“Selepas ni kami pergi Menara Kayangan mak cik’’, aku menjawab dengan nada yang perlahan.
Menara Kayangan Lahad Datu atau lebih dikenali sebagai Tower Of Heaven terletak di Gunung Silam Lahad Datu. Antara gunung yang tinggi di Lahad Datu. Selepas tuan rumah mendengar jawapan tersebut, beliau tidak senang duduk dan kelihatan sangat risau. Risau dengan perancangan kami, beliau cuba menasihatkan kami supaya membatalkan niat untuk pergi ke Menara tersebut kerana Menara Kayangan tersebut banyak cerita yang kurang baik, kononnya ada binatang buas dan pernah berlaku pembunuhan. Tambahnya lagi, tiada langsung perkampungan disana.
Lalu, aku membatalkan niat untuk pergi ke Menara Kayangan, bahaya jika tiada perkampungan kalau ada berlaku sebarang masalah disana. Tuan rumah mencadangkan kepada kami untuk pergi ke Pantai Payang Lahad Datu.
Kami bergerak ke Bandar Lahad datu dahulu dengan menaiki grab sebelum bergerak ke Pantai Payang. Kami berhenti di pasar malam dan meneruskan perjalanan ke Kampung Terusan.
Aku teringat pesan cikgu, jika kita tidak mahir selok belok bandar, orang yang paling tepat untuk bertanya adalah pemandu teksi. Disebabkan disana tiada teksi jadi kami cuba bertanya dengan seorang pemandu Teksi Sapu. “Pak cik, adakah bas yang pergi sekolah terusan atau kampung Terusan?’’ Pakcik itu menjawab “Ada, dibelakang bangunan ini ada satu stesen bas Sepagaya, kamu naik bas tu’’. Kami terus bergerak ke stesen yang dimaksudkan, kemudian naik bas Sepagaya.
Hari mula gelap dan hampir memasuki waktu Maghrib, aku mula risau tetapi semangat untuk meneruskan perjalanan masih bergelora. Sebelum turun di simpang Kampung Terusan, aku perhatikan di dalam google maps terdapat satu simpang lagi yang berdekatan dengan Pantai Payang lalu kami meneruskan perjalanan ke simpang itu dengan menaiki bas. Kalau berjalan kaki dari simpang tersebut ke Pantai Payang memakan masa 1 jam. Sepatutnya kami hitchhike tetapi hari sudah mula gelap dan tidak ada sebuah kereta pun yang lalu.
Kawasan yang kami lalu bukanlah kawasan yang selamat kerana kawasan tersebut merupakan kawasan Ladang Kelapa Sawit dan tiada satu pun lampu jalan. Disebabkan rasa seram, kami mula mengambil langkah besar.
20 minit kemudian, kami ternampak tiga orang sedang berjalan kaki, kami cuba bertanya, “Bang, jauh lagi kah pantai Payang?” Abang tu menawab “Pantai Payang?? jauh lagi dalam setengah jam”. Kami ternanti-nanti kenderaan yang lalu tetapi tiada satu kereta pun yang lalu kawasan tersebut. Perasaan cemas, risau, takut dan negatif bercampur baur.
‘’Mengembara tidak seindah seperti dalam filem, ia perlu dirasai sendiri’’
Dalam hati aku “Aku yakin tuhan sedang menguji, kalau ujian ini untuk menguji aku betul-betul nak jadi pengembara, ujilah kerana aku ingin menjadi pengembara Borneo pertama di Malaysia, kalau bukan hari ni mungkin hari esok, kalau bukan hari esok mungkin hari seterusnya, perjalanan masih panjang’’.
Kami tetap meneruskan perjalanan “Pantang mundur kecuali checking’’ bak kata pendatang Asing. Anak muda pantang menyerah, biar laut bergelora, kalau patah pendayung, biar tangan yang menjadi pendayung.
Tiba-tiba ada beberapa ekor anjing sedang menyalak. Aku dengan Alvin mematahkan kayu untuk dijadikan senjata. Semakin kami melangkah ke depan, anjing menyalak semakin jelas kedengaran. Kali ini kami terpaksa berundur, “pantang mundur kecuali checking” berubah menjadi “pantang mundur kecuali anjing”.
Ketika berpatah balik kami terserampak dengan sebuah lori lalu aku dan Alvin menumpang lori tersebut menuju ke Pantai Payang, tetapi pemandu loru tersebut hanya menghantar kami di satu simpang yang terdekat dengan Pantai Payang kerana pemandu lori itu perlu mengambil kepala sawit.
