Kita sudah pun memasuki bulan Rabiulawal untuk tahun 1444 Hijrah. Bulan Rabiulawal biasanya dikenang sebagai bulan yang mana junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dilahirkan dan juga lebih dikenali sebagai Maulidur Rasul. Pada bulan yang sama juga, Rasulullah SAW kembali menemui Penciptanya. Perginya Rasulullah SAW meninggalkan kita tidaklah tanpa sebarang panduan yang boleh dibuat bekalan untuk kita meneruskan kehidupan beragama. Seperti mana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW sendiri dalam khutbah semasa peristiwa Haji Perpisahan:

… Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan sunnahku…

Maka, eloklah juga jika kita dapat menjadikan bulan Rabiulawal ini sebagai bulan untuk kita kenang dan belajar dengan lebih banyak mengenai Rasulullah SAW untuk menambah rasa cinta kepada baginda. Pada masa sama, kita juga perlu mengerti letak duduk sebenar rasa cinta kepada sosok istimewa ini agar tidak terbabas ke daerah kebatilan. Atas semangat tersebut, Jabatan Mufti Negeri Perlis menganjurkan Forum Zikra Al-Rasul: Kasih Rasul Antara Kebenaran & Pembohongan yang berlangsung di Kangar baru-baru ini. Para panel telah mengupas topik tersebut dengan pelbagai huraian yang bermanfaat dan boleh dijadikan pedoman.

Cinta ialah satu perasaan yang Allah wujudkan dalam diri makhlukNya. Atas dasar rasa cinta, pelbagai perkara bisa direalisasikan, meski perkara itu kelihatan sukar atau mustahil untuk terhasil. Malah, cinta menjadi ibadah hati apabila rasa cinta itu diletakkan kepada yang wajib untuk dicintai. Cinta kepada Rasulullah SAW ialah satu perasaan yang wajib ada dalam diri setiap Muslim. Namun, rasa cinta tersebut boleh bertukar menjadi satu kesyirikan jika kita salah memposisikan rasa cinta tersebut dengan mendahulukan cinta kepada Rasulullah SAW melebihi cinta kepada Allah. Apatah lagi jika kita meletakkan hak ketuhanan Allah kepada Rasulullah SAW, meskipun Rasulullah SAW itu sendiri amat dicintai oleh Allah. Setinggi mana rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW, kecintaan yang paling utama tetaplah kepada Allah. Tidak peliklah jika syirik cinta ialah syirik yang mudah untuk berlaku. Oleh sebab cinta, kita cenderung untuk bersikap melampau dan meletakkan perasaan tersebut di tempat yang tidak betul, lalu memberi impak kepada aspek akidah. Oleh sebab cinta yang tidak betul caranya juga, banyak kebatilan terjadi atau sengaja diada-adakan oleh golongan manusia yang sudah terbabas dalam mencintai sosok istimewa tersebut.

Text

Description automatically generated with medium confidence

Pembohongan yang diletakkan atas nama Rasulullah SAW tidak akan sama sekali serupa dengan pembohongan yang diletakkan atas nama manusia lain. Hal ini kerana, Rasulullah SAW sendiri telah memberi ancaman yang dahsyat kepada manusia yang mendakwa sesuatu perkara itu datang daripada baginda walhal tidak langsung dilakukan, disebut, atau diakui oleh baginda.

“Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” – HR Al-Bukhari (110)

Malangnya, ada golongan manusia yang menyampaikan apa yang didakwa sebagai hadis Rasulullah SAW itu ialah mereka yang pada pangkal namanya punya gelaran-gelaran tertentu yang menampakkan mereka ialah ahli dalam bidang ilmu agama. Lebih malang lagi, golongan begini tetap punya pengikut yang bermati-matian mempertahankan mereka. Dengan gelaran-gelaran yang biasa dikaitkan dengan manusia alim, ia mengaburi mata, akal, dan hati manusia untuk mudah-mudah menerima apa-apa sahaja yang keluar dari mulut mereka. Amalan mengarut terus diamalkan oleh sebab manusia sudah tidak peka dengan hadis Rasulullah SAW dan tidak juga mempersoalkan apa yang biasa diamalkan dalam masyarakat. Manusia hanya menurut tanpa mengetahui apa hujah dan dalilnya. Lawanlah semua kekarutan dengan kebenaran. Sebagai Muslim yang cinta kepada Rasulullah SAW, berhati-hatilah untuk menerima apa-apa sahaja yang didakwa datang daripada baginda selagi belum dikemukakan dari mana sumber dalilnya.

Adakah mereka tidak punya rasa cinta kepada Rasulullah SAW?

Sukar untuk menjawab soalan tersebut secara ringkas tanpa memahami motivasi di sebalik pembohongan yang berlaku. Kita harus akui, selain sifat kemanusiaan Rasulullah SAW sebagai seorang manusia, baginda juga melalui perjalanan kerasulannya yang diisi dengan pengalaman yang tidak akan dilalui oleh mana-mana manusia. 

Mukjizat yang Allah kurniakan khas kepada baginda ialah keistimewaan yang membantu mendukung kebenaran yang baginda bawa dan melemahkan musuh yang sentiasa meragui kebenaran tersebut. Rasulullah SAW ialah seorang manusia yang dilantik oleh Allah untuk menjadi seorang rasul yang menyampaikan wahyu bukan sahaja kepada golongan manusia, malah juga kepada golongan jin. Al-Quran dan peristiwa Israk dan Mikraj juga ialah antara mukjizat yang Rasulullah SAW perolehi dan setiap Muslim harus meyakini kebenarannya.

