Semenjak wabak COVID-19 atau Virus Korona menular dan merebak dari induknya, Wuhan, di China ke lebih 80 buah negara, warganegara dan netizen menjadi begitu panik dan risau oleh kerana data penghidap wabak ini kian bertambah dan sebahagian mereka meninggal dunia. Malaysia dengan 55 kes (setakat semalam) cukup memberikan cemas kepada rakyat. Kecemasan ini ditambah dengan berita sebuah bangunan pejabat dikuarantinkan, berita-berita luar negara, dan berita palsu yang tular semakin hari semakin menjadi-jadi. Hal ini juga memberikan kesan negatif kepada berbagai industri termasuklah industri buku.

Mengapa?

Beberapa hari yang lepas, kita dimaklumkan bahawa Pesta Buku Antarabangsa London dibatalkan bagi tahun ini. Pesta Buku Antarabangsa Taipei ditangguhkan ke Mei 2020. Pesta Buku Antarabangsa Bangkok dibatalkan. Pesta Buku Antarabangsa Abu Dhabi dibatalkan. Pesta Buku Antarabangsa Paris dibatalkan. Kesemua ini adalah terpancar daripada kerisauan terhadap wabak COVID-19.

Perkara ini menjadikan pihak MABOPA (Malaysian Book Publishers Association) membuat mesyuarat penting buat para pempamer bagi menentukan halatuju PBAKL 2020 (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur).

ISU

Ketika mesyuarat antara ahli MABOPA dijalankan pada hari ini pelbagai lontaran isu dikeluarkan oleh pihak pempamer berkenaan kesan COVID-19 pada industri buku kebelakangan ini.

Menurut laporan verbal mesyuarat oleh wakil Karangkraf bagi jualan lambak pada awal tahun 2020 yang dilaksanakan oleh Karangkraf, anggaran jumlah jualannya menurun sebanyak 30% dan tidak mencapai jualan yang dijangkakan. Penurunan hasil jualan ini adalah kekurangan pengunjung yang hadir atas alasan panik terhadap wabak COVID-19 terutamanya.

Pengurus Sasbadi memaklumkan, berdasarkan pengurusan risiko mereka, bahawa mereka mengutamakan staf mereka dengan memberikan waktu bekerja berkala bagi mengurangkan risiko wabak ini. Sekiranya wabak ini merebak pada staf mereka, ia akan membantutkan operasi syarikat dan mendatangkan kerugian.

Laporan verbal dari Putrajaya mengatakan bahawa bekalan bas untuk kemudahan pelajar sekolah untuk ke PBAKL dihentikan dan paniknya sehingga mereka berjaga-jaga dengan tidak melakukan kontak kulit-kulit termasuklah bersalam.

Salah sebuah negara tamu, Kemboja, tidak menghantarkan wakil ke Malaysia kerana mengelakkan kos risiko wabak ini oleh kerana mereka tidak bersedia, secara kewangannya yang tidak mencukupi, menanggung sekiranya wabak tersebut merebak kepada warganya.

DISKUSI

Setelah isu-isu disuarakan oleh beberapa ahli MABOPA, maka perbincangan mesyuarat menyenaraikan tiga ruang pilihan iaitu:

1) Meneruskan PBAKL seperti biasa.
2) Menangguhkan PBAKL ke waktu tertentu.
3) Membatalkan PBAKL.

Berkenaan dengan pilihan pertama. Terdapat isu diutarakan yang menyangkal pilihan pertama ini.

Jika diteruskan PBAKL 2020 ini, sebarang kemungkinan adalah berisiko tinggi buat para pempamer. Seperti contoh jika pada hari pertama PBAKL 2020 berlangsung dan didapati kes COVID-19 berlaku pada hari tersebut, PBAKL 2020 berkemungkinan tidak dapat diteruskan pada hari seterusnya dan dikuarantinkan. Di samping itu, sekiranya jumlah pengunjung adalah sedikit oleh kerana kerisauan dan panik terhadap wabak ini tentunya memberikan kesan kepada penjualan buku pempamer. Perkara ini mengakibatkan kerugian yang besar buat pempamer dengan menanggung kos operasi PBAKL.

