Masih ingatkah kalian akan saat kalian duduk bersimpuh, menanti penuh debar – melihat seorang lelaki, yang tenang dalam gusar, menerima akad sebuah pernikahan? Senyuman di bibir menguntum mekar, seiring seri inai di jari. Detik ijab dan kabul semestinya menjadi suatu momen yang paling indah untuk diabadikan dalam hati setiap insan bergelar isteri.
Fasa awal perkahwinan biasanya sinonim dengan istilah ‘bulan madu’. Segala-galanya indah. Sebagai seseorang yang baru bergelar ‘isteri’, alam perkahwinan tentunya dipenuhi dengan pelbagai impian dan harapan. Antara lain, impian untuk membahagiakan dan dibahagiakan, di samping dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.
Dalam usaha mengecap bahagia, setiap pasangan sering diingatkan dengan kepentingan memberi. Ya, untuk bahagia, setiap individu pasangan perlu terlebih dahulu bersedia untuk membahagiakan. Hal ini biasanya menjadi keazaman yang dipasak di dalam hati sebelum melangkah ke dunia kehidupan suami isteri. Malah, fasa bulan madu juga begitu mengasyikkan lantaran tingginya sifat memberi yang ada dalam diri setiap pasangan.
Imbaslah kembali para isteri sekalian. Suatu ketika, kopi dibancuh untuk suami dengan penuh kasih sayang, walau diri sendiri mungkin tidak minum kopi. Setiap hari memasak lauk-pauk kegemaran suami tanpa peduli sangat dengan kegemaran sendiri. Gosok baju suami sambil tersenyum. Berhias untuk suami dengan jiwa penuh kecintaan. Menanti suami pulang dari kerja dengan senyuman manis. Maklumlah, kasihan suami penat keluar bekerja demi mencari rezeki untuk menyara keluarga yang baru dibina. Benar kan?
Suatu ketika, seorang isteri tidak kisah sangat tinggal di rumah kecil. Tidak menjadi masalah menonton TV kecil yang gemuk. Tiada ASTRO pun tidak mengapa. Tidak kisah berkereta kecil. Segalanya tidak kisah, kerana suatu ketika isteri itu berjiwa besar.
Namun, sedar tidak sedar, pejam celik, usia perkahwinan kian bertambah. Isi rumah juga bertambah. Sedar tidak sedar juga, hasrat di hati turut bertambah.
“Abang, tak nak ke tukar TV flat screen HD?’ ‘Abang, dapur kita ni sempit sangat lah…’ ‘Abang, kereta kita ni memang lah boleh guna lagi, tapi tengok jiran sebelah tu… dah tiga kali tukar bang!’ Tidak cukup dengan itu, senario ini turut menjadi realiti pada hari ini – ‘Abang ni, asyik kerja, kerja, kerja! Langsung tak ada masa untuk saya’ ‘Abang saya penatlah, nak kopi bancuhlah sendiri ya’ ‘Abang ni sampai bila saya nak kena gosok baju abang ha?”
Dalam usaha menggapai bahagia yang berkekalan, banyak pasangan yang kecundang di pertengahan jalan. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Benarlah, memberi itu suatu yang mudah diungkap, tetapi belum tentu mudah untuk dilaksanakan. Apa lagi untuk suatu usia perkahwinan yang panjang dan kian mencabar. Perkahwinan yang pelakunya adalah manusia yang punya fitrah nafsu. Nafsu yang kian hari kian meliar andai ia tidak dikemudi dengan baik.
Gambarannya, lihatlah apa yang berlaku dalam rumah tangga yang berantakan. Setelah melalui beberapa fasa keindahan, hubungan suami isteri mula bermasalah. Salah-menyalah menjadi lumrah. Anak-anak menjadi mangsa pertelingkahan. Rezeki yang dicari saban hari boleh diibaratkan seperti mengisi poket yang berlubang. Kebocoran wang di mana-mana. Suami naik berang, isteri pula tertekan. Kehidupan begini seterusnya hanya menjurus kepada kucar-kacirnya pembentukan sebuah organisasi keluarga. Apa dan di mana silapnya?
