya.
Ketika manusia bergelut mengembara mencari akan sang kekuasaan yang sebenar, munculah berbagai-bagai sembahan yang semakin lama semakin membuatkan diri berfikir akan kebenaran. Bermula dari sembahan unsur alam seperti angin, air, bulan, matahari dan bintang, kemudian muncul pula pemujaan semangat roh, sehingga ke peringkat menyembah manusia yang masih hidup yang dianggap sebagai wakil tuhan.
Manusia dengan kudrat akal yang terhad, melakukan pelbagai usaha berfikir dan terus merungkai untuk mencari hakikat ketuhanan. Seperti Thales, tokoh falsafah pertama membicarakan tentang tamadun pemikiran manusia, beliau berpendapat bahawa asal segala sesuatu itu ialah air. Susulan itu, muncul pula Anaximandros, beliau menyatakan asal segala sesuatu itu ialah nous, yang tidak berkesudahan.
Kemudian, datang Socrates kembalikan landasan pemikiran manusia mencari Tuhan dengan mengaitkannya dengan penciptaan diri. Untuk mengukuhkan lagi pemikiran beliau, Plato anak muridnya Socrates, menyakinkan lagi cara fikir gurunya dengan menyebut kajian tentang adanya Yang Maha Kuasa, penggerak dari segala sesuatu. Demikian berkembangnya akal manusia dikala berusaha mencari makna hidup bertuhan.
Tatkala dalam keadaan kegelutan mencari Tuhan yang sebenar, Allah SWT telah memberikan jalan keluar kepada segala kegelutan ini. Dalam surah al Hajj ayat 43, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daru mereka, mereka tidak akan dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah”
Berdasarkan firman Nya, segala yang diseru dan dipuja oleh manusia selain daripada Allah merupakan suatu perbuatan yang sia-sia sahaja. Tidak dapat memberikan sebarang fadilat mahupun mudarat. Oleh yang demikian, agama Islam telah datang untuk memerdekakan manusia daripada dibelenggu oleh kejahilan hidup bertuhan. Islam datang dengan membawa kebenaran hanyasanya Allah, Tuhan yang wajib disembah. Tidak ada sekutu bagiNya. Islam datang untuk menyelamatkan manusia daripada diperbodohkan menyembah sesuatu yang tidak berkuasa.
Dalam hidup ini, ada perkara yang berlaku di dalam kawalan kita. Ada juga perkara yang berlaku di luar kawalan kita. Hal itu juga membuktikan hidup ini mesti bersandarkan pada sesuatu yang berkuasa. Tujuannya adalah untuk memohon perlindungan dan peliharaan. Untuk itu, hidup ini sebenarnya tidak dapat lari daripada bertuhankan yang Maha Kuasa. Adalah luar dari fitrah, apabila kita mendakwa Tuhan itu tidak wujud. Sangat pelik dan aneh. Semoga Allah menjadikan kita dikalangan para hamba Nya yang bertakwa.
Disediakan oleh: Faidhi Azis