Seseorang pernah berkata kepadaku, “Jangan dikecewakan hati ayah dan bonda.” Lalu aku berpegang kepada satu kata-kata hikmat yang mana hayat si penuturnya tidak kekal lama di dunia. Abangku Anuar meninggal dunia. Mengamanatkan sebuah pesanan yang tidak memberi apa-apa makna kepadaku. Selain sebuah kematian yang jerih untuk aku harungi – menebuk sebuah lohong hitam di hatiku. 

Usia remajaku hilang tanpa jejak. Aku tidak betah mengingati detik-detik sukar saat hidup tanpa ditemani Anuar. Anuar itu abangku, penyuluhku – sebagaimana aku kepadanya seorang adik kecil yang jelantah dari segenap segi. Langsung aku membesar bertuankan  kemarahan, berkompaskan kebencian. Aku bencikan dunia. Aku benci orang-orangnya yang sentiasa senyum tanpa jenaka. Aku terpuruk dalam sebuah melankolia. Berkalih rupa daripada seorang gadis periang kepada si kucam. 

Membesar dengan mengusung beban sebuah kehilangan  hadapanku langsung legam. Tiada cahaya, tiada rakan dan tiada berteman. Kegembiraan datang sekali sekala. Ia bermusim dan hanya bergantung kepada perisa aiskrim dingin di jalanan. Boleh jadi juga kepada angin yang menyapa lembut rautku saat aku bertenggek di bendang menghadap muka bukit. Kerana selepas kehilangan Anuar, bondaku pula pergi. Angin lembut itu kini kurasakan panas menyiat rasa. Mengopak rasa sayangku terhadap keduanya – bertukar menjadi beban emosi gila.

Apakah ini salahmu Anuar? Atau pesananmu itu yang mengikatku ke sebuah pohon yang tidak berumbi? Pohon kehidupan yang meliar tanpa pedoman. Mencucuk ‘pucuk keupayaan’ dalam ketidaktentuan, aku bisa kecundang, aku akan gagal. Meniti dahan reput dan usang, pantas aku jatuh. 

Demikian aku melata dalam ketidakpastian usia, menyalahkan sebuah pesanan buta. Aku masih tidak punyai apa-apa. Jauh sekali impian. Malahan bergelar senang itu mungkin ribuan tahun yang kubutuhkan. Walhal, pesanan Anuar membengkak dalam hatiku bertukar menjadi muslihat yang begitu licik menebar ‘pucuk keupayaanku’ ke antero ruang. Di situ aku kenali mana angin yang kuat, mana sudut yang disuluh cahaya yang menyinar, dan mana dahan yang dihinggapi si burung. 

Dalam hidup ini yang tidak berkurangan adalah usia. Manakala yang akan mendikit adalah waktu. Semakin lama hidup, semakin kurang hayat di dunia. Malahan waktu itu sendiri musuh ketat yang menyembunyikan rencam misteri yang tidak terungkap. Kegembiraan, kejayaan, jodoh, kekayaan, dan kematian adalah sorokan masa yang membelenggu hayat selama hidup di dunia. 

Yang akhirnya membuatkan aku seringkali bertanya, apa yang mampu menentang masa? Kalau  mungkin, aku mahu masa terhenti seketika. Jadi akan kulaksanakan apa yang tergendala. Mungkin jua kejayaan dapat dirangkul dalam sekelip mata. Sedangkan sekelip mata itu jua adalah masa. Walau sedetik, ia masa yang tidak didatangkan percuma. Demikian, berputarnya mentari diganti bulan pada malam hari adalah masa yang menjerut perjalanan hidupku ini. Ia terhenti, hanya apabila aku mati. Betapa ia berharga.  

Maka mafhum, aku yang harus bergerak menyainginya – bukan menentangnya. Masa bukan musuh. Malah masa adalah penata jejak hidup di dunia. Yang membangkitkan, yang menggambarkan ruang – peluang. Masa adalah ruang yang dikurniakan Allah untuk aku kerjakan sisa hidup yang selama ini berantakan. Kematian Anuar, kematian bonda, kematian sesiapa sahaja yang datang melingkupku dalam kemisterian hidup, rupanya bergantung kepada ‘pucuk keupayaanku’ sendiri. Berpaut pada masa dan pilihan. 

Walhal berapa banyak kehilangan, berapa banyak kematian yang aku bakal harungi, ia dibawa masa. Itulah misteri masa buatku. Selagi hayat ini masih bergenderang melata di bumi, sehingga itu aku akan mengecapi setiap kematian dan kehilangan yang menanti. 

Aku diberi pilihan. Mengalah atau menang. Berani atau takut. Lari atau lawan. Akhirnya, pilihan ini yang bakal menentukan siapa diriku di dunia ini. Siapa diriku kepada Anuar, ayah dan bonda? Siapa aku buat rakan-rakan yang pergi menghilang setelah aku sendiri seperti seekor kerbau yang terombak di pecutnya. Yang paling utama, siapa aku buat diriku sendiri? Sebatang pohon yang pucuknya meliar menongkah awan.

Sebetulnya aku sendiri tidak pasti apa aku akan jadi suatu hari nanti. Misteri masa, ia tidak hanya mendera. Ketidakpastian ini yang menyeru gejolak rasa agar aku menekan butang ‘mula’. Mula bangkit dari kematian. Mula sedar walau keseorangan aku harus membuat pilihan. Mula pantas kerana masa tidak akan pernah mengasihani aku yang renyah. Demikian, biar berapa kali aku jatuh, yang penting aku harus tahu bermula. Berapa kali aku bersua kematian, yang utama aku bangkit semula. 

Kerana hidup ini tidak akan diketahui pengakhirannya. Setiap masa yang penuh misteri ini harus digerakkan dengan penuh makna. Pesananmu itu Anuar dan kehilangan kamu dan bonda adalah gambaran seluruh kerugian hidupku di dunia. Sedangkan tangisan darah yang kuperah keluar jua, pasti tidak akan kuperolehi kalian kembali. Kenangan bersama kalian, hanya menjadi rahsia masa yang dapat menitipkan jutaan keuntungan yang bakal kutanggung kemudian hari. Aku akan berjaya, Anuar, bonda. 

Barangkali hari ini, atau esok, atau minggu hadapan saat aku di dunia tidak lagi dipanjangkan Tuhan. Demi Allah, aku tidak ingin hidup dalam kerugian masa-MU. Aku bersyukur kerana menekan butang ‘mula’. Dek kerana itu, aku di sini membuat pilihan – menulis buat kamu. Ini permulaanku. 

 

Penulis,

Yuki Yushind
Tanah Merah, Kelantan

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.