Sebagaimana yang kita sedia maklum, perkahwinan itu suatu transformasi kehidupan. Daripada seorang individu bujang kepada individu berpasangan. Daripada seorang menjadi dua, dan bercambah zuriat menjadi tiga, empat dan seterusnya. Perkahwinan juga suatu platform yang disediakan oleh agama untuk setiap individu merasa nikmat kasih sayang yang unik, terutamanya dalam konteks cinta merpati dua sejoli.
Namun, harus diingat, perkahwinan juga merupakan suatu medan amanah dan tanggungjawab. Banyak sungguh masyarakat hari ini yang memberitahu akal dan hati akan kemanisan alam perkahwinan. Sedihnya, banyak juga dalam kalangan mereka ini yang terlupa akan perlunya kesediaan, kematangan berfikir dan bertindak dalam mengharungi cabaran perkahwinan. Ramai yang tenggelam dalam manisnya pelukan, ciuman serta kata-kata romantis, dan yang menyedihkan ialah apabila terdapat lebih ramai lagi yang karam dalam gunung amanah yang terbahu!
Berbicara daripada sudut pandang seorang isteri, ayuh muhasabah diri. Sejak dari awal perkahwinan sehingga ke hari ini, adakah kita menjadi pasangan yang bertambah baik dari hari ke hari?
Adakah kita seorang teman yang sentiasa menerima seadanya atau semakin hari kita semakin meminta-minta?
Adakah kita seorang isteri yang berusaha untuk memberi sehabis baik atau kita isteri yang mengharap dan sentiasa mengharap?
Para isteri sekalian, mari kita buat sedikit penilaian diri. Jom kita sama-sama ambil pen dan kertas. Di atas kertas tersebut, tuliskan sebanyak mungkin perkara yang kita idam-idamkan selama ini. Ya, coretlah seberapa banyak impian yang telah lama terpendam, atau yang baru sahaja muncul di kotak minda dan hati. Ambil masa untuk terjemahkan kehendak-kehendak itu ke dalam bentuk tulisan. Tulis sahaja semuanya. Ya, apa sahaja yang kalian inginkan dalam hidup ini, baik dari sudut material mahupun dari sudut intangible ataupun sesuatu yang bersifat abstrak. Biar jelas dan nyata.
Andai telah selesai coretan tersebut, mari kita sama-sama label impian-impian tadi – antara HAK dan KEHENDAK. Lihatlah hasilnya. Andai yang hak melebihi kehendak, teruslah berikhtiar dengan usaha, doa dan tawakal. Andai kehendak melebihi yang hak, diamlah seketika dan ayuh beristighfar. Kenapa? Salahkah memasang angan-angan dan berkehendak?
Puan-puan sekalian, berkehendak itu tidak salah. Namun, biarlah kehendak itu dilapisi iman dan takwa, bukan hanya didasari nafsu semata-mata. Salurkanlah setiap kehendak itu menjadi ibadah di jalan Allah. Biarlah setiap keinginan kita mendapat redha dan dikira sebagai timbangan kanan di akhirat nanti, bukan menjadikan kita insan yang rugi.
Para isteri sekalian, kadang-kadang kita hairan dengan permintaan-permintaan kita yang tidak dikabulkan. Kita pelik dengan sesetengah orang yang malas tetapi kaya. Kita gusar dengan kesempitan hidup dan cabaran-cabaran yang menimpa. Mari kita sama-sama cermin diri kita. Apakah kecintaan kita yang sebenar? Adakah suami, anak-anak serta harta telah mendapat tempat di hati kita mendahului Allah dan rasul?
Dalam kita mengimpikan kehidupan rumah tangga yang ideal dan cantik luaran dalamannya, ayuh bertanya diri sejauh mana kita mensyukuri setiap nikmat yang diberikan kepada kita. Atau jiwa kita ini telah berdebu dilitupi titik-titik al-wahnu (kecintaan terhadap dunia)? Adakah nafsu kita terbelenggu dengan kehendak-kehendak yang tidak mendekatkan diri dengan Allah? Dan sejauh mana hasrat-hasrat kita tidak membebankan malah memudahkan para suami?
Percayalah wahai isteri sekalian. Allah s.w.t itu amat suka kepada mereka yang tahu menghargai dan mensyukuri setiap pemberianNya, baik yang datang dalam bentuk nikmat mahupun ujian. Allah itu amat suka kepada hambaNya yang menyalurkan setiap kehendak mereka ke jalanNya. Dia suka akan isteri-isteri yang memelihara hak dan tanggungjawab mereka. Malah telah Dia janjikan untuk mengganjari setiap isteri yang sentiasa menyenangkan para suami dalam perjuangan mencari reda Allah s.w.t.