Dengan itu, secara kolektifnya, ramai ahli MABOPA tidak bersetuju untuk meneruskan PBAKL ini atas alasan risiko kos operasi yang lebih memudaratkan.

Berdasarkan pilihan kedua pula. Terdapat hujah diutarakan untuk mendokong pilihan ini.

HUKM menasihati bahawa PBAKL perlu ditangguhkan pada jangka waktu yang mampu terkawal. Di samping itu, salah seorang seorang ahli MABOPA telah melakukan undian di atas talian kepada umum melalui wadah Facebook dan Instagram dan mendapati hasilnya 70% mencadangkan penangguhan PBAKL.

Pengerusi majlis memberikan usul cadangan bahawa sekiranya penangguhan dipersetujui oleh ahli MABOPA, maka cadangan beliau adalah bertarikhkan awal Oktober, atas dasar hemat pengurus acara dan keberadaan ruang di PWTC.

Perkara ini akan disentuh lagi selepas ini.

Berkenaan pilihan ketiga, pembatalan, adalah risiko yang amat memudaratkan para pempamer terutamanya dalam kos operasi, dan penerbitan buku dan mengakibatkan kerugian besar.

Terdapat ahli MABOPA mencadangkan pembatalan PBAKL atas kerana tarikh cadangan penangguhan PBAKL adalah lewat. Hal ini beralasankan tarikh diberikan sudah hampir hujung tahun dan pelajar sekolah sudah hampir kepada peperiksaan besar.

Walau bagaimanapun, terdapat juga cadangan dengan menangguhkan PBAKL ke tahun 2021 dan dilakukan sekaligus. Namun cadangan ini juga ada hujah balas atas faktor pengaruh kewangan dan perkembangan penerbitan buku.

Perkara ini tidak dipersetujukan oleh kebanyakan ahli MABOPA.

KATA PUTUS

Ketiga-tiga senarai ini kemudiannya ditimbang tara dalam mesyuarat dan akhirnya majoriti menyokong kepada penangguhan. Namun adakah penangguhan adalah tetap pada bulan Oktober?

Walaupun terdapat desas-desus secara privasi dalam mesyuarat mengusulkan bulan lain, secara jaharnya majoriti memilih bulan Oktober sebagai bulan cadangan penangguhan. Terdapat juga usul untuk bulan Julai tetapi pengerusi majlis membalas dengan isu kekosongan dewan hanyalah pada dewan di seberang sungai (Dewan Tun Razak 1 dan 2). Terdapat juga bulan Ogos diusulkan tetapi perlu ditimbang tara juga. Walau bagaimanapun, cadangan bagi pihak MABOPA adalah pada awal Oktober ini memerlukan persetujuan pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), oleh kerana mereka adalah penentu keputusan.

Secara kebetulannya pihak MBKM, secara serentak bermesyuarat di tempat lain, secara dasarnya bersetuju bahawa PBAKL ditangguhkan namun tidak dinyatakan tarikh baharu.

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, fenomena COVID-19 memberikan impak kepada kehadiran pengunjung ke PBAKL dan mengakibatkan kerugian. Kekhuatiran pengunjung bukanlah pada wabak itu sendiri tetapi pada panik yang berlaku berdasarkan berita-berita di media sosial, walaupun jumlah kes setakat ini hanyalah 55. Kesan panik, salah satunya, mempengaruhi halatuju PBAKL 2020.

Pihak MABOPA berpakat mengusulkan cadangan untuk menangguhkan PBAKL ke awal Oktober. Hal ini selari, secara dasarnya, keputusan MBKM walaupun tidak lagi menyatakan tarikh.

Walau apapun, doa dan tawakal kepada Allah perlulah dipergiat supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Moga COVID-19 menjadi surut dan tidak lagi mengancam lagi kerisauan rakyat. Jaga kesihatan untuk kebaikan kita bersama.

 

 

Oleh: Fhadrul Irwan, Felo Jejak Tarbiah, 6 Mac 2020.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.