Soekarno, mantan presiden Indonesia, pernah berkata dalam salah satu pidatonya,

“Beri aku 1000 orang tua, nescaya akan kucabut Semeru daripada akarnya. Beri aku 10 pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia.” Begitu besarnya peranan pemuda dalam perjuangan memajukan anak bangsa.

Chicago Typewriter merupakan sebuah drama fiksi yang tampil memaparkan perjuangan sebuah organisasi yang bernama Joseon Youth Liberation Alliance yang dipelopori oleh anak-anak muda di Joseon dalam menentang penjajahan Jepun ketika itu.

Joseon Youth Liberation Alliance dipimpin oleh Seo Hwi Young, yang merahsiakan identiti dirinya sebagai pemimpin parti reformis itu dan menyamar sebagai seorang kaki perempuan yang menulis cerita-cerita konyol yang disiarkan di akhbar dengan menggunakan sebuah mesin taip. Realitinya, dia merupakan seorang penulis yang telah disenarai hitamkan oleh pihak penjajah pada ketika itu berikutan idea penulisannya yang menyeru kepada kemerdekaan Joseon.

Di sini, jelas terlihat betapa perjuangannya adalah benar-benar untuk membebaskan tanah air dan bukan semata-mata kerana populariti atau kemewahan malah sebaliknya. Seo Hwi Young sebenarnya ingin mengelakkan ahli organisasinya daripada diinterogasi oleh pihak Jepun yang sedang giat mengenalpasti ketua organisasi tersebut. Menurutnya, menipu mengenai perkara yang kita tahu adalah berbeza dengan menipu mengenai perkara yang benar-benar kita tidak tahu.

Ketika Seo Hwi Young ditanya oleh Shin Yul tentang mengapa dia masih menulis apabila namanya telah disenarai hitamkan walaupun isi penulisannya pun hanyalah cerita-cerita konyol, dia menjawab:

“Walaupun tanah airku telahpun mereka rampas, namun mereka tidak akan boleh merampas kata-kataku. Jika aku tidak boleh menulis, maka tiada bezanya aku dan juga hantu.”

Seo Hwi Young

Siapa sangka, cerita-cerita konyol yang disiarkan di dada akhbar itu sebenarnya mengandungi kod-kod tersembunyi misalnya rancangan serangan terhadap tentera Jepun yang disampaikan kepada ahli-ahli organisasi Joseon Youth Liberation Alliance. 

“Sebatang pena lebih gagah berbanding sebilah pisau. Sebuah mesin taip lebih hebat berbanding sepucuk pistol.”

Ryu Soo Hyun

Disebalik kepimpinannya, dia juga merupakan seorang sahabat kepada dua orang rakan baiknya yang juga merupakan tunjang kuat Joseon Youth Alliance, Shin Yul dan Ryu Soo Hyun. Kepimpinannya teruji apabila identiti Ryu Soo Hyun yang sedang menyamar sebagai seorang penyanyi kabaret wanita telah pun terbongkar dan beliau ternyata merupakan seorang penembak handal bagi organisasi Joseon Youth Alliance yang telah banyak menumbangkan pihak musuh.

Ryu Soo Hyun kemudiannya ditahan di rumah tali barut Jepun dan terus-menerus diseksa bagi mendapatkan nama ketua organisasi tersebut. Setia kepada perjuangan organisasi dan persahabatan terutamanya kepada Seo Hwi Young yang telah menyelamatkannya suatu ketika dahulu, Ryu Soo Hyun teguh menahan seksaan tersebut dan percaya bahawa penderitaannya bukanlah suatu perkara yang sia-sia.

Di sini jugalah berlaku peperangan antara perasaan dan fikiran Seo Hwi Young bermula, iaitu antara menyelamatkan wanita yang disayangi atau meneruskan perjuangan memerdekakan tanah air.

Saya sangat tersentuh dengan watak Seo Hwi Young yang sangat tegas di hadapan ahli organisasinya dengan menyatakan bahawa mereka akan tetap meneruskan operasi mereka dan tidak akan berpatah balik bagi menyelamatkan Ryu Soo Hyun. Baginya menyelamatkan seorang ahli bermakna mereka akan terdedah kepada pihak Jepun dan berbuat sedemikian seolah-olah mereka telah mengkhianati ahli organisasi yang telah terkorban dalam misi-misi sebelum ini. Mereka diamanahkan untuk meneruskan perjuangan organisasi hingga ke titisan darah yang terakhir.

Namun, pada malam hari, jauh daripada pandangan rakan-rakan seperjuangan, Seo Hwi Young hanyalah seorang lelaki dan sahabat, yang teresak-esak menangisi memori dan hati yang punah kerana mencintai seorang wanita dalam masa yang sama tanah air sendiri lebih memerlukan cinta itu.

“Jangan khuatir, perasaanku padamu telahpun aku selesaikan. Aku tidak boleh sesekali merisikokan kemerdekaan bangsa kita. Namun, berjanjilah padaku, jika kita dilahirkan semula di masa hadapan, di era Joseon yang telah pun bebas merdeka, kau akan memandangku sebagai seorang wanita.”

Ryu Soo Hyun

Selain itu, saya amat tertarik dengan drama ini yang mempamerkan identiti dan peranan wanita dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Ryu Soo Hyun merupakan seorang wanita yang membuktikan bahawa dirinya juga cekap dalam menembak dan bertarung dengan pihak lawan sehinggakan setiap misi yang disertainya mencapai kejayaan yang begitu hebat sekali. Masih terngiang-ngiang dalam kepala saya akan kata-kata Ryu Soo Hyun kepada Seo Hwi Young,

“Biarkan aku yang mengacukan pistol. Kau tetap perlu mengambil penamu.” –

Ryu Soo Hyun

Cerita ini sekaligus menyedarkan saya tentang kehebatan dan kecekalan jiwa-jiwa pejuang kemerdekaan tanah air kita yang semestinya telah banyak berkorban demi masa depan negara. Berpisah dengan keluarga tersayang, meninggalkan kampung halaman, melupakan cita-cita malahan bergadai nyawa demi kemerdekaan negara yang tercinta.

Menonton drama ini juga membuatkan saya terfikir sejenak dan merefleksi diri sendiri sama ada benarkah saya ini sudah cinta akan negara dan seandainya, saya ditakdirkan hidup pada zaman dahulu, di pihak manakah saya akan tergolong?

Adakah saya akan turut sama menyertai perjuangan anak bangsa atau saya hanya sekadar seorang rakyat yang termenung di tangga rumah tanpa mempedulikan perjuangan membebaskan tanah air?

Meskipun cerita ini hanya sekadar drama fiksi, namun saya percaya di negara kita sendiri dan negara-negara lain yang turut dijajah juga memiliki identiti seperti Seo Hwi Young, Shin Yul dan Ryu Soo Hyun. Maka, kita perlu mengambil semangat daripada wira-wira bangsa dan terus bangkit memajukan dan mempertahankan tanah air, sebagai tanda terima kasih kita kepada pejuang-pejuang negara yang sangat cinta akan tanah Malaysia kita.

Disediakan oleh,

Umairah Mohd Noor


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.