Marilah kita ambil ibrah di sebalik kisah bonda-bonda kita terdahulu. Siti Khadijah, misalnya. Beliau merupakan seorang tokoh hartawan yang dermawan yang patut dicontohi. Mengahwini baginda Nabi S.A.W. yang tidak berharta dan membelanjakan seluruh hartanya di jalan Allah. Betapa Siti Khadijah mengajar kita untuk bijak menguruskan nafsu. Harta yang dikurniakan bukanlah untuk memuas nafsu sendiri, namun untuk diinfak ke jalan yang Allah sukai.
Perniagaan Khadijah bertambah maju dari hari ke hari. Namun tidaklah pula Khadijah bersifat tamak dan kedekut. Tidak juga Khadijah merendah-rendahkan baginda Nabi s.a.w yang membantu perniagaannya sedang kita tahu Nabi tidak punya apa-apa. Betapa rezeki itu akan menyusul setiap jiwa yang bersih dan tidak dirantai dengan nafsu dunia.
Anakanda Nabi S.A.W, Fatimah juga merupakan seorang suri teladan yang hebat. Bersetuju untuk dinikahi Saidina Ali yang tidak punya apa-apa, Fatimah malah setia membantu suami walau dalam kepenatan. Andai kita di tempat Fatimah, tentu nafsu meronta-ronta tidak senang duduk. Melalui kisah Fatimah, kita diajar untuk menggantikan keluhan dan rungutan dengan berzikir kepada Allah. Kepenatan berganti kemudahan. Kerutan bertukar senyuman. Benarlah, rezeki itu adalah daripada Allah untuk mereka yang bijak mengemudi hati.
Para isteri, renungkanlah. Pada hari ini, ada isteri yang sanggup berhabisan wang membeli alat solek, beg tangan dan kasut berjenama, sedangkan ada anak-anak yatim yang masih tiada pakaian sekolah untuk disarung. Ada ibu-ibu yang berbelanja menukar perabot lama yang masih boleh digunakan, sedangkan mereka jarang menyumbang untuk membaik pulih surau dan masjid.
Ada juga para isteri yang mengumpul wang untuk membeli-belah di Vietnam, China dan London, sebelum wang itu dikumpul untuk menunaikan kewajipan haji dan umrah. Ramai juga yang memilih untuk membayar segala kemudahan dan hiburan, tanpa meletakkan membayar guru Al-Quran sebagai prioriti.
Jadi, mari kita hijab runtunan nafsu dengan pakaian takwa. Sebelum hati terdetik meminta, adalah lebih baik kita belajar menerima dan mensyukuri. Sebelum hati terdetik untuk merungut, ada baiknya kita asuh diri untuk menghargai dan tidak mengharapkan penghargaan. Ikhlas itu tidak mustahil andai matlamatnya Allah s.w.t. Reda itu tidak mustahil andai tujuannya Allah s.w.t. Nafsu itu sentiasa ada ruang untuk ditarbiyah. Cuma tinggal kita yang membuat pilihan!
Para isteri sekalian, ingatlah, jika ditelusuri dengan mata hati yang tinggi nilai iman dan takwa, rezeki itu ada di pelbagai sudut kehidupan. Apabila setiap perkara dilihat daripada sisi positif, bukankah bahagia itu suatu bentuk rezeki yang sungguh bermakna? Bukankah merasa cukup itu suatu rezeki yang mendamaikan jiwa? Apa yang ditunggu lagi wahai isteri yang mengejar bahagia?
Jemputlah diri untuk menjadi seorang yang solehah dalam usaha menjemput rezeki Allah s.w.t. Ingatlah isteri mukminah, rezeki yang kita cari bukanlah hanya kekayaan wang ringgit dan material semata-mata, malah sesuatu yang lebih dalam maknanya. Rezeki yang lebih patut kita harapkan tentulah rezeki keihklasan dalam berkasih sayang, qanaah dalam mencari dunia dan kepuasan dalam beribadat. Rasai lah kemanisannya lantaran itulah seindah-indah rezeki!
Disediakan oleh,
Anis Shaari