Walaupun tidak pernah menulis apa-apa, Socrates dianggap sebagai ahli falsafah yang penting, pemikiran beliau telah buat selamanya mengubah pandangan manusia tentang apa yang dimaksudkan dengan falsafah1. Walaubagaimanapun, Socrates bukanlah pengasas falsafah, beliau juga bukan pengasas kepada falsafah Yunani. Sebelum kelahiran Socrates sendiri, bidang falsafah telah berkembang di Yunani selama ratusan tahun, namun falsafah pra-Socrates ini tidak ditulis, jika ditulis, bahan tersebut tidak terselamat dari ditelan masa. Pemikiran falsafah pra-Socrates tidak terpelihara ke zaman moden dengan lengkap, ia hanya wujud secara cebisan-cebisan sehingga sarjana merasakan mustahil kita dapat mengetahui dengan tepat pemikiran ahli falsafah sebelum Socrates baik bentuk pemikiran mereka secara sempurna, atau ketepatan maklumat perihal mereka dari sudut sejarah.2

Rekonstruksi Pemikiran Socrates

Terdapat empat sumber utama yang boleh digunakan untuk memahami dan membentuk semula pemikiran Socrates. Empat sumber ini merupakan mereka yang dekat dengan Socrates dan sebahagiannya mengenali beliau secara peribadi iaitu Plato, Xenophon, Aristophanes, dan Aristotle. Masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan. Plato adalah sumber yang paling banyak menulis perihal Socrates, namun ia tidak dapat dijadikan sebagai sumber yang benar-benar objektif kerana Plato bersifat bias dan terlalu mengagung-agungkan Socrates. Xenophon yang merupakan anak murid Socrates pula tidak menjadi ahli falsafah, sebaliknya memilih untuk menjadi petani. Aristophanes pula menggambarkan Socrates sebagai orang yang bodoh, manakala Aristotle merupakan sumber yang terkemudian, beliau lahir 15 tahun selepas Socrates.3

Walaupun empat sumber utama ini berbeza antara satu sama lain, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada ahli sejarah dalam usaha untuk melakukan rekonstruksi terhadap sosok Socrates yang sebenar. Persamaan yang ada pada sumber-sumber ini dapat dinilai sebagai sahih manakala dengan membuat perbandingan, kita dapat melihat elemen-elemen bias dalam penulisan perihal peribadi Socrates.4

Perbicaraan dan Hukuman Bunuh

Perkara yang paling terkenal perihal Socrates adalah perihal perbicaraan yang dikenakan ke atasnya kemudian hukuman mati susulan dari perbicaraan ini. Dalam bukunya, Fareed Zakaria mengatakan proses perbicaraan yang dihadapi oleh Socrates ini adalah proses yang demokratik tetapi tidak liberal.5

Socrates sering mengatakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa. Oleh itu dia tidak dapat mengajar apa-apa. Namun aktiviti yang sering dilakukannya mirip dengan aktiviti mengajar, Socrates dituduh mengajar perkara yang merosakkan golongan muda di Athen. Perbicaraan ini berlangsung ketika umurnya menghampiri 70 tahun pada tahun 399 sebelum Masihi6. Ketika dibicarakan pun, Socrates dilihat meneruskan aktiviti kegemarannya iaitu berhujah dan beragumentasi, maka boleh dikatakan bahawa beliau beragumentasi sehingga mati.7

Perbicaraan ini mempunyai latar politik, iaitu selepas Athens kalah dalam peperangan melawan Sparta. Athens kemudian diperintah oleh tirani yang diletakkan oleh Sparta dan anak murid Socrates terlibat dalam pemerintahan tirani ini. Orang-orang Athens merasakan golongan intelektual melemahkan masyarakat mereka.8

Terdapat tiga tuduhan utama yang dilemparkan kepada Socrates dalam perbicaraan ini iaitu beliau tidak mengiktiraf tuhan Athens, cuba memperkenalkan tuhan baharu, dan merosakkan golongan muda.

Menurut Gottlieb, tuduhan bahawa Socrates memperkenalkan tuhan baharu mempunyai merit, ini kerana beliau sering bercakap tentang daimonion iaitu penjaga spiritual, yang menjadi petunjuk suci yang membantunya. Daimonion ini telah bersama Socrates sejak beliau masih kecil, bagi Gottlieb, daimonion ini boleh dikatakan sebagai suara hati yang sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan.9 Perkara ini dianggap serius oleh demokrasi Athens yang mempunyai prosedur tersendiri untuk mengiktiraf tuhan baharu. Kekuasaan negara sahaja mempunyai hak untuk menentukan apa yang wajar disembah.10 Hal ini bertentangan dengan pandangan penulisan perihal zaman klasik lain. Contohnya Catherine Nixey yang cuba menunjukkan bahawa masyarakat klasik lebih toleran dalam menerima tuhan baharu.11 Menurut Nixey, kepercayaan pagan pada zaman klasik tidak mempunyai masalah dengan tuhan yang berbeza.12

