Setiap orang pasti mempunyai pengalaman hidup merangkumi pelbagai momen-momen seperti kisah sedih, terharu, menakjubkan, memalukan dan sebagainya. Ketika usia masih setahun jagung dan masih mentah, kita masih tidak banyak pengalaman berbanding mereka yang sudah menjejak usia dewasa.
Ketika usia yang masih muda, kita cenderung untuk membuat keputusan secara membuta tuli tanpa memikirkan kesan sampingan daripada tindakan tersebut. Tetapi tanpa keputusan yang membuta tuli tersebut, kita tidak akan belajar sesuatu daripada sebuah kesilapan. Terkadang keputusan yang kita tersilap pilih ketika kita masih usia yang mentah itulah yang akan mendewasakan kita di kemudian hari. Kita akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pada masa akan datang kerana di minda kita sudah tersimpan kesilapan lama yang tidak ingin kita ulanginya lagi.
Kadang-kadang pilihan kita itu mungkin salah pada ketika itu, tetapi mungkin sahaja hasil daripada kesilapan kita membuat keputusan menjadi pemangkin untuk kita mendewasakan diri dan meneruskan perjuangan menuju ke arah tujuan dan impian yang kita capai. Mungkin sahaja kejayaan yang tidak kesampaian berpunca daripada kesilapan kita akan mendorong kita ke arah kejayaan dan impian yang lain selagi mana kita tidak berputus asa dalam mencari erti sebuah perjuangan.
Andai kita tersilap memilih untuk tidak meneruskan pengajian, memilih untuk berhenti kerja kerana ingin memulakan bisnes yang tidak pasti hala tujunya atau tidak memilih untuk berkahwin dengan pilihan hati kita, itu tidak mengapa, kerana perkara yang kita anggap baik untuk kita pada masa sekarang, tidak semestinya baik untuk masa hadapan kita.
Mungkin sahaja keputusan yang kita anggap salah pada ketika itu akan bertukar menjadi sebuah hikmah yang kita tidak sedari pada kemudian hari. Pilihan yang kita buat itu yang akan menjadi sebuah pengalaman yang berguna dalam hidup kita. Kita selalu dengar istilah orang tua lebih dahulu makan garam daripada kita. Kita selalu dinasihatkan untuk meminta pendapat orang yang lebih tua daripada kita ketika membuat sebarang keputusan kerana mereka lebih berpengalaman daripada kita.
Apabila kita dengar sahaja nasihat daripada mereka, kita begitu terpegun dengan nasihat yang diberi. Mungkin sahaja mereka sudah melalui apa yang kita lalui dan tidak ingin kita berada di situasi yang sama seperti yang dilalui oleh mereka pada suatu ketika dahulu. Kesilapan yang lepas boleh dipandang sebagai ujian dan kesilapan yang dilakukan itu boleh juga dipandang sebagai sebuah pengalaman, bergantung kepada cara kita memandangnya.
Orang optimis melihat botol air yang berisi separuh, sebagai separuh penuh manakala orang pesimis, melihatnya sebagai separuh kosong. Orang optimis mencari hikmah di sebalik kesilapan dan masalah yang dihadapi. Mereka tidak akan kecewa dengan kesilapan yang dilakukan kerana ia akan bertukar menjadi sebuah pengalaman berguna untuk menghadapi cabaran mendatang. Orang yang pesimis memandangkan kesilapan yang dilakukan sebagai ujian dan sebuah kegagalan yang membantutkan perkembangan diri. Kesimpulannya, cukup optimiskah kita atau masih pesimiskah kita?
Disediakan oleh: Nabilah Abd Rahman