Hujan mula turun dengan lebat.
Dalam kehujanan kami meneruskan perjalanan, aku ternampak ada sepasang kilauan mata yang sedang memerhati, fikiran aku mula bercampur baur kerana kilauan tersebut seolah-olah mengikuti kami. Kiri kanan penuh dengan kelapa sawit, sepasang kilauan mata tersebut jelas seperti mata harimau yang sedang memerhatikan dan menunggu waktu yang sesuai untuk menyerang, aku memberanikan diri untuk menyuluh ke arah kilauan tersebut, rupa-rupanya kelip-kelip, aku ingat kilauan tu mata harimau!
Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di dua simpang dan berhenti. Aku termenung seketika, “kiri atau kanan?’’. Aku dan Alvin buntu. Aku cuba menggunakan google maps tetapi lokasi tidak dapat dikesan. Sekali lagi kami mati akal. Kami mempunyai dua pilihan iaitu mendirikan khemah di simpang tersebut atau berpatah balik.
Kemudian Alvin mencadangkan supaya kami berpatah balik dan singgah ke rumah yang kami nampak semasa perjalanan tadi. Hujan makin lebat, aku dengan Alvin mula berlari dengan laju, mujur kami atlet sewaktu di sekolah dulu. Akhirnya kami sampai di depan rumah yang dimaksudkan Alvin. Sebenarnya itu bukan rumah tetapi kuaters pekerja ladang kelapa sawit.
Aku perhatikan di luar rumah tu ada tiga orang lelaki sedang minum kopi, aku menegur “Selamat petang tuan?”.
Seorang lelaki memandang kami dengan pelik, kemudian lelaki bertanya “yaa dari mana kita?”.
Aku menjawab “Dari Sandakan, kami mahu ke Pantai Payang, bolehkah kami berkhemah di tepi rumah ni tuan?“.
“Boleh bahh, tapii naik sajalah kamu sini”, tuan rumah menjemput kami naik ke rumah.
Tanpa bercakap panjang kami bersetuju dan naik ke rumah tersebut. Kami berehat di luar rumah sambil menjelaskan tujuan kami. Tuan rumah bergegas menyediakan tempat tidur untuk kami berehat selepas mengetahui kami merupakan pengembara atau backpakers, kami dapat menginap satu malam di kuaters pekerja ladang kelapa sawit yang berbangsa Timur dari negara Timur.
Awal pagi lagi tuan rumah menyediakan kopi panas untuk kami, nikmat! Aku menghirup kopi perlahan-lahan sambil berbual dengan tuan Rumah. Pekerja-pekerja yang tinggal di kuaters tersebut sebenarnya satu keluarga, Aku memasang telinga dengan baik, meraikan cerita orang-orang baru dalam hidup aku, Abang Remy salah seorang daripada mereka sebenarnya sudah bekerja di Ladang kelapa sawit lebih dari 20 tahun. Aku sangat berterima kasih dengan Abang Remy kerana mempelawa kami untuk menginap satu malam di kuaters.
Dulu aku tidak pernah mengambil tahu tentang pekerja ladang, tetapi setelah mendengar keluhan mereka, sedikit mengusik emosi aku. Keluhan gaji yang rendah sehingga keluhan mempunyai majikan yang sombong. Abang Remy dengan keluarga terpaksa bekerja di Ladang Kelapa Sawit kerana mereka tiada pilihan lain. Jika mereka pulang ke negara asal iaitu negara Timur, mereka akan sukar mendapat pekerjaan dan perlu mengeluarkan banyak dokumen untuk pulang ke negara asal. Menurut aku, kehidupan keluarga Abang Remy begitu sederhana dan masih mampu mendapatkan makanan harian walaupun gaji yang sedikit.
Tepat jam 10.00 pagi kami meneruskan perjalanan ke pantai Payang. Sebenarnya berat hati untuk meninggalkan keluarga abang Remy yang baik hati. Semoga kita berjumpa lagi Abang Remy!
Jarak perjalanan ke pantai payang dari kuaters memakan jarak 2KM dan kami hanya berjalan kaki untuk ke Pantai Payang, Lahad Datu. Pantai yang jauh dari bandar dan tersembunyi di sebalik ladang kelapa sawit.
Disediakan oleh,
Feklee Rosli