Walaupun dijatuhkan hukuman mati, Socrates tidak gentar. Bagi Socrates, orang yang takut mati adalah orang yang berfikir bahawa dia bijak, namun sebenarnya dia tidak bijak. Bagi Socrates tiada siapa yang tahu apa yang terjadi selepas mati, kemungkinan ia merupakan satu nikmat yang paling besar bagi manusia. Tetapi manusia takut mati, kerana mereka berfikir bahawa mereka tahu apa itu kematian, kematian bagi mereka sesuatu yang buruk dan jahat. Bagi Socrates, orang yang merasakan kematian itu buruk sebenarnya jahil, kerana dia merasakan dia tahu akan sesuatu hakikat yang tidak diketahuinya. Orang yang mengakui bahawa dia tidak tahu apa yang berlaku selepas mati bagi Socrates adalah orang yang bijak, kerana dia sedar bahawa dia tidak mempunyai ilmu.13

Pemikiran Falsafah Socrates

Falsafah menurut Socrates adalah aktiviti yang intim dan kolaboratif. Ia dilakukan melalui perbincangan dalam kumpulan kecil. Dalam kumpulan ini mereka berdebat dan berbahas agar setiap peserta akan dapat mencapai sebuah kefahaman tentang apa yang dia rasakan benar. Falsafah dalam bentuk aktiviti di masa lapang ini tidak dapat dicapai melalui syarahan atau penulisan. Oleh sebab itu Plato dan Xenophon mempersembahkan pemikiran Socrates dalam bentuk dialog.14 

Pemikiran sentral kepada cara Socrates berfikir adalah bermula dengan tidak tahu, malah pemikir itu hendaklah mengakui bahawa dia tidak tahu akan sesuatu. Ini mungkin berbeza dengan pandangan kita perihal pemikir hari ini, bahawa mereka mengetahui sesuatu. Socrates sentiasa mengatakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa perihal apa yang dibincangkan, dan dengan itu bertanyakan banyak soalan.15 

Dengan menggunakan metodologi dialog ini, secara sedikit demi sedikit kita akan mengetahui maksud perihal sesuatu yang dibincangkan. Menurut Gottlieb, inilah kehebatan Socrates, bahawa dia penuh dengan kesedaran bahawa dia hanya mempunyai sedikit sahaja ilmu dan pengetahuan.16 Saya bersetuju dengan pandangan Gottlieb ini, bahawa kita menjadi lebih berpengetahuan dengan menganggap bahawa kita tidak tahu, kerana dengan itu kita akan terbuka menerima pandangan dan ilmu baharu. Bukan seperti mereka yang mengaku intelektual yang kononnya sudah mengetahui semuanya perihal sesuatu subjek, keegoan mereka kadangkala menjengkelkan saya. Menurut Gottlieb, pengakuan tidak tahu ini bukan bermaksud Socrates tidak tahu perkara-perkara umum dan fakta, tetapi beliau menzahirkan sikap tidak tahu dimana foundasi yang melahirkan moral.17

Bagi Socrates, kebaikan bukan hanya sesuatu yang dilihat dari perwatakan dan juga perlakuan, tetapi merupakan satu projek intelektual. Bagi Socrates seseorang itu hendaklah pertamanya memahami apa itu kebaikan, barulah dia dapat menjadi orang yang baik. Seseorang tidak dapat menjadi sesuatu yang dia sendiri tidak fahami.18 Namun apa yang dikatakan Socrates ini tidak terbukti dalam perlakuan manusia sebenar. Ilmu tidak akan menjamin seseorang itu menjadi baik, manusia sering kali tahu bahawa perlakuannya tidak baik, tetapi tetap juga melakukannya. Aristotle mengkritik pandangan Socrates ini, menurut beliau teori ini tidak mencakupi keseluruhan psikologi manusia dan tidak mengambil kira bahagian yang tidak rasional dalam diri manusia.19

Metodologi Argumentasi

Socrates mempunyai metodologi yang tersendiri dalam berdialog dengan seseorang dan melontarkan hujah. Beliau sentiasa merasakan bahawa dia tidak mengetahui apa-apa, tetapi untuk berbahas berkenaan dengan sesuatu subjek, kita mesti mempunyai sebuah definisi. Jika tidak diberikan definisi perihal objek yang hendak dibahaskan, perbahasan akan menembak antara satu sama lain pada target yang berbeza-beza dan tidak mampu mencapai sebarang hasil.