Dari satu sudut, kita mengakui kedudukan tinggi Rasulullah SAW sebagai manusia yang terpilih dan istimewa di sisi Allah. Namun, dari sudut lain pula, ada golongan manusia yang mengambil kesempatan untuk menambahkan lagi jarak hubungan kita dengan Rasulullah SAW. Hanya disebabkan Rasulullah SAW dikurniakan pelbagai mukjizat, peranan baginda sebagai contoh ikutan kepada manusia lantas dipertikaikan. Maka, keluarlah kata-kata seperti, “Baginda itu nabi, kita ini manusia, mana sama. Apa nabi buat, kita tidak mampu untuk buat”. Golongan ini menabur benih-benih pemikiran yang bercanggah dengan tujuan Allah melantik seorang rasul dalam kalangan manusia. 

Tidak peliklah apabila muncul apa yang didakwa sebagai amalan agama tetapi bukan datang daripada Rasulullah SAW, melainkan ia sebenarnya datang daripada golongan manusia yang sudah terbabas ke daerah kebatilan. Golongan ini mendakwa amalan agama yang diajar oleh Rasulullah SAW tidak akan dapat diamalkan oleh manusia biasa kerana kemampuan yang tidak serupa. Maka, amalan agama terbahagi kepada versi yang Rasulullah SAW lakukan dan versi manusia lain lakukan. Di manakah logik Allah melantik seorang rasul dalam kalangan manusia jika kemudiannya amalan agama itu mudah-mudah sahaja diubah suai? 

Manusia mudah tertipu dengan kaedah yang salah dalam memahami sesuatu perkara. Hanya kerana rasa cinta kepada Rasulullah SAW yang tidak betul caranya, kita tidak meletakkan hak yang selayaknya baginda dapat daripada kita. Malah, kita juga meletakkan hak yang tidak selayaknya baginda dapat daripada kita. 

Sebagai Muslim yang cinta kepada Rasulullah SAW, tentulah kita mendambakan pertemuan dengan baginda. Sedalam mana kerinduan kita kepada baginda, kita mengakui yang baginda telah pun kembali menemui Penciptanya. Sebagai manusia biasa, mustahil baginda dapat kembali ke kehidupan di dunia untuk bertemu dengan mana-mana manusia, sekali pun manusia tersebut mendakwa punya rasa cinta yang mendalam kepada Rasulullah SAW. Mustahil baginda dapat berinteraksi dengan mana-mana manusia, sekali pun manusia tersebut amat memerlukan petunjuk langsung daripada Rasulullah SAW. 

Dakwaan yaqazah (melihat Rasulullah SAW secara jaga) atau selak tirai untuk bertanya kepada Rasulullah SAW yang dibuat oleh segolongan manusia tidak lain ialah dakwaan yang langsung tidak didasari oleh mana-mana dalil Al-Quran dan hadis, dan sudah tentulah terdedah dengan tipu daya syaitan yang sentiasa membisik dan mencetuskan pemikiran yang bukan-bukan.

Usaha menormalisasikan pembohongan atas nama Rasulullah SAW dilihat menjadi-jadi pada zaman sekarang dek kuasa tular media sosial. Kita hidup pada zaman yang mana pihak yang dapat menguasai persepsi dan emosi manusia, pihak itulah yang menang dan dapat menentukan apa yang dikira sebagai kebenaran. 

Cuba kita letak diri kita di posisi yang mendengar dua orang manusia yang sedang berceramah. Penceramah A seorang yang tegas, jarang senyum, ceramahnya hanya senada, serius sahaja suasananya. Penceramah B pula seorang yang mudah bergaul, suka bergurau, tidak pernah kering gusi mendengar ceramahnya. Cuba tanya pada diri, penceramah mana yang mungkin lebih menarik hati. Jika kita menjadikan nilai hiburan sebagai panduan, kita mungkin menjawab untuk mendengar daripada Penceramah B. Tetapi, setiap ayat yang keluar dari mulut Penceramah A berdasarkan dalil yang sahih, manakala jarang pula ayat yang keluar dari mulut Penceramah B datang dari mana-mana sumber yang sahih. Jika kita meletakkan nilai kebenaran sebagai panduan, kita mungkin mengubah jawapan. Analogi ini tidaklah menafikan wujudnya manusia yang berperwatakan seperti Penceramah A tetapi bercakap langsung tidak berdalil, atau manusia yang berperwatakan seperti Penceramah B tetapi lengkap dalil yang menyokong segala isi percakapannya. 

Apa yang mahu disampaikan ialah, dalam perjuangan kita mencari kebenaran, kita tidak dapat mengelak dari menempuh kepayahan. Tiada jalan mudah, apatah lagi untuk bermudah-mudahan, dalam mencari kebenaran. Moga Allah mengikat hati kita untuk kekal dalam kebenaran.

Islam adalah agama yang suci daripada sebarang perkara yang bertentangan dengan akal yang waras. Apa-apa yang disandarkan sebagai sebahagian daripada agama haruslah didasari dengan mana-mana dalil daripada Al-Quran atau hadis. Munculnya ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW menepis segala kepercayaan khurafat dan mentamadunkan cara hidup manusia. Kita berhutang jasa yang besar kepada Rasulullah SAW kerana menjadi contoh bagaimana untuk hidup beragama sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Paling kurang yang kita dapat lakukan ialah dengan menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan cara yang betul.


Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.

Disediakan oleh, 

Syamim Binti Hashim

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.