Semasa menggali sejarah kehidupan Ibu Zain, saya melewati beberapa laman sesawang untuk membaca kisah hidupnya. Antaranya ialah laman Wanita UMNO yang mencatatkan biografi ringkas berkenaan tokoh wanita penting ini. Ada satu ungkapannya tentang nasib perempuan semasa zaman penjajahan Jepun. Katanya;
“Habis Punah Ranah ‘kaki ke atas kepala ke bawah’ !”
Punah ranah! Adakah zaman Jepun sangat teruk? Saya tidak dapat membayangkan. Hanya yang terlintas di minda saya selepas membaca ungkapan ini ialah cerita daripada arwah nenek saya. Kata nenek, anak dara terpaksa bersembunyi di dalam hutan kerana takut dirogol oleh askar Jepun ketika itu. Mereka akan menceroboh rumah penduduk kampung. Nampak sahaja wanita, mereka akan menyeksa dan merogol tanpa belas kasihan tidak kira anak dara atau isteri orang.
“Jahatnya askar Jepun!” Kata hati saya sebagai seorang budak perempuan bawah umur selepas mendengar sejarah lisan daripada nenek. Tidak tergambar dalam minda bagaimana keadaan sebenarnya, mungkin lebih dahsyat. Dengar sahaja cerita nenek, sudah meremang bulu roma.
Yang terselamat
Ketika Perang Dunia ke-2, memang benar askar Jepun sungguh kejam terhadap kaum wanita. Tetapi, terdapat golongan wanita yang tidak disentuh oleh askar Jepun iaitu golongan guru.
Menurut Adibah Amin dalam novel semi-autobiografinya, ‘Tempat Jatuh Lagi Dikenang’, semasa zaman Jepun, ibu bapa sangat berhati-hati dalam memelihara anak perempuan mereka. Atas sebab takut disentuh oleh askar Jepun, anak perempuan disekat daripada pergi ke sekolah. Jadinya, pendidikan mereka terbantut atas faktor keselamatan. Tetapi hal ini tidak mematahkan semangat ibunya iaitu Ibu Zain untuk terus mendidik anak-anak perempuan di kampungnya.
Pada waktu malam, Ibu Zain mengumpulkan anak-anak perempuan di rumahnya untuk mengajar tafsir Al-Quran. Pada suatu malam, ada beberapa askar Jepun telah naik ke bumbung rumah Ibu Zain sambil mengendap ke dalam rumah melalui lubang. Bercemperalah murid-murid Ibu Zain bersembunyi kerana takut ditangkap askar Jepun.
Ibu Zain yang berhati waja dan penuh ketegasan itu, terus bertindak pada keesokan harinya tanpa peduli jika nyawanya akan berakhir di hujung pedang Jepun. Beliau mara ke pejabat tentera Jepun dan bersemuka dengan pihak atasan mereka dan menuntut askar Jepun yang biadap untuk minta maaf kepadanya.
Begitu beraninya Ibu Zain! Atas faktor kedudukannya sebagai guru yang dihormati dan fasih berbahasa Jepun, pegawai atasan tersebut memohon maaf dan mengarahkan askar Jepun yang bersalah dihukum. Selepas kejadian itu, tidak ada lagi askar Jepun yang berani mengganggu rumahnya dan anak didiknya.
Yang dianiaya
Baiklah, mari kita teruskan pula tentang nasib perempuan yang dianiaya oleh Jepun. Jika kita telusuri sejarah perang dunia, terdapat sebuah peristiwa dahsyat yang melanda wilayah Nanking di China iaitu peristiwa ‘The Rape of Nanking’.
Pada tahun 1937, Jepun telah menyerang wilayah ini dan mereka telah bertindak dengan begitu kejam terhadap golongan wanita. Daripada nenek tua sehinggalah anak kecil, mereka dirogol beramai-ramai oleh tentera Jepun dan menusuk mereka dengan bayonet sebelum mati. Menurut Tribunal Ketenteraan Antarabangsa untuk Timur Jauh, dianggarkan sebanyak 20,000 orang wanita telah dirogol sampai mati.