Oleh kerana Socrates tidak mengetahui apa-apa, beliau akan membiarkan lawannya memberikan definisi dan membina sebuah tesis. Ini adalah permulaan kepada metodologi argumentasi Socrates iaitu membiarkan pihak lawan memberikan definisi. Setelah itu Socrates akan memulakan langkahnya. Dengan menggunakan definisi pihak lawan, Socrates akan melontarkan soalan-soalan yang menimbulkan kontradiksi dalam pemikiran definisi tersebut. Socrates akan bertanyakan soalan sehingga lawannya akan meragui definisinya sendiri.20 Metodologi argumentasi seperti ini digunakan oleh pendebat-pendebat sehingga ke hari ini, dalam perdebatan, untuk menjatuhkan pihak lawan, cara yang paling berkesan adalah menggunakan kata-kata pihak lawan sendiri untuk melawan hujah mereka. Teknik seperti ini sering digunakan oleh pendebat moden seperti Mehdi Hasan.21

Metodologi seperti ini, membiarkan pihak lawan memberi definisi sebelum menyiasatinya dengan pelbagai jenis soalan lahir dari sifat Socrates yang skeptik dengan apa-apa kenyataan selagi ia tidak diteliti menggunakan akal fikiran. Menurut Gottlieb, Socrates memang tidak akan menerima apa-apa nasihat, walhal dari kawannya sendiri kecuali sesudah membuat refleksi dan berfikir menggunakan akal fikiran bahawa perkara itu benar-benar sesuatu yang terbaik untuk dilakukan.22

Melalui metodologi dialog, kefahaman itu akan datang dari orang yang ditanya itu sendiri apabila dia cuba menjawab soalan-soalan yang dilontarkan Socrates, di sini kita melihat bahawa ilmu itu sudah ada dalam diri seseorang, Socrates hanya membantunya untuk mengeluarkan ilmu tersebut. Ilmu dalam hal ini, terbit melalui proses menyoal, bukan proses mengajar.23 Socrates dalam metodologinya tidak mahu mengajar, kerana dia sendiri tidak tahu akan hakikat sesuatu, metodologinya adalah untuk menguji sesuatu hakikat yang dibentangkan kepadanya oleh orang lain dalam bentuk sebuah definisi.24

Disediakan oleh: Syed Ahmad Fathi


1Debra Nails and S. Sara Monoson, “Socrates”, The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Summer 2022 Edition), Edward N. Zalta (ed.), URL https://plato.stanford.edu/archives/sum2022/entries/socrates/ 

2Richard D. McKirahan Philosophy before Socrates: An introduction with texts and commentary. Hackett Publishing, 2011.

3Anthony Gottlieb. Socrates. Phoenix, 2002, hlm 20-21.

 4Ibid., hlm 22.

5Fareed Zakaria. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company, 2004.

 6Anthony Gottlieb. Socrates. Phoenix, 2002, hlm 10.

 7Ibid., hlm 22.

 8Ibid., hlm 11.

 9Ibid., hlm 17.

 10Ibid., hlm 12.

11Catherine Nixey. The Darkening Age: The Christian Destruction of The Classical World. Pan Books, 2018.

12Syed Ahmad Fathi. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review, 2023.

13Gottlieb. Socrates., hlm 19.

14Ibid., hlm 20.

15Ibid., hlm 9.

16Ibid., hlm 15.

17Ibid., hlm 15.

18Ibid., hlm 24.

19Ibid., hlm 34.

20Ibid., hlm 9.

21Mehdi Hasan. Diskusi perihal buku Win Every Argument bersama Jen Psaki. Politics and Prose, 02 Mac 2023. Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=9zBAXKYdcus 

22Gottlieb. Socrates., hlm 16.

 23Ibid., hlm 28.

 24Ibid., hlm 29.


 

Bibliografi

Gottlieb, Anthony. 2002. Socrates. Phoenix.

Hasan, Mehdi. 2023. “Win Every Argument with Jen Psaki.” Politics and Prose. March 02. https://www.youtube.com/watch?v=9zBAXKYdcus.

McKirahan, Richard D. 2011. Philosophy before Socrates: An introduction with texts and commentary. Hackett Publishing.

Nails, Debra , S. Sara Monoson, and Edward (ed.) N. Zalta. 2022. “Socrates.” The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Summer 2022 Edition). 

Nixey, Catherine. 2018. The Darkening Age: The Christian Destruction of the Classical World. Pan Books.

Syed Ahmad Fathi. 2023. “Kehancuran Dunia Klasik Romawi & Yunani.” Academia Book Review. Zakaria, Fareed. 2004. The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. W. W. Norton & Company.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.