Sun Tzu Art of War atau Seni dalam Peperangan, itulah judulnya. Satu buku hasil terjemahan daripada sebuah karya yang sungguh terkenal. Sebut sahaja judul buku ini, pasti ramai yang sudah membaca serta menekuninya.
Pertama kali mengetahui tentang karya ini ketika di bangku sekolah menengah lagi, tetapi pada masa itu hanya sepintas lalu sahaja. Hanya tahu judulnya tetapi kurang tahu apa isi kandungannya. Di dalam fikiran ketika itu, pasti buku itu berkaitan perang kerana ada perkataan “war” yang tertera pada judul tersebut.
Jangkaan tidak meleset sedikit pun, memang benar buku ini tertumpu berkaitan seni dan strategi dalam peperangan. Malah, Sun Tzu yang dikatakan dan dipercayai sebagai pengarang naskah asal ini juga merupakan seorang panglima perang yang menjadi pengemudi utama di dalam angkatan tenteranya.
Walaupun sehingga kini masih terdapat beberapa perbahasan, bilakah sebenarnya naskah asal ini dikarang? Adakah benar dikarang oleh Sun Tzu atau dikenali juga sebagai Sun Wu ini? tetapi yang jelas, karya ini sungguh besar jasanya dan sangat berpengaruh.
Sun Tzu Art of War yang berasal daripada salah satu daripada tujuh kitab klasik ketenteraan China ini secara tidak langsung menjadi rujukan atau dikatakan sebagai bahan bacaan pegawai-pegawai ketenteraan di zaman imperial kerana falsafah ataupun konsep dalam strategi peperangan yang dibawa oleh Sun Tzu ini sungguh unik dan berbeza jika dibandingkan dengan strategi peperangan yang lainnya.
Menurut Sun Tzu, kemenangan terbaik adalah suatu kemenangan tanpa berperang iaitu dengan memenangi perang tanpa terjadinya pertempuran dengan cara mempertahankan penguasaan ke atas musuh dalam situasi tegang daripada perang itu sendiri.
“ If you know the enemy and yourself, you need not feer the result of a hundred battles”
“ In the midst off chaos, there is also opportunity”
Sun Tzu sangat menekankan peri pentingnya penyusunan strategi dalam tujuan mencapai kemenangan. Pelbagai taktik perlu diguna pakai demi mencapai matlamat yang hendak dituju kerana kemenangan dalam peperangan itu adalah keutamaan dan bukan tentang berapa lama masa yang diambil di dalam sesuatu medan pertempuran.
“Strategy without tactics is the slowest route to victory, Tactics without strategy is the noise before defeat”
Jadi, strategi dan taktik itu saling berpasangan dan harus juga saling lengkap melengkapi antara satu sama lain jika hendak mendatangkan hasil.
Walaupun buku ini hanya 13 bab sahaja dan terlihat ringkas. Namun, hakikatnya jika diamanati dan diperhalusi setiap bab, isi kandungan buku ini dapat memandu kearah kejayaan bukan sahaja dalam peperangan, bahkan juga daripada pelbagai sudut. Antaranya sudut perancangan, taktik, tenaga dan keupayaan, pengetahuan tentang titik lemah dan titik kuat dan tentang cara pengendaliannya. Tidak hairan jika ahli politik mahupun ahli perniagaan menggunakan idealogi yang dibawa oleh Sun Tzu ini.
Art of war ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan pelbagai versi yang terdapat di pasaran. Cubalah untuk membacanya dan teroka setiap bait-bait kata yang ringkas tetapi padat kerana di situlah terselit rahsia malah terselit juga motivasi untuk menjadi pemimpin yang bijak, yang bukan sahaja mempunyai ilmu, tetapi memanfaatkan ilmu-ilmu tersebut pada waktu yang tepat dan bersesuaian.
Disediakan oleh,
Hafizah Munir