Peristiwa pencabulan kemanusiaan yang dahsyat ini tidak berhenti setakat itu saja. Kesan daripada kekejaman yang mereka lakukan, ramai askar Jepun yang mati kerana dijangkiti penyakit kelamin. Oleh itu, kerajaan Jepun telah mengawal tentera mereka agar kejadian seumpama Peristiwa ‘Rape of Nanking’ tidak berulang lagi.
Kejadian itu bukan bermaksud mereka telah berhenti menyeksa kaum wanita. Malah, mereka telah menubuhkan sistem ‘Comfort Station’ iaitu menempatkan pelayan seks yang digelar sebagai ‘Comfort Women’! Pelaksanaan sistem Comfort Station ini adalah untuk mengurangkan ‘kegersangan seks’ tentera Jepun dan mengurangkan jangkitan penyakit kelamin yang mengancam nyawa mereka.
‘Comfort Women‘
Di dunia ini, tiada seorang wanita yang sanggup memperhambakan dirinya sebagai pelayan seks! Mungkin ada, tapi kebanyakannya terperangkap dengan helah Jepun!
Tahukah anda bagaimana Jepun merekrut ‘Comfort Women’?
Mereka akan mengiklankan pekerjaan yang tampak lumayan seperti pembantu restoran, orang gaji, dan lain-lain. Di samping itu, mereka juga mempunyai agen yang akan menguruskan sindiket ini. Maka, wanita-wanita yang berminat untuk bekerja itu datang kepada agen tentera Jepun dan mereka terus dipaksa menjadi Comfort Women! Barulah mereka tahu bahawa mereka sudah terpedaya!
Tidak hanya melalui helah seperti iklan pekerjaan, mereka juga turut menculik perempuan-perempuan tempatan di tanah jajahan mereka seperti China, Korea Selatan, Filipina, Jawa dan Melayu.
Derita ‘Comfort Women’
Setiap ‘comfort women’ ini dikehendaki untuk melayan seorang tentera Jepun selama 10 minit kemudian diberi masa untuk berehat selama 10 minit dan begitulah rutin mereka sehingga ‘waktu kerja’ mereka berakhir. Cuba anda kira, kalau 7 jam mereka terpaksa ‘bekerja’, berapa ramai tentera Jepun yang terpaksa mereka ‘layan’?
Penderitaan yang dialami oleh ‘comfort women’ ini bukan saja dalam bentuk keganasan seksual, tetapi juga mereka diseksa secara mental. Ada dalam kalangan mereka yang membunuh diri, tetapi setiap ‘comfort women’ yang menyebut sebarang kejadian bunuh diri akan diseksa oleh pengawal di ‘Comfort Station’! Seksaan yang sama juga akan dikenakan kepada mereka yang cuba melarikan diri dari Comfort Station!
Adakah setelah Jepun menyerah kalah, penderitaan mereka berakhir?
Tidak sama sekali!
Status sebagai bekas ‘Comfort Women’ menjadikan perempuan-perempuan malang ini disisihkan masyarakat. Ada yang tidak pulang ke kampung kerana tidak diterima keluarga dan malu dengan nasib diri mereka itu.
Benarlah kata Ibu Zain,
“Habis Punah Ranah ‘kaki ke atas kepala ke bawah’ !”
Selepas perang, tidak ada apa-apa lagi yang tinggal buat mangsa ‘Comfort Women’ ini. Maruah mereka telah dinjak-injak walaupun Jepun telah kalah, tetapi tidak ada kemenangan buat mereka. Mereka hilang keluarga dan dicemuh masyarakat kerana sebuah dosa yang bukan kehendak mereka.
Terdapat beberapa negara yang menuntut keadilan buat mangsa ‘Comfort Women’, seperti Filipina dan Korea Selatan, tetapi bukan negara kita.
Untuk kaum wanita yang tidak terbela, semoga Tuhan memberi ganjaran syurga!
Disediakan oleh,
Maisarah Pauzi