Terbaik yang inti perkataannya ialah baik membawa makna dan konotasi tentang segala hal memuaskan dan menyenangkan hati, memudahkan, memuliakan serta menyelesakan tampuk kedudukan seseorang. Itulah definisi umum yang sudah kebiasaan kedengaran. Kata yang cukup sinonim dengan stigma masyarakat sama ada di era lampau mahupun di masa kini. Seumpama kamus sebuah penghidupan bahawa hal terbaik berarti haruslah sesuatu yang membawa watak-watak positif. Namun, adakah itu benar-benar arti sejati bagi frasa terbaik yang dikira-kira cukup bulat pengertiannya untuk menjawab semua perspektif kehidupan? 

Sebenarnya dalam kehidupan yang tidak lekang dengan ujian ini, makna terbaik sangatlah luas dan tidak tertumpu pada segenap sudut sahaja. Seperti kata Kurniawan Gunandi, menuju baik itu adalah baik. Kata-katanya ini sungguh sinis untuk mentafsirkan apa sebenarnya jangkaan keadaan terbaik. Kalau diimbas pandangan beliau ini, baik bukan sahaja dilihat sebagai kata adjektif (sifat) yang mesti membawa watak-watak positif tapi sebenarnya adalah suatu perkataan yang menunjukkan ia frasa aktif yang beraksi sebagai perbuatan.

HAL TERBAIK ADALAH HAL YANG BERHIKMAH

Selalu dikeluhkan berjumpa dengan orang yang salah, gagal dalam pencapaian dan dirundung masalah tanpa henti adalah musibah dalam hidup. Malah manusia seakan-akan hilang arah tuju dan giat mencari semangat untuk bangkit. 

وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 216).


Kadang-kadang kita lupa yang kemampuan kita sebagai manusia sememangnya terbatas. Kita tidak dapat melihat apa yang akan berlaku dihadapan kita. Kita tidak pernah mampu mengesahkan apa yang terbaik untuk diri kita. Kita hanya mampu merancang tetapi perancangan kita itu hendaklah melalui pertimbangan Tuhan. Seperti yang digambarkan pada ayat di atas, Tuhan adalah pembimbing arah tuju hidup kita yang mutlak. Dia mengetahui apa yang baik untuk kita meskipun hal itu dibalut dengan duka lara. Dan, Dia juga Maha Mengetahui terhadap hal yang kelihatan indah namun sangat buruk bagi kita. 

Maka, apa yang disebut terbaik tidaklah bermakna harus dilihat dalam bayangan positif sahaja. Sebagai contoh situasi, kita sudah sampai ke stesen bas tapi disebabkan ada barang yang tertinggal di rumah kita balik ke rumah dan akhirnya kita ketinggalan bas untuk sampai ke destinasi. Namun, bas yang hendak kita naiki tetapi tidak jadi itu ditimpa kemalangan dalam beberapa jam kemudian. Itu adalah hikmah bagi kehidupan seseorang. Dan itulah antara definisi makna hal terbaik dalam kamus hidup seseorang. Definisi ini bukanlah baharu untuk diketahui. Tapi kita belum cukup upaya bermunasabah dalam hidup tentang siapa kita sebagai manusia. Oleh itu, sebagai manusia cerdik akal, apabila merancang sesuatu berpada-padalah, “surrender after efforts”.

HAL YANG TERBAIK IALAH HAL YANG MENUMBUHKANMU

Kita sukar menggapai sesuatu apabila kita berada di zon selesa. Kita tidak akan mampu meninjau kebolehan diri sendiri. Kita akan suka hidup bergantung dengan orang lain. Mental kita akan segan dengan cara berdepan ujian hidup. Kita akan rasa cepat putus asa dengan rintangan hidup. Dan hal-hal yang membuat kita tetap menjadi anak-anak kecil yang tetap bergantung dengan orang ini adalah hal yang akan membantutkan pendewasaanmu. Kita akan hidup tidak seiring dengan rentak usia. Kita akan tetap manja dalam hidup. Kita akan merasakan hidup ini sungguh melelahkan padahal kita belum lagi mulai apa-apa perjuangan. 

Satu hal perlu kita sedari, hidup ini suatu persinggahan. Setiap satunya akan meninggalkan kita sama ada kawan, keluarga waima jasad sendiri. Ekspetasi diri kita akan menebal kalau kita tetap bergantung hidup dengan orang lain. Kita akan kecewa sehabisnya apabila ditinggalkan dan hilang pertimbangan untuk mengendalikan diri sendiri. Kita perlu sedar, ada hal kita boleh bergantung kepada orang lain dan ada hal perlu kita sendiri yang lakukan. Berbalik kepada definisi apa itu hal yang terbaik, hal terbaik adalah hal yang mendewasakan dirimu. Perjalanan mendewasakan diri ialah jalan membina kematangan diri sendiri dan akan dapat kita selami melalui kesusahan hidup. Maka, hal yang terbaik bukan hidup hanya dalam bayangan positif tetapi selagi hal itu terus membina dirimu dan jiwamu ia adalah hal yang terbaik yang pernah berlaku dalam hidupmu.

HAL TERBAIK ADALAH HAL YANG TERUS MEMBUATMU BERUSAHA

Ketika sudah mencuba mencapai sesuatu dan gagal, kita akan mulai merefleksi diri kenapa kita kecundang untuk menggapai yang mahu kita miliki? Kita berasa tidak puas hati dengan prestasi diri sendiri. Dan ini sebenarnya adalah sebuah seni alam yang membuatkan diri terus menggali usaha mencapai apa yang hendak kita capai. Boleh jadi kita akan berhenti berusaha melalui satu pintu dan terus mencuba di pintu yang lain. 

Kita akan mencubajayakan peluang dari pintu yang mana yang sememangnya tepat untuk kita. Manusia sering lupa bahawa ini juga adalah antara definisi tentang apa yang terbaik dalam hidup. Hal yang terbaik juga ialah suatu hal yang tetap membuatmu berusaha mencari peluang.

Standard bagi suatu hal sering kali dirumitkan sendiri oleh manusia itu sendiri. Kita selalu membina makna terbaik dalam lingkungan yang membuat kita manja dengan hidup. Lalu, apabila standard yang mustahil terjadi untuk setiap masa telah gagal dicapai, kita mulai murung mengenangkan nasib dan hilang rasa syukur. Kita tidak menyedari kecukupan nikmat yang terang-terang Tuhan berikan kepada kita iaitu rezeki yang sudah memang terjamin untuk kita masing-masing. Semoga, tiga garis utama tentang makna hal yang terbaik ini membuka mata para pembaca, bertenang dan bersyukurlah. Hal yang terbaik sentiasa menjadi molekul yang mengelilingi atmosfera hidup kita setiap hari.

Disediakan,

Nor Haziqah binti Ramlee, Pendidik

Sandakan, Sabah.

Leave your vote

12 Points
Upvote Downvote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.