Dia berdiri paling jauh dari yang lain. Buku Syeikh Ali al-Tantawi yang sedang dibacanya tadi ketika menunggu kehadiran semua orang diletakkan di atas kerusi.

Senyum. Itu sahaja yang mampu dia lontarkan ketika berada dalam keramaian. Gurau senda teman-teman di sekelilingnya memberi damai. Sekurang-kurangnya bersama mereka ketika itu menimbulkan lagi kasih-sayang. Meskipun dia tidak pernah menyuarakan perasaannya pada mereka. Perasaan sayang yang hadir dari hati seorang manusia pendiam sepertinya hanya mampu dipendam. Simpan sahaja dalam-dalam.

Sayang seorang teman kepada temannya.

‘’Hitam putih’’ kata seorang senior apabila dia diusik oleh seorang lagi senior yang lain.
Usikan kerana dia selalu menulis puisi di WhatsApp Story dengan berlatarbelakangkan gambar berwarna hitam putih. Walaupun dia tidak bersetuju penulisannya itu ialah puisi, dia akur sahaja apabila digelar mereka sebagai seorang yang suka menulis puisi. Apa sahaja gelaran yang diberi mereka, harapannya hanya satu iaitu moga-moga puisi itu diserap mesejnya. Dibiarkan mengalir ke seAtiap ruang hidup mereka.

Entah, dia begitu cinta pada gambar yang berwarna hitam putih. Pernah seorang teman rapatnya bertanya ‘’Kenapa kau suka hitam putihkan gambar apabila post story?’’ ketika mereka sedang menjamu selera di kafe kampus.

Kerana gambar yang dihitam putihkan membawa pesanan sederhana. Baginya gambar itu seperti menyamaratakan semua orang. Yang berkulit putih, sawo matang, atau sedikit gelap semuanya akan kelihatan sama. Yang berbaju warna terang, cerah, mahupun kusam sahaja pakaiannya semuanya sama. Yang dirasakan cantik, hensem atau biasa-biasa sahaja semuanya juga kelihatan sama.

Gambar hitam putih menunjukkan kesederhanaan yang hadir dari kesedaran bahawa semua orang itu sama. Tidak ada yang lebih daripada yang lain.

Dia sukakan kesederhanaan, dan dia ingin kesederhanaan itu menjadi sebahagian daripada pembentukan hati teman-temannya pula.

Itulah jawapan yang dipendam lagi di hatinya. Tidak disuarakan.

‘’Sebab aku tidak mahu orang fokus pada gambar. Aku mahu perhatian mereka tertumpah pada penulisanku, bukan pada gambar yang aku kongsi itu” jawabnya pada teman.

Keadaan kafe tidak riuh. Mereka duduk di meja bahagian luar. Saling menghadap. Melihat pula orang yang lalu lalang di ruang pejalan kaki arah bertentangan. Langit telah mendung. Begitulah keadaan langit pada waktu-waktu begini.

‘Segala yang kau buat pasti bersebab’’ balas temannya semula.

Sudah dia lupa sejak bila kecintaannya kepada gambar hitam putih mula muncul. Cuma dia berharap gambar yang dihitam putihkan tidak akan menenggelamkan penulisannya. Lantas apabila teman-temannya melihat WhatsApp Storynya, dapatlah perhatian mereka teralih pada penulisan di atas gambar. Bukan gambar hitam putih yang sengaja dihitam putihkan sebagai latar belakang.

Gambar itu semua orang sudah ada. Semua orang pula akan berkongsi di WhatsApp Story masing-masing. Ya. Kerana kebiasannya dia akan mula berkongsi di WhatsApp Story apabila tamat sesebuah program atau adanya makan-makan bersama teman-teman sama persatuan dan kelas. Jadi gambar yang akan dikongsinya akan dikongsi pula oleh mereka.
Sebab itu dia fikir bahawa gambar yang dikongsinya perlu ada nilai yang berbeza.

Nilai yang membawa imejnya. Hitam putih, hanya itu imej yang dapat dia cipta.

Gambar yang sudah dimiliki semua orang buat apa lagi kita harap ia akan ditenung lagi dan lagi? Maka tenunglah pada penulisan-penulisannya. Tumpahkan perhatian di situ. Pesanan yang perlu dirungkaikan ada pada susunan aksara, bukan pada senyuman dari wajah-wajah dalam sekeping gambar.

Dia seorang perempuan, tetapi dia tidak seperti perempuan yang lain. Kadang-kadang dia sendiri ragu-ragu adakah dirinya tidak punya perasaan. Tidak pernah dia pilih-pilih gambar, mana yang wajahnya paling cantik dan elok maka itulah yang akan dikongsi di WhatsApp Storynya. Tidak. Dia kongsi sahaja mana-mana gambar selagi semua orang dalam gambar itu terpelihara auratnya.

Gambar itu di akhirnya memang akan dihitam putihkan, maka yang dirasakan paling cantik tadi akan kelihatan sama sahaja dengan yang lain. Malahan ketika dia hitam putihkan gambar itu lagi hatinya sudah mula tunduk. Redup.

Memaknai erti kesederhanaan. 


Itulah yang dia cuba semai dalam dirinya terlebih dahulu. Terlalu cinta dia pada kesederhanaan. Telah jatuh hati pula dia pada segala hal yang sederhana.

Sesederhana mungkin dia mahu hidup di atas bumi ini.

Sederhana tetapi bukan bermaksud kecil cita-cita namun sederhana kerana dia tahu hatinya perlu juga terasa redup. Redup kerana siap menerima semua orang itu sama. Dia tidak lebih daripada mereka mereka pula tidak lebih daripadanya.

Sungguh yang paling mulia itu ialah yang paling tinggi taqwanya. Itu yang dinilai Pencipta.

Dari gambar hitam putih, beribu pesanan akan terungkai hanya oleh hati yang merenung dan memikirkan pelajaran.

Adakah engkau itu seperti dia yang mencintai gambar hitam putih?

‘’Dia yang mencintai gambar hitam putih,
Sarat dengan pesanan,
Kesederhanaan’’

                                                 


Umi Khairunnisa binti Mohd Ali, seorang pelajar jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seorang yang suka membaca, merenung, menulis dan berkongsi. Penulisannya selalu berkisarkan pesanan-pesanan kehidupan. Mengagumi Hamka tetapi masih banyak karyanya yang belum dibaca.Menulis baginya ialah satu pekerjaan hati. Hati yang berfikir. Fikiran hati itu pula menuntut untuk disebarluaskan, bukan disimpan buat dirinya seorang. Dia juga aktif menulis di Facebook peribadinya, Umi Khairunnisa.

 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.